Opinion

Penjenamaan semula jenama Najib

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sudah dan sedang “mentransformasikan” imej dan strateginya dalam menghadapi kemelut politik masa kini.

Agak jelas sekarang “jenama Najib” sedang melalui fasa penjenamaan semula. “The rebranding of Brand Najib”. Apa itu “brand” atau jenama Najib?

Ketika menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), strategis Najib merasakan diri beliau akan diterima baik rakyat. Imej Najib dilihat lebih baik daripada imej Barisan Nasional (BN) termasuk Umno sendiri.

Umno dan BN keseluruhannya masa itu dipandang negatif pelbagai pihak dan diramal akan menghadapi kesukaran berhadapan parti lawan pada PRU13.

Lantas lahirlah jenama Najib. Imejnya sebagai seorang perdana menteri untuk semua dan pemimpin yang sederhana ditonjolkan.

Bagi menarik minat golongan muda, Najib “dicorak” sebagai “sempoi” dan “cool” – berselfie, berkicau di alam Twitter, menghadiri konsert di samping menonton aksi Manchester United, pasukan bola sepak kesayangannya menerusi TV bersama rakyat biasa.

Malah untuk merapatkan diri dengan komuniti bukan Melayu khasnya masyarakat Cina, wujud panggilan Ah Jib Gor dan Facebook dalam bahasa Cina.

Bagi meningkat imejnya di pentas antarabangsa, pasukan pimpinan perunding komunikasi Paul Stadlen bekerja keras menghasilkan Najib mendapat liputan positif media antarabangsa.

Dengan keterampilan seperti itu, kempen PRU13 BN dijalankan ala-pilihan raya presiden Amerika Syarikat. Hasilnya tidak seperti yang diharapkan. BN walaupun berjaya mengekal pemerintahan dan Umno memenangi lebih banyak kerusi Parlimen berbanding PRU12.

Kini, seperti umum tahu, Najib berdepan masalah 1Malaysia Development Berhad (1MDB), isu “derma“ RM2.6 bilion, keadaan ekonomi negara yang tidak menentu, nilai ringgit yang mengecut dan pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai timbalan perdana menteri.

Sudah timbul suara dalam Umno yang menentang walaupun tidak ramai yang bersuara demikian. Hakikat yang berlaku ini membimbangkan kumpulan strategik Najib kerana sebelum ini, semua ketua Umno bahagian dikatakan teguh bersamanya.

Malah, Najib sendiri mengumumkan “3 juta ahli Umno menyokong saya”. Lalu, beliau dilihat perlu mengukuh kedudukan dan antara strateginya ialah mengekalkan sokongan masyarakat Melayu luar bandar di samping mendapat sokongan Melayu bandar.

Oleh itu, jenama Najib sekarang membabitkan imej beliau sebagai “lebih Islamik”. Seorang bekas ahli think tank yang terbabit dalam kempen BN pada PRU13 merujuk kepada Seminar Antarabangsa Wassatiyah 2015 yang akan diadakan di Kajang bermula 18 Ogos ini.

Seminar itu akan menyaksikan penyertaan cendekiawan Islam. Sesi pertama menempatkan Nasharuddin Mat Isa, bekas timbalan presiden PAS, selaku moderator.

“Ini bakal menjadi permulaan Najib sebagai tokoh Islamik. ‘Consolidating Malay Muslim votes’,” kata bekas ahli pemikir tadi.

Namun sebelum ini Najib sudah pun mempamerkan “ciri-ciri Islamik”. Bukan bererti beliau tidak Islamik dahulunya, tetapi sejak kebelakangan ini (terutama Ramadan lalu) aktiviti agama membabitkan Najib lebih kerap dianjurkan. – 17 Ogos, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments