Opinion

Memahami isu konflik Syria

Muqaddimah

Konflik Syria berkembang dari satu tahap menuntut kebebasan dan demokrasi kepada perang saudara yang telah mengheret konflik kepada  penglibatan kuasa-kuasa berkepentingan di rantau Timur Tengah. 

Persoalannya ialah bagaimanakah kita memahami isu yang rumit ini dalam hubungan persoalan ketegangan kepuakan (sectarian violence) ataukah ia satu konflik bermotifkan saingan kuasa untuk mengekalkan hegemoni. 

Ia tidak semudah melabelkan Syria sebagai satu konflik Sunni-Syiah tanpa memahami realiti konflik di rantau Timur Tengah dari perspektif sejarah dan ketegangan politik sebelum ini. 

Sebagaimana ia tidak mudah di rasionalkan secara emosi permusuhan Sunni lwn Syiah semata-mata sedangkan jika kita mengandaikan demikian kita sudah mematikan usaha lebih besar yang sepatutnya diusahakan iaitu dialog dan perdamaian antara pihak berkonflik. 

Begitu juga jika kita menyempitkan isu ini kepada Sunni lwn Syiah semata-mata kita akan menafikan teori pengimbangan kuasa Amerika di Timur Tengah yang menjadi pencetus utama konflik di sebelah sini. Seharusnya kita menyusun strategi yang objektif untuk memahami konflik Syria.

Membina Kefahaman

Semua isu konflik di Timur Tengah khusunya dan di rantau lain amnya terbentuk dari hubungan kepentingan negara dan rantau atau 'state and regional interest' Dalam konteks disiplin perhubungan antarabangsa sesuatu konflik tidak akan berlaku semata-mata atas kepentingan negara dan ini terbukti dengan peperangan di Vietnam, perang Arab-Israel dan peperangan Teluk. 

Semua konflik itu diwarnai oleh suasana kepentingan kuasa besar memastikan pengimbangan kuasa dan kepentingan mereka terpelihara di rantau tersebut. 

Zaman tirai besi menyaksikan persaingan kuasa Soviet dan Amerika manakala, zaman neocolonialism menyaksikan  penguasaan Kuasa Amerika dan sekutunya dalam membawa Demokrasi di negara Timur-Tengah. 

Penglibatan kuasa luar yang berminat adalah bermotifkan kepentingan rantau yang secara implikasinya memberi keuntungan atau kerugian kepada dasar luar kuasa yang berminat. 

Syria tidak terkecuali dari asas pemikiran ini dalam memahami kerumitan isu yang sedang bergolak sekarang.

Deskripsi Konflik

Membentuk perspektif yang objektif kepada konflik Syria akan membantu kita menggambarkan suasana yang berlaku. 

Bagi memandu perspektif itu kita mesti membentuk konsep pemikiran konflik kepada teori constructivism, neoconservatism dan neorealism. 

Teori ni terpakai dalam hubungan antarabangsa ketika menghuraikan konflik di Iraq pada post Saddam dalam menjawab persoalan adakah Konflik Iraq di berlaku di atas konflik kepuakan (sectarian) ataukah isu geo-politik (lihat Mari Luomi, Finish Institute of International Affair, Paper 56(2008) ). 

Isu Syria dalam konteks rantau Timur Tengah boleh difahami atas constructivism apabila ide konflik kepuakan (sectarian conflict) dinilai dari sudut dominasi ideologi yang ingin menguasai suasana dan didokong oleh rakyat. 

Neoconservatism membantu kita memahami dasar Kuasa Besar seperti Amerika yang melihat bahawa cara menguasai kepentingannya di rantau ialah dengan membawa demokrasi dan regime-change untuk menyekat penghalanya. 

Neorealism pula melihat logik hubungan antara negara di rantau terhalang dengan struktur antarabangsa yang menentukan hubungan antara negara seperti keselamatan, dasar perlindungan dari ancaman luar dan sovereignity.

Sunni lwn Syiah

Tanggapan mudah bahawa Syria terheret dalam kancah konflik Sunni lwn Syiah seharusnya dinilai dari sudut sejarah konflik Sunni lwn Syiah yang terhenti seketika kerana Arab Sunni dan Afab Syiah berhadapan dengan musuh penjajahan dan kemudian Israel. 

Namun era kebangkitan Islam dan kejatuhan regim diktator menyaksikan api Sunni lwn Syiah membara kembali di atas alasan kebimbangan survival masing-masing. 

Bagi rantau di Timur Tengah kewujudan bilangan Sunni dan Syiah agak signifikan di mana logik kewujudan mereka boleh dirasionalkan melalui konsep hubungan antara minoriti dan majoriti terbuna atas asas kebimbangan. 

Iran dan Iraq yang mencatatkan peratus tinggi penduduk Syiah mempengaruhi hubungan ini di rantau Timur Tengah. 

Saudi yang mewakili negara Sunni dilihat memimpin kempen anti-Syiah manakala Iran dilihat mewakili persepi anti Sunni. 

Keperluan mengekalkan dominasi masing-masing menyebabkan isu penyebaran ideologi melalui bantuan kewangan dan bantuan persenjataan dapat dikesan, contohnya di Lebanon di mana Iran membantu terang-terangan Hizbollah manakala Palestine pula disokong oleh kebanyakan Negara Telok yang Sunni. 

Walaupun Iran turut membantu Hammas tetapi ia lebih dilihat sebagai sikap anti Israelnya. 

Hammas pula agak tertekan dengan sikap Iran yang menyokong regim Basyar dan berfikir untuk tidak menerima bantuan dari Iran lagi. 

Sunni di Iraq yang minoriti turut bimbang dengan apa yang dinamakan sebagai kebangkitan Syiah post Saddam dan kewujudan Al Qaeda yang ditanggap proksi Saudi (Salafi-Wahabi) menjawab kebimbangan ini. 

Kekeliruan berlaku apabila keganasan diwajarkan dengan beralaskan Sunni bunuh Syiah dan sebaliknya sedangkan garis antara tersebut rapuh untuk dieksploitasikan oleh pihak yang mempunyai motif lain untuk menguasai keadaan. 

Isu pembunuhan ulamak Sunni tersohor iaitu Said Ramadhan Al Butthi menjadi bukti tanggapan teori ini. 

Jadi teori Sunni lwn Syiah tidak semudah yang disangka dan tidak boleh diandaikan atas emosi dan sentimen semata-mata.

Neocoservatism

Jangan kita lupa konflik Syria ada signifikannya dengan kepentingan kuasa Amerika di Timur Tengah. 

Syria selama ini adalah anti Amerika dan berbahaya kepada dasar luar negara Amerika yang meletakkan keutamaan kewujudan Israel di tengah kelompok negara-negara Arab.

Amerika terdesak untuk memastikan Syria tidak menjejaskan peluang ini apatah lagi Syria menjadi negara pelindung kepada Hamas dan Hezbollah dalam konflik Arab lwn Israel. 

Adalah penting neoconservatism  menguasai keadaan di Syria melalui regim-change dan membawa demokrasi supaya dasar luarnya di Timur Tengah terpelihara. 

Keadaan menjadi mudah dengan suasana kediktatoran pemimpin di Syria dan kebangkitan di Mesir dan Tunisia mengapikan lagi gerakan kebangkitan rakyat. 

Namun tanpa di sedari, Syria diheret ke kancah peperangan saudara yang tiada penghujungnya sehingga berbagai unsur yang mempunyai kepentingan merumitkan lagi keadaan.

Neorealism

Apakah konflik di Syria manifestasi kepada kepentingan keselamatan dan  survival sebuah identiti negara yang ada kepentingan diperingkat rantau yang bergolak ini? 

Adakah Iran menjustifikasikan bantuannya kepada Basyar atas kepentingan kuasanya di rantau berhadapan dengan Israel dan dasar Amerika? 

Ataukah Iran melihat negara Arab Sunni yang lain terlalu lemah untuk mempertahankan Syria lalu ia mengambil keputusan untuk mengukuhkan Basyar? 

Jika kita mengandaikan logik ini maka teori  Sunni lwn Syiah bukanlah asasnya tetapi ia adalah tercetus dari dasar luar negara yang terancang.

Apakah Kesudahannya?

Saya tidak mengandaikan bahawa isu Syria bukan konflik kepuakan antara Sunni lwn Syiah, bukan juga saya membuat kesimpulan bahawa ia hanya isu politik rantau hasil persaingan pihak yang berkepentingan. 

Saya mengandaikan bahawa keganasan yang berlaku meningkatkan lagi persepsi keganasan kepuakan Syiah lwn Sunni yang didorongkan oleh kepentingan keselamatan dan kestabilan rantau. 

Jadi isu Syria adalah isu hubungan geo-politik yang menyuburkan lagi sectarian violence. 

Tanggapan awal ini boleh membantu kefahaman terhadap konflik Syria di atas perspektif yang objektif lantas dapat membantu melihat pendekatan kepada permasalahan yang timbul. 

Ini penulisan awal kepada perincian yang akan menyusul.

 * Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments