Opinion

Najib dikhianati kawan?

Rupa-rupanya ada kawan yang 'tikam' atau mahu 'tikam' Datuk Seri Najib Razak dari belakang . Dan rupa-rupanya ada pihak dalaman yang jumpa beliau pun mereka enggan.

Ini bukan fitnah mahupun andaian atau ramalan tukang tilik dan ahli nujum politik.

Ini pendedahan yang dibuat orang paling rapat dengan perdana menteri sendiri. Tidak lain isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.

Apabila Rosmah berkata beliau kecewa terhadap mereka yang cuba memperkecilkan kepimpinan Najib, persoalan yang timbul ialah siapakah 'mereka' itu?

Jika pembangkang yang dimaksudkan bukanlah sesuatu yang memeranjatkan.

Namun kata Rosmah ketika pemimpin dunia termasuk Vladimir Putin meminta untuk bertemu Najib, di dalam negara seolah-olah ada keengganan walaupun di kalangan golongan dalam parti sendiri.

Parti sendiri bermakna parti Najib - Umno. Tapi mungkinkah beliau maksudkan Barisan Nasional (BN)? Walaupun BN ialah gabungan pelbagai parti bukannya satu parti.

Dan berkata lagi Rosmah:“Jangan tikam belakang kawan. Let’s play the game together. Kadang-kadang saya sedih tengok suami saya. Bila beliau minta tolong, tolonglah.”

Tidak mungkin Rosmah berkata demikian jika tidak ada 'kawan' (atau jika beliau tidak percaya ada kawan) yang sudah atau pun merancang 'menikam' Najib dari belakang. Dan tidak akan berkata Rosmah sedemikian seandainya tidak ada orang Umno yang tidak mahu tolong ketika Najib meminta pertolongan.

Begitulah yang boleh disimpulkan berdasarkan kata-kata Rosmah seperti yang dilaporkan The Star online 25 November lalu (sebelum Perhimpunan Agung Umno 2014 bermula). Jika benar beliau berkata seperti yang dilaporkan. Dan oleh kerana tidak ada penafian sehingga kini ia membawa erti memang benar beliau membuat “pendedahan” itu walaupun nama si penikam bekalang dan si enggan tolong tidak turut didedahkan.

Najib sendiri tidak bercakap mengenai 'kawan tikam belakang' atau tidak terima pertolongan ketika meminta. Baik sebelum, semasa atau sesudah perhimpunan agung Umno tempoh hari.

Hanya 'memarahi' blogger pro Umno (dalam ucapan penanangguhan perhimpuan) yang menurutnya menghentam pemimpin sendiri bukan pembangkang sambil menyifatkan mereka sebagai bangang.

Pun begitu pada perhimpuan Umno itu beliau mendapat sokongan padu jika standing ovation (yang diberikan sebaik saja beliau selesai menyampaikan ucapan dasar selaku presiden parti) dijadikan kayu pengukur.

Ada pemerhati politik pula berpendapat, standing ovation itu hanya menunjukkan kepuasan hati perkawakilan dan Umno amnya terhadap keputusan Najib mengekalkan Akta Hasutan yang sebelumnya mereka khuatiri akan dihapuskan berikutan janji Najib sejak 2012.

Bagi Tan Sri Zainuddin Maidin, bekas orang kuat Umno, “tempikan itu bukan sokongan tetapi ledakan perasaan terpendam yang bercampur marah dan hilang keyakinan terhadap Najib”.

Sebenarnya banyak lagi yang dihuraikan Zainuddin terhadap kempimpinan Najib tetapi saya tidak bercadang mengulanginya di sini.

Cukup sekadar menyatakan bagi Zainuddin, ada suatu revolusi senyap sedang berkembang dalam Umno seperti api dalam sekam.

Waullahhualam. Namun mungkinkah itu semua yang mendorong Rosmah secara terbuka bercakap mengenai 'tikam belakang' dan meminta kawan tolong bila Najib meminta tolong? Sekali lagi waullahhualam. – 4 Disember, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments