Opinion

Raja Lawak juga dikira menghasut ke?

Pelbagai definasi “hasutan” kini diketengahkan oleh pelbagai pihak. Dan bermacam cara diguna bagi membuktikan kesetiaan, khususnya terhadap istana.

Baru-baru ini penyanyi  dangdut Hermantino  meminta Astro ( minta dengan baik katanya ) mengubah tajuk atau nama rancangan pertandingan lawak terbitannya.

Bagi Hermantino, menamakan rancangan berkenaan  “ Raja Lawak” dan “Maharaja Lawak “ amat tidak sesuai.

“Mengapa mesti dirajalawak dan dimaharaja lawakkannya?” tanya beliau, sambil menyifatkan itu sebagai sesuatu yang  “menghasut  generasi muda” terhadap raja-raja Melayu.

Ini kata beliau lagi, “Seolah olah meletakkan raja-raja setaraf dengan Raja Lawak.” 

Itu hak Hermantino  menyuarakan pandangan dan cara menunjuk setia beliau terhadap institusi raja dan kesultanan Melayu. Yang mendengar juga punya hak  untuk setuju atau tidak dengan pandangan itu.

Namun Hermantino tidak berhenti di situ.

Beliau juga menyarankan filem arahan P Ramlee  “Musang Berjanggut”  dikurangkan tayangannya kerana pada hematnya filem itu “memperlekehkan bukan sahaja raja bahkan orang agama”.

Seperti umum tahu ada babak dalam filem itu yang menunjukkan beberapa  pembesar negeri yang tua tetapi “miang” dijadikan “kuda tunggangan” oleh gadis jelita yang  si tua miang cuba pikat .

Sekali lagi itu hak Hermantino mengutarakan pendapat .

Bagaimanapun, beliau kemudian berkata, “Perlu mengucap tahniah kepada Lee Kuan Yew kerana berjaya membuatkan P Ramlee menghasilkan  filem-filem yang mempersendakan raja-raja yang bertujuan menjadikan negara ini sebuah republik”.

Lebih kurang begitulah bunyinya ( klip videonya boleh ditonton di Kini TV diportal berita Malaysiakini).

Bab ini saya ingin komen. Cuma sedikit.

Pertama – menurut amalan lazim , kita tidak berkata tidak baik mengenai orang yang sudah meninggal dunia. Kata kuncinya – lazim. 

Kedua – tidak adil untuk melemparkan tuduhan sedemikian terhadap P Ramlee kerana Allahyarham sudah tiada unuk menjawab tuduhan dan mempertahankan diri.

Namun Hermantino masih boleh berdepan dengan Lee Kuan Yew di Singapura. Jika mahu.

Sama ada bekas PM Singapura itu mahu melayan atau tidak, waullahualam. – 25 September, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments