Opinion

Tak acilah macam ni!

Kerajaan mahu undang-undang siber negara diperketat, antara lain mewajibkan  portal berita atas talian (online news portal) didaftarkan dengan pihak berkuasa di samping membolehkan laman-laman sesawang dihalang.

Itu demi “keselamatan dan kestabilan negara,” kata kerajaan.

Kata pengamal media (terutama yang bukan berkaitan dengan kerajaan), itu satu lagi tindakan mengawal media.

Apa pun, pindaan undang-undang siber dijangka dibentangkan di Parlimen pada Oktober ini.

Baru-baru ini, akhbar The Edge Financial Daily dan The Edge Weekly digantung  penerbitan selama 3 bulan. Juga, “demi kepentingan negara” kata kerajaan.

Bekas menteri Tan Sri Rafidah Aziz tidak bersetuju media negara ini dihukum hanya kerana menyiarkan berita yang tidak disenangi kerajaan.

Terima kasih Tan Sri.

Namun, hakikatnya media terus “dapat susah” jika menerbitkan laporan yang pihak berkuasa “tidak berkenan”.

Walaupun berita itu benar (tetapi tidak pada pandangan pihak berkuasa).

Dilihat pada sudut lain, pihak berkuasa mahu laporan yang “enak-enak” sahaja disiarkan.

Ini bukan perkara baharu dan kita boleh bercakap mengenainya “till the cows come home” – bak pepatah Inggeris.

Lantas artikel ini bukan mengenai itu.

Sebaliknya, mengenai “peraturan siar berita enak-enak “ yang nampaknya dilanjutkan kepada pembikin filem tempatan.

Kita tahu pelbagai sekatan dan pantang larang sudah lama dikenakan ke atas pembikin filem tetapi ia kini lebih jelas dan tegas.

Khususnya untuk “make for TV films”.

Kerajaan mengeluarkan peraturan terbaharu.

Menurut pekeliling Lembaga Penapis Filem bertarikh 23 Jun lalu, babak dan  dialog yang “menyindir, mempersendakan,  mengkritik kerajaan dan sensitiviti politik negara” akan dipotong daripada filem tempatan di televisyen, bersama adegan dan dialog yang “mencemar imej kerajaan”.

Contoh adegan itu termasuklah “kakitangan awam menerima rasuah atau menyalahgunakan kuasa mereka”.

Jelas kerajaan menganggap adegan rasuah dan sebagainya sesuatu yang mengkritik dan mencemari imej mereka.

Namun adanya adegan atau babak seperti itu dalam filem bukan bererti si pembikin filem mahu menghentam kerajaan atau menuduh negara ini dilanda wabak rasuah dan seluruh anggota kerajaan mengamalkan rasuah.

Ada lagi peraturan.  Pihak berkuasa juga tidak mahu adegan ajaran sesat yang tidak menerima pembalasan, cerita penjenayah yang tidak ditangkap.

Maknanya, mesti ada “fairy tale ending”. Semua orang jahat dihukum pada penghujung cerita tetapi realitinya memang ada orang jahat yang lepas dan bebas. Ada orang sesat yang tidak insaf. Dulu, kini dan selamanya.

Bagi saya ini semua bagai mendorong ke arah penerbitan cerita dongeng, “where everybody live happily ever after”. Tak “real”.

Larangan itu turut membabitkan adegan minum arak dan hisap rokok.

Bayangkan adegan kelab malam di mana semua pelanggan tidak menghisap rokok dan “arak” (walaupun ditukar dengan minuman biasa) tidak disajikan. Ini pun tak “real”.

Benar, wayang adalah wayang. Pun begitu, biarlah “realistik” – sesuatu yang penonton boleh kaitan dengan kehidupan seharian.

Pengarah filem tempatan Shahrulezad Mohameddin dipetik berkata, beliau merasa terikat apabila garis panduan baharu melarang adegan isteri dan kanak-kanak didera.

“Hmmm.. macam mana nak buat cerita pasal penderaan isteri atau anak kalau  scene yang menunjukkan kekerasan itu bakal dipotong? Apa yang hendak diceritakan? Takkan nak main dialog jer.. hmmm. Tang ni, aku ada sikit musykil,” katanya menerusi Facebook.

Namun beliau akui pembikin filem “kena terima juga garis panduan itu”.

Peraturan baharu ini kata kerajaan, “hanya” membabitkan filem siaran televisyen. Tetapi banyak juga filem tempatan yang setelah ditayangkan di pawagam disiarkan pula di televisyen.

Justeru, pembikin filem (untuk televisyen atau panggung wayang) tertakluk dengan peraturan berkenaan.

Seperti kata Shahrulezad, pembikin filem mesti akur. Filem mereka akan dicencang jika tidak menepati syarat pihak berkuasa atau stesen televisyen tidak mahu membeli hasil karya mereka.

Ini bagi saya, mengongkong kreativiti seni orang filem kita hanya kerana pihak berkuasa takut akan bayang-bayang  sendiri.

Apa yang kerajaan mahu nampaknya ialah penghasilan propaganda yang menunjukkan tiada perkara buruk berlaku di negara ini.

Gejala negatif ada di semua negara seantero dunia. Itu realiti.

Saya ulangi. Menayangkan adegan yang kerajaan tidak suka bukan bererti “Malaysia is a failed state”. Takkanlah rakyat Malaysia beranggapan demikian hanya dengan menonton filem yang ada babak orang menghisap rokok, terima rasuah atau mendera isteri. 

Orang tengok wayang untuk berhibur. "Propaganda is not entertainment". – 8 Ogos, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments