Opinion

Ketika saya sendirian menyambut hari jadi

Movie 'Home Alone' begitu menarik untuk ditonton malah saya menontonnya beberapa kali tanpa rasa jemu. Ia kisah budak nakal yang sering 'tertinggal' tanpa disedari oleh keluarganya dan bermulalah berbagai insiden menggambarkan kecerdikan budak yang entah bagaimana tercicir selalu.

Namun kisah itu menyentuh hati ibu dan bapa kerana ia melambangkan kasih sayang anak dan ibu khususnya dan bagaimana sikap kita terhadap anak kadang-kadang boleh mencetuskan rasa yang terpendam namun akhirnya perpisahan menjadikan kasih dan sayang mengatasi semua perasaan.

Tajuk 'Home Alone' bukanlah refleksi tentang diri saya tetapi ia memberikan inspirasi untuk menulis artikel ini pada hari lahir saya iaitu 25 Oktober ketika bersendirian di bilik hotel untuk menghadiri bajet 2014 yang dibentangkan di Parlimen pada hari yang sama.

Saya bersendiri di bilik menyambut tahun ke-49 tanpa keluarga dan isteri tersayang untuk mengucapkanannya secara fizikal walaupun saya sudah menerimanya secara maya tepat pukul 12 tengah malam Jumaat lepas.

Pelbagai cara

Saya mempunyai berbagai cara menyambut hari jadi saya, salah satunya ialah menyambutnya ketika saya membuat lawatan ke rumah orang miskin sempena Deepavali dan saya mendapati ia hadiah teristimewa apabila merasai kesusahan dan betapa mereka mengharapkan kepada kami untuk membela mereka.

Seorang wanita Cina yang uzur hidup bersendirian dan apabila kami menziarahinya dia menangis kegembiraan kerana ada orang yang menjengoknya, itu adalah hadiah teristimewa yang saya rakamkan sempena hari lahir saya. 

Tahun sudah, 2013 saya menyambutnya dalam perjalanan ke Ghazzah dan Mesir. Anda tidak tahu betapa hebatnya hadiah istimewa menyambut harijadi bersama para pejuang terhebat dunia yang menentang keganasan Zionis, malah saya telah menerima sedikit hadiah daripada Pertubuhan Kebajikan di Ghazzah di mana lambang Al Aqsa tertera dalam ukiran berbentuk pinggan.

Anda juga tidak akan dapat merasai menyambut hari jadi melalui terowong tikus sepanjang 2km untuk sampai ke sempadan Ghazzah. Semua itu bagi saya adalah hadiah istimewa tahun 2012 yang tak mungkin saya lupakan. Kenapa tahun ini tajuk artikel saya sempena hari lahir saya, saya namakan 'Di Bilik Bersendirian?'

Hidup dengan masalah

Kita berhadapan dengan pelbagai masalah, masalah besar ialah apabila kita tidak dapat untuk membuat keputusan. Kita akan tetap diburu oleh pelbagai keputusan yang masih menghantui yang kita namakan tekanan hidup.

Kegagalan mengawal suasana ini akan menjadikan seseorang bercelaru dalam menetapkan arah tuju hidupnya. Semua keputusan pasti ada risiko dan setiap risiko adalah tabiat kehidupan. Kita perlu hidup dengan masalah dan bukan mati dengan masalah!

Sepanjang saya mengetahui erti kehidupan banyak keputusan yang saya buat dan semakin saya memahami erti kehidupan rupa-rupanya desakan untuk membuat keputusan semakin meningkat, apatah lagi saya berada di posisi menawarkan kehidupan saya untuk kepentingan orang lain.

Saya menyambut hari jadi saya dalam beberapa tekanan keputusan penting dalam diari kehidupan saya selain dari kehidupan berkeluarga yang saya lalui dengan tabah bersama isteri tercinta.

Menongkah arus

Setiap langkah saya bermula dengan risiko, dari melepaskan jawatan sebagai ahli akademik kepada masuk calon pilihanraya hinggalah meniti karier saya dalam parti saya adalah perjalanan yang penuh dengan keputusan yang berisiko tinggi.

Kalah dua kali dalam pilihan raya umum bukan sesuatu yang menyeronokkan dari segi melayan jiwa dan menghadapi tekanan meneruskan kehidupan dan memberi sesuap nasi kepada anak isteri. 

Berfikir juga adalah satu risiko apabila kita terpaksa mencabar status quo samada dari segi budaya mahupun dalam politik. Menyempurnakan tesis phD selama 7 tahun juga dalam keadaan tekanan hidup adalah keputusan yang saya perlu lunaskan walaupun beberapa kali terasa untuk mengaku kalah.

Jikalaulah tidak kerana isteri yang mendorong mungkin hari ini orang ramai tidak akan memanggil saya 'Doktor Mujahid'. Dalam parti saya memilih untuk membuka medan yang tidak popular iaitu perpaduan nasional di mana saya terpaksa lalui trial dan error memecahkan tembok antara PAS dan segmen bukan Melayu. Menubuhkan Kelab Penyokong PAS dan kemudian Dewan Himpunan Penyokong PAS adalah risiko yang bukan dihampar dengan jalan yang mudah.

Meneruskan risiko

Saya telah meletakkan diri saya ke arah risiko yang mencabar asas hubungan kaum yang terdorong di atas prejudis dan kebencian kepada hubungan Rahmatan - atas dasar hormat menghormati. Saya menulis buku yang mencabar asas pemikiran yang selama ini kita terima sebagai tidak boleh dicabar.

Buku 'Menuju PAS Baru' telah menggoncang selama ini apa yang kita anggap sebagai tidak boleh dipertikaikan. Pada waktu pengkritik menyatakan buku 'PAS Baru' tiada jalan penyelesaian, saya mengemukakan pula 'Rejuvenasi PAS' di mana saya mencadangkan bagaimana organisasi PAS boleh diremajakan untuk terus menadi pemimpin kepada perubahan.

Saya terpaksa merungkaikan selama ini istilah yang tidak pernah dibahas seperti kepimpinan ulama, sistem kepimpinan dan dikotomi yang selama ini menghantui PAS iaitu Ulama vs Profesional.

Malah buku saya mengemukakan asas pemikiran politik dalam konteks demokrasi, masyarakat sivil dan hubungan antara agama di negara ini yang merupakan asas realiti yang terpaksa dihadapi oleh PAS.  Memang bukan mudah untuk mencabar status quo dan lebih sukar jika status quo itu melibatkan usaha reformasi dalaman parti kerana ketika itu konflik tidak dapat dielakkan lagi.

Memberanikan diri

Saya mengambil kesempatan dalam bersendirian di bilik hotel untuk mengimbau langkah yang saya ambil dengan sokongan parti iaitu membuka ruang dialog dengan bukan Islam khususnya dalam isu Kalimah Allah.

Ia bukan sahaja risiko yang tidak disukai oleh masyarakat umum tetapi juga tidak popular dalam parti saya. Kita diuji dalam isu kalimah Allah untuk tidak menjadi mudah dengan ilmu yang kita ada dan menuntut kita untuk memahami dengan lebih mendalam hubungan dengan bukan Islam yang amat diberi perhatian oleh agama Islam.

Saya tidak bertindak memberanikan diri melainkan kesedaran saya melalui ilmu yang memandu saya dan itulah sahaja yang mengimbangi kesan risiko yang saya ambil serta persepsi orang lain terhadap saya. Ada masanya saya merasakan apakah langkah saya ini benar? Setiap kali saya bertanya demikian saya mempunyai kekuatan untuk terus maju dan tidak lagi mahu menoleh ke belakang, biarlah walaupun ia satu risiko.

Satu lagi keputusan

Saya telah memilih untuk berkarier dalam parti saya dan kerana itu saya tidak dapat elak daripada meniti posisi-posisi yang ada dalam parti. Sekian lama saya berkhidmat dari bawah hinggalah kepada jawatan Jawatankuasa Pusat memimpin Perpaduan Nasional.

Saya menerima beberapa kali pencalonan Naib Presiden dan hanya mengambil risiko sekali menerimanya dan kalah. Kali ini dalam tahun pemilihan parti, saya menerima lagi pencalonan Naib Presiden.

Secara jujur, saya belum ada keputusan kerana baru semalam menerima surat pencalonan. Saya ada masa singkat untuk membuat keputusan dan ini adalah sukar untuk saya.

Suasana pemilihan parti kali ini penuh dengan tuduhan-tuduhan termasuklah terhadap saya. Kerana kerja saya dalam parti mengadakan dialog dan forum dengan berbagai pihak, saya dikatakan liberal dan buku saya dikatakan sesat dan tindakan saya meyakini dialog sebagai jalan ke hadapan dikatakan oleh sesetngah sebagai pengkhianat agama.

Saya tidak tahu adakah tuduhan itu berasas ataukah kerana pemilihan semakin dekat. Saya membuat perkiraan jika menolak pencalonan mungkin mereka akan gembira kerana saya mengalah, kalau saya menerima saya mengambil lagi risiko. Sukar bukan?

Sunyinya terasa

Ketika saya menulis ini hari Jumaat, ia hari penuh keberkatan, ia juga hari jadi saya, saya mengharapkan keberkatan Jumaat memberikan kekuatan kepada saya untuk membuat satu lagi keputusan dalam hidup saya.

Sunyinya terasa dalam bilik ini di hari yang sepatutnya saya bersama keluarga dan isteri tercinta, tetapi saya tahu pembaca yang menatap tulisan ini akan sentiasa menjadi teman saya di aman saja saya berada. 

Hari ini saya bersendiri di bilik hotel saya dan saya terus membuat perkiraan samada hendak menerima pencalonan Naib Presiden atau tidak, satu lagi episod risiko yang tak pernah berhenti selagi kita bersedia menerima akibatnya. – 30 Oktober, 2013.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments