Opinion

Doa untuk Mesir 528

Game over

Arab Spring sudah sampai kepada satu tahap lain dalam kita melihat perubahan lanskap politik di negara-negara Arab. Sebagaimana yang kita sedia maklum, Mesir adalah antara destinasi awal Arab Spring setelah Tunisia memulakan momentumnya.

Halangan tembok ketakutan yang selama ini menjadi senjata regim kuku besi sudah diruntuhkan maka rejim zalim kini bertembung wajah ke wajah dengan suara rakyat yang mahukan 'mainan' kuasa kuku besi diakhiri segera. Terkini mahkamah mengenakan hukuman mati kepada 528 OKT atas dakwaan membunuh dan mengkianati negara.

Mereka adalah anggota Ikhwan termasuklah Ketua Tertingginya, Dr Badie'. Dunia berkabung bukan sahaja kepada penemuan MH370 yang diisytiharkan semuanya penumpangnya maut tetapi kes 528 yang dikenakan hukuman bunuh oleh rejim tentera Mesir juga menyebabkan dunia berkabung kerana matinya demokrasi.

Imbauan Tahrir Square

Tahrir Square terpahat sebagai saksi kebangkitan rakyat menurunkan rejim Mubarak pada 2009, namun pada 2013 tempat yang sama menyaksikan satu lagi kebangkitan menjatuhkan Presiden Morsi yang dilantik secara demokratik oleh rakyat Mesir buat pertama kalinya dalam sejarah politik Mesir.

Proses antara 2009-2013 juga menyaksikan proses transisi kuasa dan proses pembentukan asas demokrasi dan dalam proses itu kita dapat melihat bagaimana kesan kediktatoran meninggalkan bekas buruk kepada budaya politik rakyat Mesir sehingga sukar untuk melakukan perubahan yang tulen.

Dalam artikel saya sebelum ini, saya tidak menolak teori dasar Amerika di Timur Tengah yang keutamaannya ialah memastikan kewujudan Israel di celah negara-negara Arab. Demokrasi yang mengisi ruang kebangkitan rakyat menjadi 'duri dalam daging' kepada kuasa besar kerana seruan didengungkan oleh Amerika membuka ruang kepada kebangkitan Ikhwan sebagai sebuah entiti parti politik yang mendapat sokongan rakyat untuk memimpin Mesir. Dari sini, Arab Spring melalui fasa baru seolah-olah berlaku U-turn kepada kehendak rakyat yang memilih presiden mereka dengan cara yang sah.

Pendakian Ikhwan

Nama Ikhwan sememangnya nama yang gah dan senarainya kekal sebagai sebuah gerakan Islam yang paling ramai pengikut dan paling tersusun struktur dan aktivitinya. Dahulunya Ikhwan dianggap gerakan dakwah yang disegani tetapi apabila Arab Spring berlaku, kecurigaan kepada Ikhwan sebagai kelompok terkuat berpotensi menguasai suara rakyat mula menjadi kebimbangan dan kebimbangan itu kepada pihak tertentu menjadi kenyataan apabila melalui FJP terbukti Ikhwan menguasai kerusi di Parlimen dan menang sebagai presiden.

Bagi sesetengah pihak dalam lingkungan Ikhwan sendiri, mereka berpendapat pendakian Ikhwan seharusnya lebih berhati-hati kerana respons negatif akan memungkinkan tentera kembali berkuasa dan sekali gus membawa Mesir ke zaman gelapnya kembali.

Walaupun isu tersebut menjadi perbualan hangat dalam lingkungan Ikhwan dan sememangnya pada peringkat awal Ikhwan tidak berminat untuk meletakkan calonnya sebagai presiden, namun entah bagaimana pada saat yang lewat Ikhwan melalui FJP mengisytiharkan calonnya, Mohamed Morsi.

Kemenangan satu bala?

Kemenangan Ikhwan bukan sahaja disambut dengan optimisme seluruh pendokong demokrasi tetapi kememangan Ikhwan juga disambut dengan penuh pesimisme terhadap komitmen Ikhwan kepada lunas demokrasi pemerintahan. Kuasa besar lebih berminat untuk melihat sejauh mana kepentingan dasar rantaunya dapat dipelihara.

Dalam suasana pesimistik ini, tentera mengambil kesempatan mensabotaj suara rakyat dan setiap langkah diambil menjatuhkan Morsi dirancang bagi mencapai maksud kegagalan Ikhwan dan pengkhianatan Ikhwan bagi mewajarkan hukuman bunuh dan menindas Ikhwan dengan restu Arab Saudi dan negara teluk yang lain kecuali Qatar dan Bahrain.

Rejim anjing Mubarak

Mubarak mungkin tidak ada kuasa lagi tetapi sejak awal lagi kejatuhan Mubarak sebahagiannya memang dirancang oleh tentera untuk menghidupkan generasi baru kuasa tentera dan termasuklah General Al Sisi, mereka hanya memerlukan alasan untuk bertindak pada masa dan waktunya yang sesuai sahaja.

Jika pihak sekular yang menguasai kerajaan mungkin tentera akan lakukan rundingan secara halus untuk mereka terus menguasai keadaan. Namun pendakian Ikhwan ke persada kuasa akan memberi 'peluang' bagi tentera untuk memenuhi kehendak teori kuasa besar dan kepentingan dirinya. Kita jangan terkejut selepas ini Mubarak akan dibebaskan atas alasan jasa yang dibuat ataupun dibuang negara ke sebuah tempat yang selesa.

Dunia harus kutuk

Perampasan kuasa tentera di Mesir adalah sesuatu yang tidak dapat diterima kerana ia adalah rompakan ke atas hak rakyat dan pencerobohan kepada lunas demokrasi. Malangnya negara kuasa besar tidak berapa minat untuk membawa isu Mesir ke persada masyarakat antarabangsa mungkin kerana mangsanya ialah Ikhwan yang Amerika menyenaraikan Ikhwan sebagai gerakan teroris. Double standard kuasa besar ke atas Mesir mesti juga dikutuk kerana ia tidak menghormati hak rakyat Mesir yang memilih sebuah kerajaan yang sah.

Hukuman bunuh ke atas 528 anggota Ikhwan termasuk pemimpin tertingginya, Dr Badie adalah satu pencabulan hak asasi manusia kerana mereka dikenakan hukuman atas motif politik dan sebagai pakej kepada rampasan kuasa tentera.

Kemarahan rakyat menjadikan Mesir dalam keadaan huru-hara, dan kemarahan itu bukan sebab Ikhwan tetapi kerana rakyat menuntut hak mereka yang dirampas, apakah dunia boleh biarkan Mesir huru-hara jika benar masyarakat dunia merangkul demokrasi sebagai asas kerukunan sesebuah negara.

Malaysia harus kutuk

Malaysia sepatutnya mengutuk hukuman bunuh yang dikenakan regim tentera ke atas 528 anggota Ikhwan kerana sebagai sebuah negara demokrasi adalah menjadi hak Malaysia untuk memastikan setiap negara tidak merampas hak rakyatnya untuk membuat keputusan.

Sekurang-kurangnya rampasan kuasa tentera mesti dikutuk kerana ia boleh dianggap sebagai senjata politik barbarik pada masa dunia menuju kepada membina struktur kuasa atas prinsip demokrasi dan suara rakyat. Sebagai masyarakat dunia yang cintakan demokrasi, tindakan regim tentera merampas kuasa dan hukuman bunuh ke atas anggota Ikhwan mesti diberi tekanan antaranya ialah menarik balik beribu pelajar Malaysia di Mesir dan memutuskan segala kepentingan perniagaan dengan Mesir dan mengetatkan visa untuk warga Mesir datang ke sini.

Saya yakin rakyat Malaysia akan menyokong tindakan kerajaan untuk menyatakan solidariti sebahagian besar rakyat Malaysia yang cintakan demokrasi dan menyatakan sikap anti-rampasan tentera kita. Doakan untuk E 528. – 26 Mac, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider. 

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments