Opinion

Semua yang berlaku dalam Umno ada dalangnya?

Diberitakan Umno Sepang, (katanya hampir 20 pemimpin akar umbi), mahu Datuk Seri Najib Razak berundur daripada jawatan presiden parti dan perdana menteri Malaysia.

Kerana isu “political donation” RM2.6 billion, 1MDB serta pelaksanaan GST .

Kata 1 sumber dalaman Umno :  "Biasalah tu bro".

Apabila diminta mengulas tindakan pemimpin akar umbi Sepang itu. Kurang pasti apa maksudnya. Tidak ada huraian yang mengiringi respon itu.

Adakah “biasalah tu bro” bererti orang Umno khususnya peringkat akar umbi suka “bising”?

Atau meminta (lebih tepat mendesak) presiden letak jawatan sesuatu yang biasa dalam Umno ? Satu amalan lazim ? Rasanya tidak.

Walaupun zaman Pak Lah ia berlaku.

Dalam konteks Najib, desakan beliau mesti undur kerap disuarakan beberapa lapisan dalam parti.

Selain Sepang , pemimpin akar umbi Teluk Kemang menyuarakan gesaan sama September lalu.

Yang disuarakan Tun Mahathir Mohamad semua sudah maklum.Tidak perlu diperincikan.

Pun begitu Najib tampak atau sememangnya kukuh kedudukannya. Lalu tidak berhasat berundur

Walau itu keadaannya, yang pasti ialah rasa tidak senang dengan Najib masih atau tetap wujud di kalangan ahli biasa Umno.

Bak kebakaran dalam tanah gambut.

Team Najib tahu akan situasi itu tetapi tidak cemas kerana yakin “kebakaran” tidak besar dan mudah dikawal.

Bagi Setiausaha Agung Umno Tengku Adnan Mansor, tindakan akar umbi Sepang disyaki ada dalangnya. Siapa yang beliau syak tidak dinamakan.

”Biar kami siasat dulu“, kata beliau sambil menegaskan “ada orang yang cari jalan untuk pecah belahkan Umno “.

Bukanlah rahsia besar ada bermacam puak dalam parti. Keadaan lebih rumit apabila Najib menyingkirkan Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada jawatan timbalan perdana menteri .

Sekadar mengimbas kembali “cerita lama”.

Muhyiddin seperti kita tahu sehingga kini kekal timbalan presiden Umno tetapi mendapati kuasanya selaku orang nombor 2 parti terhakis.

Sejak kebelakangan ini heboh dikatakan akan dikenakan tindakan kerana terus mengkritik kepimpinan Najib.

Sekali lagi sekadar mengimbas kembali “cerita lama”.

Soal dalang juga cerita lama.

Pemimpin Umno sejak dulu gemar bercakap mengenai dalang. Sama ada dalang dalaman atau dalang luaran. Ada kalanya betul. Ada kalanya temberang.

Tetapi dengan mensyaki tindakan di Sepang didalangi, Tengku Adnan seolah melihat pemimpin akar umbi terbabit tidak mampu berfikir mahu pun membuat keputusan dan mengambil tindakan sendiri.

Sehingga memerlukan “dalang yang pull the strings”.

Andaian yang boleh mengguris perasaan dan merumitkan lagi keadaan yang sedia ada rumit.

Tidakkah terfikir mungkin mereka bertindak sendiri?

Tanpa si dalang. – 20 November, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments