Opinion

Kalimah Allah: Episod penggulungan hujah

Bukan mudah merungkaikan satu kerumitan tetapi amat mudah untuk mengkusutkan sesuatu yang mudah.

Hanya ilmu dan kewarasan akan menentukan garis pemisah antara sentimen dan keilmuan.

Masyarakat kita suka merumitkan perkara yang mudah dan memudahkan perkara yang rumit, apatah lagi media dan kepimpinan politik tidak banyak membantu meredakan keadaan manakala ulama tidak banyak mendidik prinsip yang memahamkan orang awam dan pemerintah dalam suasana hubungan Islam dan bukan Islam yang hidup dalam suasana kepelbagaian hari ini.

Isu kalimah Allah termasuk dalam kategori yang perlu penghuraian yang tuntas dan bernas supaya diadunkan dengan berbagai premis hujahan yang akan mematangkan fahaman kita terhadap sesuatu isu.

Dalam perspektif

Dengan meneliti hujahan para pengkritik di dalam isu kalimah Allah kita boleh merumuskan bahawa ia bukan antara yang menyokong dan tidak menyokong. Jikalau kita menyatakan demikian bahawa ada yang menyokong dan ada yang tidak kita terjebak ke dalam perangkap 'mudah' dalam meneliti sesuatu masalah yang cuba menjelaskan sesuatu prinsip besar dalam Islam. Dalam memahami isu ini ada beberapa perkara yang perlu diambil kira untuk memahami konteks yang diperdebatkan melalui;

1. Urutan peristiwa dan isunya apa?

Ia bermula dengan keputusan Mahkamah Tinggi pada hujung tahun 2009 secara tepat pada 31 Disember. Mahkamah Tinggi telah memutuskan bahawa Herald boleh menggunakan perkataan Allah dalam penerbitannya setelah dilarang dan disekat oleh KDN. Keputusan itu telah menimbulkan kemarahan umat Islam dan sepanjang tahun 2010 kes ini menguasai media antara pro dan kontra. KDN meneruskan saluran perundangan dengan mengemukakan ke Mahkamah Rayuan.

Kronologi pertikaian penggunaan kalimah Allah bermula pada pada 16 Februari 2009 apabila Ketua Paderi Roman Katolik Kuala Lumpur, Tan Sri Murphy Pakiam memfailkan semakan kehakiman berhubung penggunaan kalimah Allah dalam Herald serta menamakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan sebagai responden.

Gereja menuntut, antara lain, satu deklarasi bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri pada 7 Januari 2009 berhubung larangan penggunaan kalimah Allah dalam Herald adalah tidak sah, dan kalimah Allah bukanlah eksklusif kepada agama Islam.

Majalah mingguan Katolik yang dicetak dalam empat bahasa, menggunakan kalimah Allah sebagai terjemahan untuk God bagi seksyen bahasa Malaysia namun kerajaan berhujah bahawa kalimah Allah hanya boleh digunakan secara eksklusif oleh orang Islam sahaja.

Pada 31 Disember 2009, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Lau Bee Lan memerintahkan bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri melarang penerbitan akhbar mingguan The Herald itu daripada menggunakan kalimah Allah dalam majalah edisi bahasa Malaysia, adalah menyalahi undang-undang, batal dan tidak sah.

Pada 5 Januari 2010, KDN memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan Gereja Katolik menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan Herald.

Pada Julai 2013, Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur memfailkan permohonan bagi membatalkan permohonan rayuan kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam Herald.

Mahkamah Rayuan menolak dan menetapkan pendengaran penuh rayuan pada 10 September. Keputusan 10 September untuk rayuan penuh di tangguh kepada 13 Oktober. Keputusan rayuan pada 14 Oktober yang lalu menetapkan bahawa pihak Herald tidak boleh menggunakan perkataan Allah dalam penerbitannya.

2. Perkembangan isu dari satu tahap ke satu tahap menggambarkan momentum isu sentiasa mendapat perhatian dan sensasi media. Ia tidak berakhir dengan keputusan Mahkamah Tinggi tetapi alasan untuk mengemukakan rayuan memberikan impak isu ini seolah merupakan isu keselamatan negara.

Teori Kristianisasi semakin menjadi fokus utama dalam membincangkan isu kalimah Allah apabila permusuhan Kristian vs Islam di Malaysia menjadi semakin menajam. Media membesarkan isu, kononnya ada usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai negara Kristian, adanya Gereja Methodis Damansara Utama yang mengadakan majlis memurtadkan orang Islam dan isu YB Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, dikontroversikan sebagai menyokong murtad.

Ucapan Krismas Ketua Menteri Pulau Pinang yang disensasikan dan terkini demonstrasi ke atas YB Parit Buntar dan cubaan menghalang usaha dialog antara agama di Gereja Anglican Butterworth.

Perkembangan isu kalimah Allah seolah diperluaskan kepada isu-isu sensitif yang telah memburukkan hubungan antara agama di negara ini sepanjang negara ini mencapai kemerdekaan. Perkembangan isu seolah-olah dibentuk momentumnya untuk memberi tekanan kepada penganut Katolik dan membentuk mesej supaya mempertahankan Islam dari konspirasi Kristian di Malaysia.

3. Suasana yang menguasai keadaan serta emosi yang mengiringinya:

Suasana sepanjang kes ini dilanggani boleh dikatakan penuh emosi dan sensasi dari keilmuan dan objektiviti. Media berperanan untuk membentuk sentimen itu dan kenyataan pemimpin dibentuk begitu rupa oleh media untuk memberikan gambaran yang lebih bersifat permusuhan dan kebencian.

Keadaan ini menyebabkan ketegangan hubungan dengan penganut Katolik di mana rumah ibadat menjadi sasaran dan prejudis antara umat beragama semakin menjadi lebih jelas.

Nilai ekstrimism seolah terbuka luas dengan sikap emosional yang diambil oleh kelompok ekstrim kanan dan kelompok liberal mendapati ianya peluang untuk menegaskan pendiriannya yang selama ini mungkin terpendam dan lebih berhati-hati. Soalnya apakah sepanjang emosi ini dimainkan kita menggadaikan objektiviti tajuk dan meletakkan negara kita sebagai pertaruhan?

4. Siapa aktornya dalam memimpin isu yang diperdebatkan.

Setiap isu pasti ada aktornya yang memimpin isu, dalam hal ini media, parti politik dan kelompok masyarakat sivil dan institusi penganut Katolik dan umat Islam. Para aktor memilih jalur masing-masing untuk memberi makna kepada isu yang diperdebatkan atas apa jua matlamatnya. Aktor yang mendapat liputan ialah golongan ekstrim kanan seolah-olah mereka mewakili kelompok umat Islam yang menyatakan jalur kerasnya kepada isu kalimah Allah.

Aktor yang memilih jalur pertengahan dengan mengambil cara dialog dan wacana dilabel sebagai jalur liberal yang bersikap lunak kepada musuh Islam. Pada waktu yang sama kerajaan menunjukkan sikap toleran dengan membenarkan kemasukan kitab Injil berbahasa Melayu Al-Kitab yang tertera perkataan Allah di dalamnya. Sebelumnya pihak kastam menyekat kemasukan hampir 35,000 naskhah di Pelabuhan Klang dan Kuching tahun 2011.

Agak menarik siapa yang mengkaji sikap kerajaan BN kerana pada waktu yang sama mereka diam dengan tindakan golongan ekstrim kanan tetapi pada waktu yang sama 'berlunak' dengan pihak Katolik kerana pada waktu itu berlangsungnya pilihanraya Sarawak yang majoritinya adalah penganut Kristian.

Setelah meneliti isu kalimah Allah dalam perspektif peristiwa dan perkembangannya, kita akan memahami bahawa isu ini secara keseluruhannya bermula dengan perspektif perundangan kemudian berkembang kepada mobilasasi masyarakat dan media memberikan nilai-nilai sensasi dan emosi untuk menimbulkan kemarahan orang Melayu manakala kelakuan toleran kerajaan BN menampakkan isu ini tidaklah terlalu sensitif apabila Kerajaan mempunyai keazaman untuk berunding dengan pihak tertentu yang berkepentingan.

Premis hujahan

Setelah meneliti premis hujahan mereka yang melanggan perdebatan ini, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menilai dan meletakkan pandangan dan pendapat masing-masing di atas neraca ilmu kerana tidak semua yang diperkatakan boleh diterima sepertimana tidak semuanya boleh ditolak.

Kita hanya perlu meletakkan apakah kerangka yang membentuk hujahan mereka dan dari sini kita boleh mengatakan pandangan yang lebih berobjektif apabila melihat isu ini secara menyeluruh. Saya membahagikan hujahan tentang kalimah Allah oleh kesemua pihak di atas beberapa premis:

Pertama: Premis Teologi

Kedua: Premis Prinsip

Ketiga: Premis Perundangan

1. Premis teologi

Dari sudut teologi ataupun disiplin kajian tentang Ketuhanan/Aqaid maka kalimah Allah adalah perdebatan antara konsep ketuhanan yang dipakai oleh penganut masing-masing. Secara asasnya perdebatan tentang ketuhanan dalam teologi Kristian ditegakkan atas konsep Triniti.

Walaupun berbagai mazhab muncul dalam konflik intra mazhab Kristian tentang lambang nabi Isa atau Jesus sebagai tuhan atau manusia namun mereka mempunyai kepercayaan yang sama tentang Jesus sebagai penebus dosa asal manusia dan bahawa Jesus ada unsur ketuhanan dan Jesus adalah penyelamat.

Konsep ketuhanan bagi mereka adalah dalam peribadi Jesus dan mulai tahun 325, Konstantin seorang Raja Rom telah menganut agama Kristian dalam sidang Nicea telah menyatukan doktrin Kristian di atas triniti maka tersebarlah ajaran Roman Katolik dengan Gereja sebagai institusi yang mengawal doktrin ini sampai ke saat ini.

Islam menolak ketuhanan Triniti

Sejak dari zaman nabi Muhammad s.a.w lagi, iaitu jarak 600 atau 500 tahun dari kedatangan nabi Isa (a.s) kefahaman Triniti telah menular dan al Quran telah menyebut tentang kesesatan triniti yang dikaitkan dengan Allah dalam surah al Kahfi:

“Dan memberi peringatan kepada mereka yang berkata: ambillah Allah sebagai anak, mereka tiada ilmu (yang benar) dan begitu juga dengan nenek moyang mereka, besarlah kemusnahan apa yang keluar dari mulut mereka, mereka hanya mengatakan kepalsuan” (Al Kahfi: 4,5)

Islam menegaskan Allah dalam nada ketauhidan mutlak sedangkan nabi Isa (a.s) hanyalah rasul seperti Muhammad (s.a.w). Nabi Muhammad menegaskan Tauhid berasaskan surah Ikhlas iaitu: 'katakanlah Allah itu Tunggal...' Umat Islam diajar untuk senantiasa mensucikan Allah daripada apa yang menodaiNya daripada unsur syirik dengan menyatakan: 'Maha suci Allah dari apa yang mereka sekutukan...( Al Hasyr: 23)

Rumusan premis teologi

Dari sudut teologi premis perbahasan tentang Allah adalah atas asas pertembungan antara ketauhidan mutlak melawan syirik dalam segala bentuknya termasuklah triniti yang menjadi doktrin aqidah Kristianiti sehingga kini.

Sebagai umat yang meyakini ketauhidan mutlak ini, tidak mungkin mana-mana Muslim boleh menerima Allah yang dicemari dengan konsep Triniti. Dari sudut ini adalah betul untuk kita menerima bahawa Allah samasekali tidak ada kena mengena dengan fahaman triniti dan perkara ini mesti dijelaskan dari sudut pandang sisi Islam.

2. Premis prinsip

Prinsip yang dimaksudkan ialah asas yang membentuk hubungan Islam dengan bukan Islam di mana prinsip-prinsip ini memantulkan kerahmatan Islam dan komitmen Islam kepada hak beragama. Prinsip inilah yang telah membawa Islam menjadi peneraju kepada tamadun manusia dan telah mengasaskan fondasi yang kukuh untuk dijadikan rujukan kepada manusia.

La ikraha fid din

Prinsip ini mencakupi makna yang luas termasuklah tidak ada hak untuk kita umat Islam menentukan apa yang betul dan tidak dalam urusan ibadat mereka. Implikasi prinsip ini juga menetapkan bahawa bukan Islam mereka ada kebebasan untuk beribadat dan beramal dan faham agama mereka cara mereka serta menjadi tanggungjawab kepimpinan negara menyediakan keperluan mereka.

Rasulallah dilarang oleh Allah untuk menggunakan taktik 'paksa' dalam apa jua bentuknya walaupun dengan niat yang baik supaya mereka menerima Islam. Allah menegaskan:

“Jika Tuhanmu berkehendakan, maka berimanlah setiap jiwa kesemuanya di muka bumi ini, apakah engkau wahai Muhammad mahu memaksa manusia sehingga mereka menjadi orang yang beriman?” (Yunus: 99)

Kepelbagaian

Islam memperakui kepelbagaian dan kerencaman kerana itu adalah tanda kebesaran Allah. Allah berkemampuan menjadikan semua manusia berada di atas agama yang sama tetapi Allah mahu menetapkan satu tanda kebesaranNya iaitu manusia berterusan berbeza-beza agama:

“Jika Tuhanmu berkehendakan, niscaya dijadikan kamu semua di atas agama yang satu (sama), namun hakikatnya mereka akan berterusan berbeza-beza (agama)” (Hud: 119)

Prinsip kepelbagaian ini menjadi teras kepada kekuatan Islam tersebar dengan cara yang terhormat dan jambatan yang menyambungkan antara kepelbagaian dan risalah Islam ialah jambatan kedamaian yang dihulurkan oleh Islam dengan penuh keikhlasan.

Islam meraikan kepelbagaian ini dalam segala bentuknya bagi mengelak konflik yang berpotensi tercetus atas nama kaum, bangsa dan agama yang mewarnai hubungan antara kuasa pada waktu itu, lantas mesej Kedamaian atau As Salam yang dipelopori oleh Islam telah menjadikan agama ini sangat dihormati oleh kawan dan lawan.

Dialog dan perdebatan sehat

Prinsip ini menjadi rahsia Islam dapat diterima oleh berbagai kaum dan manusia kerana asas menerima atau menolak adalah atas kesedaran dan keyakinan melalui dialog dan perdebatan yang sehat.

Dialog membuka ruang untuk masing-masing mempertahankan kekuatannya dan dari sini terserlah siapa yang lebih mantap hujahannya lalu memberi ruang kepada semua pihak untuk membuat penilaian.

Sebagai agama yang benar, Islam tidak sama-sekali melarikan diri dari berhadapan dengan hujahan agama lain, malah al Quran menggalakkan pendekatan dialog dan debat dengan berhemah dengan penentang-penentangnya.

“Serulah kamu ke jalan Tuhan mu dengan penuh hikmah dan memberi nasehat yang baik, dan debatlah dengan mereka dengan cara yang terbaik, Sesungguhnya Tuhan mu mengetahui siapa yang sesat dari jalanNya dan dia mengetahui siapa di kalangan yang mendapat petunjuk” (an Nahl: 125-126)

“Janganlah kamu berdebat dengan Ahlul Kitab melainkan dengan cara yang baik (berhemah), kecualilah mereka yang menzalimi kamu” (Al Ankabut: 46)

Rumusan premis prinsip

Dari keterangan yang diberikan melalui prinsip tiada paksaan, prinsip kepelbagaian dan prinsip dialog jelaslah bahawa di sebalik kesesatan teologi triniti pada hemat perdebatan premis teologi, prinsip besar Islam tidak pernah menghalang apa juga keyakinan agama lain walaupun mereka mengaitkan doktrin mereka dengan perkataan Allah.

Prinsip ini lebih besar untuk dipelihara dari kesesatan mereka kerana ruang yang diberikan oleh Islam untuk membetuli salah faham tentang Allah ialah melalui perdebatan sehat dan dialog bukan pendekatan ketetapan melarang kerana itu sudah masuk dalam daerah memaksa yang ditegah oleh prinsip La Ikraha.

Kisah Kristian Najran yang mengunjungi Nabi Muhammad s.a.w di Madinah menjadi dalil betapa Rasulullah membela prinsip-prinsip di atas walaupun sudah berdebat dan berdialog dengan Nabi, mereka tetap dengan pendirian mereka dan Nabi membiarkan mereka malah mengirim pulang bersama mereka seorang sahabat untuk meneruskan usaha berdialog dengan Kristian Najran.

Nabi berbuat demikian sebagai ikutan kepada kita bahawa prinsip besar Rahmatan Lil Alamin mesti dipelihara bukan melalui larangan kepada agama lain tetapi melalui dialog dan terserahlah kepada Allah ketentuan hidayahnya. Inilah kekuatan Islam!

“Bagi Allah itu hujjah yang kukuh, jika dikehendaki maka akan diberi hidayah kepada kamu semua” (al An'am: 149)

3. Premis perundangan

Undang-undang diperlukan untuk menyelesaikan konflik antara rakyat dan kerajaan. Dari sudut perkataan Allah yang menjadi konflik, ketetapan undang-undang diperlukan bagi mendamaikan pihak yang berkonflik.

Dalam hal ini ialah pihak Gereja dan Kerajaan dan isunya ialah adakah perkataan Allah boleh digunakan oleh majalah Herald. Ia akan menjadi kes duluan kepada apa sahaja isu yang asasnya ialah apakah Kristian boleh menggunakan perkataan Allah atau tidak?

Bagaimana jika digunakan dalam injil? Bagaimana jika penganut Kristian menggunakan perkataan Allah dalam perbualan mereka dengan rakan muslim mereka? Bagaimana dalam nyanyian lagu negeri yang ada perkataan Allah dinyayikan oleh penganut Kristian?

Bagaimana lambang Allah dalam emblem yang dipakai oleh penganut Kristian yang memakainya? Jikalau alasan Allah adalah milik eksklusif umat Islam, maka bagaimanakah kes-kes yang disebutkan di atas?

Asas penghujahan ialah berpandukan kepada Artikel 3(1) yang mengatakan Islam adalah agama resmi Persekutuan dan agama lain bebas untuk diamalkan. Artikel 11 yang secara khusus bercakap tentang kebebasan beragama untuk lain daripada Islam dengan kawalan dalam fasal 4.

Sebenarnya keputusan Mahkamah Tinggi 31 Disember, 2009 telah meletakkan asas perundangan yang cuba memahami kerangka peruntukan di atas dan dengan jelas menunjukkan keterbatasan edaran Herald untuk penganut Kristian sahaja malah melarang edarannya kepada umat Islam. Walaupun Herald boleh diakses melalui portal internet namun persoalannya jika umat Islam membacanya adakah umat Islam akan keliru?

Mahkamah Rayuan

Namun Mahkamah Rayuan 4 tahun kemudian telah menambahkan unsur lain yang lebih meluas dengan membuat andaian teori kekeliruan, keresahan kristianisasi dan asas ketidaksepakatan Katolik pada perkataan Allah.

Mahkamah Rayuan telah membawa isu kalimah Allah kepada satu tahap perbahasan yang mendedahkan dirinya kepada perdebatan teori konspirasi dan kebimbangan yang tidak berasas sekaligus tanpa disedari menceroboh premis prinsip Islam dalam melihat hubungan antara agama yang mesti diasaskan atas prinsip kedamaian.

Rumusan premis perundangan

Mahkamah Rayuan juga telah memberikan gambaran bahawa Islam berhadapan dengan isu ini melalui ketetapan 'Larangan' dan mensia-siakan peluang melaksanakan prinsip Dialog dan Perdebatan yang sehat. Secara hujahan premis prinsip, Mahkamah Rayuan telah melakukan sesuatu yang bercanggah dengan prinsip besar Islam.

Teori konspirasi dan kebimbangan mesti didatangkan dengan bukti supaya prinsip asal boleh dikecualikan (istithna') dengan kadar keperluannya. Malangnya bukti yang ada hanyalah sensasi media dan tekanan golongan ekstrim kanan yang benar dalam hujah premis teologi mereka tetapi tersasar dari hujah premis prinsip, manakala dari premis perundangan, Mahkamah Rayuan mungkin terlepas pandang prinsip lebih besar yang dijunjung oleh Islam dalam konteks hubungan dengan bukan Islam.

Formulasi pendekatan

Isu kalimah Allah lerlu dilihat secara objektif kerana kerapuhan isu ini berupaya menimbulkan ketegangan hubungan antara agama dan menggadaikan cita-cita negara yang berasaskan kematangan dan objektiviti dalam menyelesaikan konflik sebegini.

Kejelasan antara premis-premis yang dikategorikan dalam artikel ini bukan menggambarkan ia bercanggah antara satu sama lain tetapi ia melambangkan inisiatif untuk mencari formula pendekatan kepada masalah secara matang.

Oleh kerana itu, semua pihak perlu menjauhi sentimen dan semua kepimpinan politik harus mencari jalan satu dasar baru perpaduan nasional yang sudah tidak boleh lagi beroperasi atas kebencian dan prejudis tetapi sebagai warganegara yang yakin dengan kerangka yang telah dibina oleh semua pemimpin awal yang berbincang panjang tentang apakah bentuk negara yang kita ingin wariskan kepada generasi akan datang.

Cara berfikir dan mengendalikan situasi seperti kalimah Allah seolah-olah kita berada dalam negara yang baru sahaja merdeka sedangkan ada cara lain yang lebih menggambarkan kematangan berfikir pemimpin dan rakyatnya.

Kita juga tidak boleh membiarkan golongan sempit menentukan masadepan negara ini dalam konteks hubungan antara agama, tetapi ia mesti ditentukan oleh kejelasan prinsip dan ketelusan kita menyelesaikan masalah.

Mara ke hadapan

Jalan ke hadapan bukan pilihan tetapi satu kemestian untuk mereka yang mahu melihat negara ini melonjak dari tahapnya hari ini. Isu kalimah Allah benar jika umat Islam berhujah atas premis Teologi yang amat bercanggah dengan Tauhid yang diimani oleh umat Islam, tetapi ia salah apabila umat Islam menyatakan Allah hanya khusus untuk umat Islam dalam premis Prinsip kerana tiada perenggan dari Al Quran atau Sunnah yang mengizinkan larangan ini diwajarkan supaya prinsip besar dalam hubungan dengan bukan Islam tidak dicerobohi.

Adapun atas premis perundangan, Mahkamah Rayuan pada hemat saya terlepas pandang kerangka negara ini dibina dan dikukuhkan lagi dengan percanggahan ketara prinsip Islam yang mahu membuka ruang berdialog dan bukan peluang untuk melarang dalam konteks hubungan dengan bukan Islam.

“Tidak kami utuskan dikau melainkan untuk membawa Kerahmatan kepada semua” (al Anbiya': 107)

Undang-undang memberikan ruang untuk dibawa kes ini ke peringkat lebih tinggi iaitu Mahkamah Persekutuan, apakah rakyat akan diheret lagi kontraversi ini di peringkat lebih tinggi? Saya tiada jawapan tetapi yang saya inginkan dan idamkan ialah semua rakyat Malaysia dengan satu seruan: “marilah kita mara ke hadapan”. – 23 Oktober, 2013.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments