Opinion

Najib tertekan pelbagai sudut

Serba tidak kena nampaknya Datuk Seri Najib Razak. Daripada serangan keras berterusan Tun Dr Mahathir Mohamad, reaksi Wall Street Journal dan Tun Ling Liong Sik terhadap gertaknya menyaman mereka, tindakan undang-undang Anina Saaduddin ke atas dirinya sendiri sehingga kepada gambar bersalaman mesra dengan Benjamin Nentayahu.

Banyak lagi sebenarnya. Tetapi masalah utama terkini tentulah titah raja-raja Melayu berhubung 1MDB.

Ada yang melihat itu sebagai "tanda" raja-raja Melayu sudah hilang keyakinan terhadap perdana menteri. Walaupun bahasa yang digunakan tidak keras (tapi tegas) dan tanpa menuding jari.

Media pro Umno tidak memberi keutamaan terhadap titah berkenaan. Tetapi umum tahu juga raja Melayu mahu kerajaan menyelesaikan siasatan 1MDB secepat mungkin dan ambil tindakan ke atas pihak yang terlibat.

Sebelum ini beberapa pihak menuduh kerajaan khususnya Najib, "sengaja melengahkan" siasatan. Malah ada yang mendakwa Najib "membantutkan" siasatan dengan mengambil beberapa langkah termasuk memindah atau menghentikan khidmat penyiasat dan mengambil tindakan udang-undang ke atas pengadu.

John Pang, fellow kanan di S Rajaratnam School of International Studies di Singapura berpendapat Najib kini kelihatan semakin terpinggir. Isolated, katanya.

"Kenyataan raja-raja Melayu itu menggambarkan beliau (Najib ) sudah hilang keyakinan raja,” menurut Pang seperti dipetik akhbar The New York Times.

Sambil mengambil kira raja-raja "tidak pernah menyentuh secara spesifik urusan kerajaan" (sebelum ini),  Pang percaya kenyataan mereka sekarang memberi semangat kepada perkhidmatan awam dan kumpulan masyarakat sivil yang sememangnya selama ini tidak senang dengan skandal 1MDB.

Bagi Datuk Mahfuz Omar daripada PAS, raja-raja Melayu seterusnya mesti "paksa" Najib berundur.

Namun rakannya, Salahuddin Ayub daripada Parti Amanah Negara berkata Najib mesti berbuat demikian dengan sendiri kerana titah raja-raja Melayu dilihat sebagai isyarat jelas Najib "mesti letak jawatan serta merta".

Katanya, Najib gagal meyakinkan semua pihak termasuk raja-raja Melayu mengenai 1MDB dan isu peribadi.

"Kenyataan raja-raja boleh diinterpretasikan sebagai nasihat kepada Najib letak jawatan perdana menteri kerana beliau tidak mampu selesaikan isu 1MDB yang mempunyai kesan ke atas ekonomi negara.”

Itu pandangan Salahuddin.

Sementara itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga timbalan presiden Umno sudah mula "tightening the screws" ke atas Najib.

Muhyiddin syak ada "tangan tersembunyi yang melindungi" 1MDB kerana siasatan "nampak macam terganggu".

"Seolah-olah ada tangan tersembunyi yang mahu tutup perbuatan salah pihak tertentu", kata Muhyiddin dalam satu kenyataan.  

Menurut Muhyiddin, apabila raja-raja bertitah mengenai 1MDB baginda sekalian percaya 1MDB satu isu yang besar. Lantas beliau mahu Najib menjunjung titah raja-raja dengan segera.

"Orang yang patut melaksanakan perintah raja ialah perdana menteri selaku ketua kerajaan,” katanya.

Pelbagai pihak sebelum ini menggesa Najib akur dengan titah raja sementara bekas orang nombor satu NSTP, Datuk Kadir Jasin menyifatkan sebarang keengganan Najib melaksanakan titah berkenaan sebagai "satu penghinaan terhadap raja-raja Melayu".

Kata seorang bekas aktivis Umno:"Cari Panadollah Najib."

Kita semua tahu apa itu "Panadol" dan untuk apa. – 9 Oktober, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments