Opinion

Agenda Melayu dan model keterbukaan

5 APRIL — Soalan tentang Melayu selalu diperdebatkan di pentas-pentas politik, samada isu itu diperdebatkan secara objektif mahupun secara emosi. Sentimen agenda Melayu sememangnya merupakan asas kepada terbinanya politik negara sejak merdeka dan hingga kini ia masih menjadi perhatian kesemua pihak termasuk NGOs dan individu tertentu. Hingga hari ini model pemikiran Melayu masih dikuasai oleh pemikiran yang terbentuk dari asas keistimewaan. Keistimewaan ini didefinisakan dan diterjemahkan pula oleh dasar-dasar kerajaan tentang agenda Melayu di dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Model Ekonomi Baru (MEB).Asasnya ialah ekuiti berpandukan kepada kek ekonomi yang mensasarkan 30 peratus pemilikan Bumiputera. Selama hampir 40 tahun dasar ini mewarnai rencah-rencam politik Malaysia dan isu perkauman diselitkan bagi mewajarkan keberlangsungannya. Selama ini kerangka pemikiran Umno yang membentuk agenda Melayu dan kini kerangka itu dicabar dengan konsep penyegaran yang menyeru kepada keterbukaan dan persaingan.

Dengan peredaran zaman, isu DEB dipertikaikan hatta oleh orang Melayu dengan kemunculan elit korporat Melayu yang dilihat mendapat habuan tetapi orang Melayu masih ketinggalan. Isu perlindungan politik yang dulunya dilihat sebagai satu pendekatan yang memajukan orang Melayu kini dipersepsikan sebagai sesuatu yang “memanjakan” orang Melayu dan istilah membuang “tongkat” mula terdengar dari pemimpin Umno sendiri yang menjadi peneraju DEB. DEB kemudian menjadi MEB iaitu Model Ekonomi Baru yang melihat pembelaan kepada 40 peratus merentasi semua kaum yang perlu bantuan kerajaan.

Ironinya, isu agenda Melayu walaupun sejak sekian lama mendasari isu ekonomi, politik dan sosial, ia seakan-akan tidak berganjak kerana Umno masih menegaskan ekuiti 30 peratus tidak tercapai dan bertegas mengatakan masih di tahap 18.9 peratus dalam satu perdebatan yang mendakwa ekuiti Melayu sudahpun menjangkaui 30 peratus.

Lingkaran perdebatan ini tidak kesudahan dan akhirnya kita akan balik kepada isu yang sama. Kegagalan kita keluar dari lingkaran ini akan mendedahkan isu Agenda Melayu tidak ke mana kerana punca kegagalan bukan kerana dasar itu tetapi salahguna dasar yang melahirkan kronisma dan nepotisma. Perlindungan Politik menjadi amalan dan Umno menjadi badan pelaburan korporat sehingga apa yang diperjuangkan bukan lagi isu Melayu tetapi Melayu yang mendapat perlindungan dari Umno.

Pagi ini soalan saya di Parlimen menjawab ironi ini apabila Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri menjelaskan bahawa 8 Kementerian di bawah 18 agensi terlibat untuk pembangunan Usahawan Bumiputera dengan kos RM1.35 bilion. Apakah kita akan terus berbelanja untuk keusahawanan Bumiputera sedangkan isu utama tidak digarap. Apakah isu utama yang menggagalkan semua perbelanjaan ini? Antaranya tender yang tidak terbuka, ketirisan, rasuah, integriti dan amalan politik perlindungan dan mentaliti politik sempit yang asasnya ialah perkauman sempit. Isu Melayu menjadi agenda kepentingan politik dan bukan keperluan masyarakat yang perlu pembelaan dalam keadaan hidup yang tersempit hari ini.

Saya mencadangkan isu agenda Melayu perlu keluar dari kepompong pemikiran Umno yang menanam kebangkitan Melayu atas teori terancam sehingga Agenda Melayu menjadi satu taburan benih kebencian antara kaum dan pihak tertentu menunggang suasana ini untuk terus hidup segar bawah teori ancaman ini. Agenda Melayu perlu kepada penyegaran dari teori ancaman kepada teori persaingan yang sehat. Setelah sekian lama, orang Melayu mempunyai kemampuan malah potensi yang hebat jika suasana keterbukaan menjadi medan persaingan kerana selama ini usahawan Melayu ditapis mengikut konsep perlindungan politik dan bukan kemampuan dan potensi berniaga.

Model keterbukaan Agenda Melayu telahpun diamalkan di negeri Pakatan termasuk Pulau Pinang apabila melalui tender terbuka usahawan Melayu di Pulau Pinang berjaya mendapat lebih 60 peratus kontrak yang ditawarkan oleh PDC dan PBAPP. Orang Melayu boleh maju dan mampu bersaing tanpa perlindungan politik, supaya rakyat boleh berjalan terus dengan agenda melindungi atas dasar keperluan seperti yang ditawarkan oleh manifesto Pakatan. Kalau bertanya saya, Agenda Melayu perlukan model keterbukaan dan persaingan yang sehat dan kita boleh melonjak kepada satu era baru di mana Agenda Melayu tidak lagi menjadi isu politik tetapi pengukuhan kepada persaingan yang sehat untuk kebaikan semua pihak di negara ini.

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments