Opinion

Umno sudah kembali aman atau belum?

“Maklumat tak rasmi ketika ini di PWTC Ahli Majlis Tertinggi Umno sebulat suara menasihatkan agar Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan sebagai presiden Umno dan perdana menteri  Malaysia dan digantikan dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin." 

Begitu bunyi “laporan terkini” yang tersebar menerusi WhatsApp petang 11 Mei ketika mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno sedang berlangsung.

Tidak diketahui siapa yang menyajikan  “laporan” berkenaan yang disebar  siap dengan foto mesyuarat MT yang sedang dipengerusikan presiden Umno.

Perkataan utama dalam mesej itu ialah “ maklumat tak rasmi”.

“Maklumat rasmi” seperti yang sekarang kita tahu ialah “semua ahli majlis tertinggi Umno memberi sokongan penuh kepada Najib (dan Muhyiddin selaku timbalan presiden parti)”.

Dan maklumat rasmi itu diumumkan Najib sendiri (bukannya timbalan presiden atau ahli MT) pada sidang akhbar yang diadakan selepas mesyuarat ditangguhkan.

Memeranjatkan bagi sesetengah pihak. Tidak bagi yang lain.

Memeranjatkan kerana ramai yang menjangka atau mengharap “maklumat tak rasmi “  yang tersebar melalui WhatsApp seperti yang disebut tadi menjadi kenyataan – kerana bak kata blogger pro Umno Shahbudin Husin  “sebelum mesyuarat MT banyak tembakan ditujukan kepada Najib berkaitan isu 1MDB,Tabung Haji dan kesannya kepada sokongan rakyat”.

Dan umum pula tahu Muhyiddin dan juga naib naib presiden parti serta ketua Pemuda bersuara dan melahirkan kebimbangan akan keadaan Umno masa kini akibat isu-isu berkenaan.

Bagi yang tidak terperanjat , pendirian menyokong Najib sudah dijangkakan.

“Konar baring demi kesejahteraan bersama. Dan setakat semalam (11 Mei) mereka sayang menyayangi,” kata satu sumber dalaman Umno. Kata kata sinis yang membawa erti mereka yang sebelumnya nampak marah terhadap Najib membuat “U turn”.

“Demi kesejahteraan bersama “ agak jelas maksudnya. Teringat dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad tempoh hari, Umno sekarang “is all about money”. Waullahualam.

Namun Najib melihat sokongan ahli MT kepadanya dibuat “demi perpaduan parti".

Shahbudin tidak percaya “all’s well in Umno now” selepas mesyuarat MT pada 11 Mei lalu. Menurutnya “body language” Najib dan Muhyiddin tidak menunjukkan keceriaan dan  “daripada apa yang diluahkan Najib selepas mesyuarat itu jelas perbincangan agak panas dan tegang”.

Seorang pemerhati politik pula memberitahu hasil perbualannya dengan beberapa orang Umno termasuk dua ketua bahagian, ramai “yakin Muhyiddin tidak begitu senang dengan apa yang diperkatakan Najib” dan “mereka pula tidak puas hati dengan isu 1MDB, Tabung Haji dan GST”.

Menurut pemerhati politik itu ,“mereka tahu Najib sedang meraih sokongan orang Umno bermula dengan MT tetapi ada yang sangsi  akan sokongan MT yang diberi kepada presiden”. 

Kata satu lagi sumber Umno: “Di semua peringkat secara rasminya begitulah (yakni sokongan terhadap Najib).Tapi secara peribadi rata-rata mahu  di atas tu ditukar. Silent majority”.

Jika begitulah keadaannya, Umno bahagian perlu mencalonkan seseorang untuk mencabar “yang di atas “ kerana “yang di atas  tidak bercadang turun dengan rela \”.

“Rasanya begitulah,” kata sumber Umno berkenaan tetapi mengakui “nombor satu masih kuat cengkamannya”. Umum tahu  siapa yang dimaksudkan dengan “nombor satu”. 

Jika Najib dicabar pada pemilihan parti tahun depan, semua jawatan tertinggi akan turut menyaksikan pertandingan.

Namun sebelum itu semua boleh berlaku – persoalan penting ialah adakah Umno Bahagian yang berani membuat pencalonan menentang Najib ?

“Kali ini mesti ada bahagian yang calonkan. Sekarang dah tak macam dulu. Ikut je (arahan ketua bahagian). Perwakilan ramai yang tak sependapat dengan ketua bahagian,” kata sumber Umno tadi.

Namun ada pula yang berpendapat Umno tidak akan berani berbuat demikian walaupun  tampak akan berbuat demikian . Itu pada hemat mereka ialah  “keindahan Umno”. – 13 Mei, 2015.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider. 

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments