Opinion

Orang kampung pun tahu 1MDB

Rata-rata isu 1MDB "diceritakan" dalam Bahasa Inggeris. Dan kerana ia satu topik yang berat memang tidak mudah untuk memahaminya dengan baik.

Apatah lagi terma yang digunakan agak ‘alien’ bagi orang yang tidak mahir dalam aktiviti ekonomi, perniagaan dan perdagangan yang dijalankan secara besar. Orang seperti saya.

Umum maklum Tun Dr Mahathir Mohamad kerap bercakap dan menulis mengenai 1MDB dalam Bahasa Inggeris dan Melayu.

Dan seperti yang kita tahu 13 Mac lalu bekas PM itu menulis lagi mengenai 1MDB dalam blognya Chedet.cc.

Beliau menulis dalam Bahasa Melayu dengan panjang lebar menghuraikan persoalan yang terus menerus menghantui 1MBD, badan yang dipengerusikan Datuk Seri Najib Razak dan permasalahan yang timbul.

Paling menarik kali ini, Dr Mahathir menghuraikan dengan terperinci kontroversi yang dikaitkan dengan 1MBD .

Huraian dibuat menggunakan Bahasa Melayu mudah, simple tanpa perkataan besar. Persoalan dan masalah disusun satu persatu. Mengikut nombor 1 – 29. Setiap perenggan pendek dan padat.

Oleh demikian, bolehlah dikatakan orang yang sebelum ini tidak faham isu 1MDB boleh faham. Malah kemungkinan besar sudah faham apa yang heboh dipertikaikan sejak kebelakangan ini. Dalam istilah biasa, “Orang kampung pun sudah tahu”.

Dan mereka termasuklah orang Umno, ahli biasa. Bukan ketua bahagian yang bertuah mendapat penjelasan Najib berhubung isu itu sebelum ini.

Apa yang ditulis Dr Mahathir dalam blognya pada 13 Mac dengan pantas dimasukkan dalam Facebook orang Umno sendiri.

Posting Dr Mahathir turut dihantar oleh orang Umno menerusi WhatsApp kepada orang Umno, ahli biasa kepada ahli biasa. Lantas memanjangkannya kepada lebih ramai ahli Umno, rakan dan taulan.

Kita tahu tidak lama setelah posting mengenai 1MBD dibuat blog Dr Mahathir tidak dapat diakses. Ada yang mendakwa itu perbuatan “khianat”.

Pegawai Dr Mahathir Sufi Yusof, dipetik media sebagai berkata blog berkenaan “digantung” akibat kebimbangan ia boleh “crash” kerana jumlah pengunjung yang terlalu ramai.

Pun begitu ramai yang masih percaya blog berkenaan “dihack” kerana artikel Dr Mahathir mengkritik keras 1MDB dan Najib. (Blog Mahathir kini boleh diakses tanpa masalah dan posting mengenai 1MDB masih dipaparkan).

Difahamkan pihak yang menghantar tulisan Dr Mahathir menerusi WhatsApp mendakwa mereka sempat membuat “salinan “ artikel berkenaan sebelum blog Chedet tidak dapat diakses.
Walau apa pun, bolehlah disimpulkan apa yang Dr Mahathir ketengahkan mengenai 1MDB sampai kepada ramai ahli Umno di seluruh pelosok negara dan golongan akar umbi.

Menarik keadaan ini kerana akar umbi menurut Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Hussein ialah kekuatan Umno untuk “menangkis fitnah pembangkang.”

Kata-kata beliau disampaikan pada majlis di Melaka pada hari yang sama posting Mahathir mengenai 1MDB disiarkan dalam blog Chedet.

Namun Hishamuddin bercakap secara am dan tidak merujuk kepada 1MDB.

Bagi golongan akar umbi, setelah memahami hujah Dr Mahathir mengenai 1MDB adakah semua yang diperkatakan bekas presiden mereka itu akan diambil serius? Atau dipandang enteng? – 17 Mac, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments