Opinion

Umno dan PAS, siapa dapat apa?

Apa definisi “kerjasama”  yang ditawar presiden Umno kepada PAS tempoh hari ?

Walaupun ramai dalam Umno dan PAS bercakap mengenai tawaran itu tetapi tiada siapa yang bercakap mengenai bentuk “kerjasama” itu sendiri.

Adakah “kerjasama” itu membabitkan PAS bergabung dengan Umno ? Maka, akan dikenali sebagai  PASNO atau UMPAS?

Atau PAS kekal dalam bentuk sekarang tetapi menjadi komponen BN ?

Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendakwa kerjasama kini di peringkat “persefahaman” tetapi  mengakui “ belum menjurus kepada pendekatan politik dengan ikatan organisasi ”.

Satu kenyataan yang membuka ruang kepada pelbagai intepretasi.

Namun hakikatnya ialah perkiraan mengenai keuntungan politik yang boleh diraih daripada tawaran Datuk Seri Najib Razak kepada PAS yang dibuat penghujung Perhimpunan Agung Umno 12 Disember lalu.

Untung untuk Najib ialah beliau “membuktikan” khusus kepada ahli partinya yang beliau pemimpin “Islamik berjiwa besar” yang “rendah hati  menghulur tangan untuk menjalin silatulrahim kepada musuh politik demi perpaduan ummah”.

Berdasar reaksi ahli Umno, jelas langkah Najib bukan sahaja diterima malah dipuji ketika beliau ditekan beberapa pihak dalaman berhubung pelbagai isu yang semua sudah maklum.

Tanpa mempersoal atau mempertikaikan “keikhlasan” beliau, pelawaan itu juga dilihat boleh “memerangkap” PAS.

Sebarang penolakan PAS akan mengakibatkan parti Islam itu dituduh “sombong, angkuh dan tidak berminat memupuk perpaduan umat Islam dan orang Melayu”.

Sebagai orang politik berpengalaman, pemimpin PAS rasanya nampak itu semua.

Lantas mengambil “sedikit” masa sebelum memberi tindak balas terhadap pelawaan Najib. Itu pun 1 response yang berlapik walaupun positif.

Persoalannya ialah selain Najib, Umno sendiri dapat apa jika terjalinnya kerjasama dengan PAS ?

Umno akan dilihat sebagai “benar-benar ikhlas memperjuang Islam” .

Sekali gus  memperkukuhkan kedudukan di kalangan pengundi Melayu pada pilihan raya  umum akan datang. Khususnya kekuatannya di luar bandar.

Apa pula PAS dapat?

PAS  juga akan mengukuh kedudukan sebagi parti yang mendapat sokongan pengundi Melayu. Kekuatannya di Kelantan dan Terengganu tidak boleh digugat. Parti itu akan bertambah selesa di Kedah dan Perlis.

Namun masalahnya Umno dan PAS kedua-duanya menyarankan kumpulan sokongan yang sama. 

Kedua-dua “target” orang Melayu. Maka timbul masalah pembahagian kerusi pilihan raya.

Semua kawasan yang PAS tanding,  ditandingi juga Umno. Amalan ini mesti dihentikan jika kerjasama Umno – PAS  benar benar membawa erti “bekerjasama”.

Jadi persolannya siapa akan bertanding dan di mana?

Mungkin di kerusi Umno atau PAS pasti menang bolehlah ada kompromi. Contohnya Pekan atau Marang.

Tetapi bagaimana pula kawasan lain?

Siapa yang akan beralah? Calon siapa akan dipilih? Siapa yang gugur? Perlu diingat ini membabitkan “nama besar”. 

Kawasan 50-50, di mana Umno dan PAS sama kuat apa ceritanya ?

Dan berapa jumlah kerusi Umno tanding dan berapa pula untuk PAS?

Parti mana yang dominan?

Itu hanya 1 aspek yang tentunya memeningkan kepala pemimpin kedua-dua pihak.

Beralih pula kepada soal hudud.

PAS sudah berikrar (atau bersumpah? ) tidak akan bertolak ansur mengenai hudud. Dengan terjalin kerjasama dengan Umno, undang-undang itu akan diketengah untuk dilaksanakan dengan sokongan Umno.

Umno mesti menyokong. Tidak sokong bermakna mereka “main wayang”.

Namun sokongan Umno terhadap hudud tidak akan disenangi rakan bukan Muslimnya dalam BN.

BN akan hilang “fixed deposit” di Sabah dan Sarawak. Sesuatu yang Najib tidak ingin berlaku.

Di semenanjug orang yang tidak undi BN dahulu akan tetap tidak undi BN pada PRU 14.

PAS akan dilihat sebagai membebankan BN tetapi tidak boleh melangkah kebelakang.

Menarik balik atau melembutkan agenda hudud akan menyaksikan parti itu hilang kepercayaan penyokongnya.

Cukuplah setakat di situ walapun banyak lagi isu berhubung soal kerjasama Umno–PAS.

Realitinya, tawaran yang dibuat Najib boleh menyenang dan menyusah Umno dan PAS.

Boleh menyengat, boleh juga disengat. – 21 Disember, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments