Opinion

Kepimpinan PAS dan prospek lanskap baru politik negara

8 JUN — Muktamar PAS ke 57 pada 3,4,5 Jun baru–baru ini mendapat perhatian orang ramai. Kalau dulu tidak ada siapa yang berminat mengikuti perkembangan PAS tetapi sejak pasca PRU ke 11, perkembangan PAS diberi tumpuan yang mendalam. Utusan Malaysia dan TV arus perdana yang sememangnya bersikap negatif  dengan PAS menggunakan kesempatan Muktamar kali ini untuk ‘membelasah’ PAS tetapi dengan cara yang halus dan menyakitkan.

Apa yang pelik dalam liputan ini, pemimpin-pemimpin Umno dan para ahli akademik yang menjadi alat dan perkakas buruk Umno seolah-olah lebih hebat penghayatan mereka kterhadap perjuangan PAS, malah ada yang mengatakan PAS telah hilang ketulenan perjuangannya apabila sedia tunduk kepada desakan Dap dan PKR dan sanggup meninggalkan perjuangan Islam yng dibawa selama ini.

Kepada Utusan dan TV arus perdana saya ucapkan syabas kerana memberi tumpuan walaupun caranya tidaklah cerdik, tetapi yang penting kepada para penganalisa dari ahli akademik mereka telah menggadaikan nilai akademik mereka untuk kepentingan Umno saya ucapkan takziah kepada karier mereka. Kepada pemimpin Umno saya tak tahu nak ucapkan apa-apa tentang komen mereka tetapi yang pasti mereka ‘lebih PAS dari PAS!’

Apa yang lebih penting dalam memahami isu muktamar PAS bukanlah apa yang mahu difahamkan oleh media massa perdana yang bertaraf ‘longkang’ dan ‘parit’ itu, tetapi apa yang lebih penting ialah apa yang PAS mahu lakarkan untuk masa depan perjuangannya. Perjuangan selama 57 tahun ini bukanlah satu perjuangan yang melalui jalan yang mudah.

Telah beberapa kali PAS rebah dan bangkit, rebah dan bangkit sehinggalah ia mampu sampai kepada tahapnya yang ada hari ini. Tahapnya hari ini bolehlah dibanggakan berdasarkan kepada beberapa halangan yang berjaya diatasi oleh PAS sepanjang keberadaannya di pesada politik tanahair. Antaranya ialah, PAS bukan sahaja didokongi oleh segmen berlatarbelakangkan agama tetapi juga oleh segmen lain yang berperanan aktif. Kedua, PAS berjaya meroboh tembok yang memisahkannya dengan pengundi bukan Islam dengan pencapaiannya yang terbaik di kawasan-kawasan campuran. Ketiga, PAS mempunyai sayap bukan Islam (DHPP) dalam struktur partinya yang tidak pernah dibayangkan sebelum ini dan akhirnya PAS berjaya melebarkan pengaruhnya di luar kawasan tradisinya di Pantai Timur dan Utara ke Tengah dan Selatan tanahair termasuk Sabah dan Sarawak. Pencapaian-pencapaian ini berlaku di tengah-tengah suasana permusuhan media perdana kepada PAS dan aturcara permainan demokrasi yang tidak adil. Bagi parti lain yang tidak mempunyai kekuatan ideologi dan organisasi parti sudah pasti akan berkubur untuk terus hidup dalam suasana sedemikian rupa, tetapi PAS mampu hidup malah terus segar bugar seperti rangkap akhir lagu PAS yang berbunyi: “Berpandukan Al Quran dan Sunnah, suburlah hidupnya dan pasti berbuah…” Inilah buah-buahnya yang dipetik oleh generasi  PAS hari ini. Malangnya kita tidak akan mengharapkan para ahli akademik ‘dungu’ mampu melihat pencapain-pencapaian ini, janganlah mengharapkan Umno pula nak ingatkan pencapaian-pencapaian PAS!

Para perwakilan Muktamar ke 57 sebenarnya mengirimkan isyarat kepada orang ramai bahawa mereka telah membuat beberapa pertimbangan yang matang di mana asasnya ialah, ketokohan kepimpinan bukan sahaja keperluan dalaman tetapi ia perlu diambil kira keperluan persepsi awam di luar parti. Dengan kata lain ketika mereka mengundi mereka bukan ‘bijaksini’ sahaja tapi juga ‘bijaksana’ maksudnya mereka perlu mengambil kira orang lain dan bukannya syok sendiri. ‘Syok sendiri’ ialah apabila mereka melantik kepimpinan yang mereka kenal dalaman sahaja tetapi tidak mengambil kira populariti kepimpinan di kalangan awam. Barisan teratas yang baru dipilih memperlihatkan populariti kepimpinan yang diiktiraf oleh orang awam. Selain Presiden yang dikenali dalam dan luar negeri, Timbalan Presiden Mat Sabu sememangnya tokoh dikenali ramai kerana pidatonya dan komitmennya kepada reformasi demokrasi di negara ini. Ketiga-tiga Naib Presiden pula iaitu Salehudin, Husam dan Mahfuz mempunyai kekuatan akar umbi dan popular di kalangan massa. Undi tertinggi AJK Pusat pula iaialu Sdr Mazlan Aliman berjaya menggegarkan isu Felda sehingga menjadi isu nasional. Ini adalah sebagai contoh para perwakilan membuat pertimbangan impak kepopularan selain daripada komitmen mereka kepada dasar dan perjuangan parti.

Isyarat perwakilan juga mengharapkan beberapa pembaharuan dalam parti apabila mereka berani memecah tradisi mengundi calon ‘bukan ustaz’ untuk nombor 2 tertinggi parti. Ini bermakna, ‘jika kami berani memecah tradisi, kami mengharapkan sesuatu daripada keberanian ini dengan usaha pembaharuan yang berupaya melonjakkan parti ke hadapan.’ Ketegasan ini mudah difahami kerana perwakilan mengharapkan barisan ini mampu membawa hasrat persediaan PRU 13 dimana untuk PAS berjaya menambat hati pengundi, persediaan organsiasinya perlu di tahap yang meyakinkan pengundi dari sudut PAS seharusnya membawa aspirasi nasional. Mengolah parti dalam proses menasionalkannya memerlukan seni kepimpinan tahap tertinggi dalam mengimbangi prinsip Islam sebagai dasar parti dan keperluan nasional sebagai manifesto politik parti kepada orang ramai. Ini sebahagian daripada harapan yang dikalungkan kepada kepimpinan yang baru.

Satu fakta yang tidak dinafikan ialah kenyataan bahawa lanskap politik negara akan berubah dengan tumbangnya Umno dan BN. Impak tumbangnya regim lama ini akan mengubah cara pentadbiran politik di negara ini dimana satu wajah baru akan muncul dan satu waktu peralihan akan berlaku bagi mengurus ‘after-shock’ jatuhnya satu sistem lama. Kekosongan kejatuhan Umno/BN perlu diisi oleh PR dan PAS mesti memimpin usaha pengisian ini nanti. Retorik kepimpinan PAS perlu diterjemahkan dalam praktikaliti manifestonya di mana buku jingga sedia ada perlu dihadam oleh para pengundi nanti. Kesemua tawaran-tawaran ini akhirya akan berpijak kepada satu persoalan penting iaitu, apakah perubahan yang ditawarkan oleh PR akan menjejaskan asas-asas kenegaraan yang terbina selama ini? Kepimpinan baru mesti meyakinkan 27 juta rakyat Malaysia bahawa tanggungjawab mempertahankan asas-asas kenegaraan adalah komitmen PAS dan PR dan untuk berbuat demikian PAS perlu diyakin dan diterima sebagai pembawa obor aspirasi nasional. Komitmen kepada Perlembagaan Persekutuan dan simbol-simbol serta penghayatan patriotism perlu dilihat mengalir dalam seluruh organ parti dan terungkap dalam retorik ucapan-ucapan kepimpinan.

Makna Muktamar ke 57 ini penting  untuk kita melihat satu perubahan lanskap politik yang bakal akan berlaku dan secara kebetulan PAS memberanikan diri untuk membuat pemilihan pada kali ini walaupun Umno dan DAP menangguhkan pemilihan parti masing-masing. Ini satu keberanian dari PAS untuk mengatakan kepada orang ramai bahawa ia tidak perlu bimbang perubahan pucuk kepimpinan mahupun kesan proses pemilihan bahkan barisan yang dipilih baru-baru ini adalah untuk menyediakan ruang yang akan ditinggalkan oleh regim lama dalam cita-cita PAS untuk memartabatkan maruah dan hak rakyat demi negara yang tercinta. Prospek kepimpinan baru dalam perubahan lanskap politik negara cerah dan meyakinkan.

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

 

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments