Opinion

May the best man win

Lazimnya dalam mana-mana pertandingan akan ada seorang sahaja yang akan menang. Tiada istilah win-win, yang ada ialah 'you either win or you loose' . Oleh itu dalam pertandingan yang lebih utama ialah 'not about winning' sahaja tetapi semangat berlumba-lumba. Namun ada orang yang akan mengatakan, "itu dalam sukan, tetapi politik lain halnya!" Betulkah sanggahan tentang semangat persaingan dalam politik ini?

LOGIK POLITIK DALAMAN

Persaingan dalam politik dalaman sememangnya ada ceritanya tersendiri. Bagi orang luar yang mengamatinya akan menganggap itulah 'permainan kotor' ahli politik merebut jawatan dalam parti. Bagi pesaing dalam perlumbaan organisasi, mereka menganggap itu adalah caranya untuk mereka menyumbang kepada parti dan mereka tidak ada pilihan kerana itu adalah tabiat organisasi.

Hakikatnya para pengkaji organisasi politik menyebut persaingan dalaman adalah kerana beberapa faktor. Pertama ialah kepuasan diri pesaing, kedua ialah faktor ganjaran di luar parti khususya apabila parti itu adalah parti yang memerintah atau berpotensi untuk memerintah manakala faktor kelompok pula adalah antara dinamika persaingan dalaman dalam parti.

Tidak semua faktor yang disebutkan  salah. Para pengkaji cuma membuat gambaran suasana persaingan dan faktornya, kadar dan bentuk persaingan tidak semestinya sama dalam semua parti dan masa kajian dibuat juga terpulang kepada kedudukan parti itu dalam konteks usahanya mendapat kuasa. Persaingan juga adalah faktor kepada fenomena konflik yang mewarnai sesebuah organisasi politik. Itulah logik persaingan.

ADAB BERSAING

Organisasi parti politik Islam meletakkan akhlak dan etika bersaing dalam perspektif batasan-batasan yang pokoknya ialah persaingan yang sihat. Tidak semua persaingan itu buruk, dalam Islam persaingan ke arah kebaikan diungkapkan dalam kata-kata Fastabiqul Khairat ( berlumba-lumbalah ke arah kebaikan).

Bersaing dalam Islam juga meletakkan adab tidak menjatuhkan lawan dengan tohmahan dan tuduhan tetapi yang dikritik dan dibahaskan ialah idea dan pendapat berasaskan dalil dan hujah. Juga dalam mendebatkan idea perlu dijauhi nilai-nilai permusuhan dan kebencian manakala keikhlasan adalah jambatan utama antara pesaing.

Paling buruk ialah kemampuan dan kelayakan ditutup oleh 'kegilaan' kelompok yang mahu memenangkan kumpulannya bukan memenangkan idea yang terbaik untuk parti. Jika asas bersaing itu untuk idea terbaik maka parti akan mendapat yang terbaik, tetapi apabila asas bersaing itu ialah kekelompokan maka yang menang ialah kelompok dan belum tentu mereka ada idea.

KELAYAKAN MEMIMPIN

Secara asasnya kepimpinan terhadap sesuatu urusan dinilai daripada firman Allah dalam Al Qasas 26 yang menyebut ciri kelayakan (al Qawiy) dan amanah (al Amin). Beberapa ulama salaf membahaskan persoalan kelayakan dan keimanan dibandingkan dengan kemaslahatan umum.

Mereka membahaskan jika seseorang calon kepimpinan kuat keimanan itu tetapi lemah keupayaannya dibandingkan dengan calon yang lemah iman tetapi lebih berupaya, maka didahulukan yang lemah iman tetapi lebih upaya daripada kuat iman tetapi tidak upaya. Alasan atas kemaslahatan yang lebih besar diberikan kerana lemah atau kuatnya iman seseorang adalah untuk dirinya manakala keupayaan mentadbir dan memimpin adalah untuk menfaat orang ramai maka didahulukan maslahat untuk orang ramai.

Perbahasan ini dikulas oleh ibnu Taimiyah dan ibnu Khaldun dengan penuh kesedaran bahawa tanggungjawab memimpin adalah untuk kepentingan umum dan bukan untuk diri sendiri atau kelompok tertentu sahaja. Inilah asas yang perlu diperbahaskan dalam persaingan jawatan.

KEPUTUSAN SAYA

Ada juga yang bertanya mengapa saya menolak pencalonan naib presiden dan hanya berpada dengan menerima pencalonan AJK Pusat sahaja? Saya menjawab secara berseloroh saya belum bersedia untuk Liga Perdana, saya masih di Liga Biasa.  'Im not ready for the big boys game yet', tetapi itu cuma gurauan sahaja, hakikatnya ialah saya berasa peranan saya sebagai AJK jika masih diperlukan masih boleh berfungsi. Usaha dan cita saya untuk membawa PAS dengan idea baru yang melonjakkan parti tetap akan menjadi agenda walaupun sebagai AJK biasa jika khidmat saya masih diperlukan.

Saya masih berasa banyak perkara perlu dibereskan khususnya kedudukan PAS di Pulau Pinang yang akan menentukan model kepimpinan masalah Melayu acuan Pakatan dan PAS. Ini perkara besar apatah lagi hasrat ke Putrajaya untuk PRU 14 masih tersemat. Biarlah saya menjadi tentera berjalan kaki untuk memenuhi gerak kerja besar ini. Semoga calon-calon naib, timbalan dan presiden saya memberikan panduan ke arah cita-cita besar ini. May the best man win! - 14 November, 2013.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments