Opinion

Catatan 10 Februari

10 Februari akan diingat sebagai tarikh hitam dalam sejarah politik tanah air apabila buat kali keduanya tokoh politik paling berpengaruh Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) didapati bersalah atas tuduhan liwat II. Bukan sahaja di Malaysia bahkan seluruh dunia terkejut dalam kes yang lebih dipercayai mempunyai motif politik daripada kes jenayah.

Pukul 7.30 pagi
Pagi ini saya dihujani soalan di Parit Buntar oleh mereka yang menyapa saya di Dataran Sungai Kerian dalam rutin senaman pagi saya. Saya menyatakan dalam apa juga hal DSAI kes akan menimbulkan pelbagai persoalan dan yang paling penting ialah hilangnya keyakinan kepada sistem kehakiman negara.

Pukul 10.30 pagi
Saya menyatakan sejak awal lagi kes DSAI adalah bermotifkan politik kerana itu agak sukar untuk mengakhirinya dengan motif jenayah yang substantif. Proses kehakiman hanyalah sebagai prosedur dalam keputusan untuk menghalang DSAI daripada menggugat hegemoni Umno dan Barisan Nasional (BN).

Lagipun DSAI adalah 'glue' yang menghubungkan kekuatan pembangkang dan membuktikan kejayaan dalam dua Pilihan Raya Umum (PRU) melemahkan kedudukan Umno/BN.

Pukul 12.00 tengah hari
DSAI dengan karismanya menerjah politik perkauman dan dengan beraninya menegaskan politik rentas kaum dan terpaksa mencabar status-quo Melayu ala Umno yang tebal perkaumannya. PAS dan DAP seolah-olah tertarik dengan kuasa magnetik DSAI sehingga kedua-dua parti yang berbeza ideologinya dapat disatukan dalam satu kolusi yang kemudian dikenali sebagai Pakatan Rakyat (PR).

Pukul 2.45 petang
DSAI juga adalah seorang ayah dan suami malah datuk kepada cucu-cucunya. Kita semua punya keluarga, dalam keadaan biasa pun keluarga adalah tempat kita mengadu keletihan, isteri adalah tempat kita merehatkan kepala di bahunya, anak-anak ubat kepada segala kelesuan berjuang.

DSAI akan kehilangan semua itu buat kali keduanya. Walaupun DSAI senantiasa kelihatan tenang dan itulah kelebihannya namun berat mata memandang berat lagi bahu memikul. DSAI dipisahkan sekali lagi dengan keluarga tercinta oleh jeriji besi.

Pukul 3.45 petang
Apa akan berlaku pada PR? PR akan terus disatukan oleh kuasa magnetik DSAI walaupun dia di dalam penjara. Kuasa magnetik tidak perlu wujud secara zahir kerana ia kuasa yang tidak kelihatan dan kerana itu PAS dan DAP akan sentiasa tertarik pada kuasa ini.

PKR akan terus digandakan semangatnya dan itulah yang berlaku apabila pemimpin besar yang mereka kasihi dipenjarakan. Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh akan menjadi saksi dan dua tiga tahun ke arah PRU14,  PR memerlukan nafas yang panjang untuk meneruskan perubahan yang diamanahkan rakyat.

Pukul 5.00 petang
Orang ramai bukan kecewa dan sedih pada DSAI kerana air mata mereka kering sejak kes liwat I, namun lebih bahaya ialah rakyat kecewa kepada kehakiman yang memilih untuk berada dalam alam gelap demi memenuhi kehendak tuan politik.

Mereka mempunyai pilihan untuk memulihkan keadaan tetapi jiwa keadilan mereka dirampas oleh penguasa politik tamak yang lebih takut kuasa mereka tergugat daripada takut pada kebangkitan rakyat. Rakyat juga boleh memilih dan kita harus memilih supaya penguasa politik yang tamak mesti takut kepada kita, takut kepada suara keramat rakyat. – 11 Februari, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments