Opinion

‘Mengemis’ untuk berbakti

"Kalau pergi Seoul nak cari Korean BBQ yang halal, pergi Restoran Yang Good di Gangnam. Nice!"

Begitu bunyi tweet Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar tempoh hari - ketika beliau menghadiri  Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan.

Namun, bagi pasukan ragbi Malaysia yang menyertai temasya sukan itu kemungkinan besar tidak mampu pergi (apatah lagi makan) di restoran yang dicadangkan Khairy, walaupun Incheon seperti Gangnam adalah sebahagian daripada pusat Bandar Seoul.

Sebabnya? Pasukan itu ke Korea atas perbelanjaaan sendiri dan kini "hidup" di sana dengan bajet yang ketat.

Begini ceritanya.

Pasukan ragbi tujuh sebelah Malaysia mulanya diletakkan dalam katergori A oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM). Ia dikatakan pasukan terbaik pernah diwujudkan negara. Maka pasukan itu pun diberi kepercayaan membawa cabaran Malaysia ke Sukan Komanwel di Glasgow Julai lalu.

Di Glasgow, mereka kalah semua perlawanan. Sekali gus terperosok di tangga ke-15. Dan kedudukan tercorot itu mendorong wartawan sebuah akhbar tempatan berbahasa Melayu mengkritik keras dan menggelarkan mereka "pasukan pelancong". Dalam erti kata lain, pemain dilihat akhbar itu seolah-olah pergi ke Scotland untuk melancong, bukannya bertarung.

Pasukan ragbi menyifatkan istilah "pelancong" sesuatu yang amat tidak adil kerana bagi mereka pemain "sudah  beri yang terbaik". Malah kata mereka, tahap ragbi Sukan Komawel jelas tinggi  dengan kehadiran New Zealand, Australia, Afrika Selatan  England, Wales dan sebagainya.

Dan menurut mereka lagi, Sukan Komanwel adalah sebagai persediaan menghadapi cabaran utama iaitu Sukan Asia Incheon.

Walau apa pun, MOM mengambil langkah down grade status pasukan ragbi. Daripada katergori A turun kategori B. Bermakna MOM tidak akan membiayai pasukan itu lagi.

Kesimpulannya - jika mahu pergi Incheon,  kena cari duit sendiri. Dan itulah yang pasukan ragbi negara lakukan.

Jumlah yang diperlukan - RM7,000 untuk tiket penerbangan bagi 12 pemain dan dua pegawai. Penginapan di perkampungan sukan memerlukan RM13,000. Insurans pemain sekurang-kurangnya RM2,000.

Saya bukan jurukira pasukan tetapi memadai untuk mengatakan jumlah wang yang "boleh tahan" besarnya diperlukan untuk menampung perbelanjaan termasuk makan minum dan pengangkutan .

Pengurus pasukan Fahmy Jalil mengutus surat atas nama Kesatuan Ragbi Malaysia (yang penaungnya Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong) kepada penaja berpotensi. TIdak berhasil. Mungkin kerana kesuntukan masa. Mungkin atas sebab lain.

Beliau turut merayu bantuan. Menerusi facebook. Kenalan dan famili menyahut rayuan. Dan terkumpul RM5,000 hasil sumbangan mereka.

Jelas tidak mencukupi. Fahmy tetap bertekad untuk membawa pasukannya ke Incheon. Tiket penerbangan dibeli menggunakan wang sendiri. Walau pahit dan sedih atas apa yang berlaku, "pergi demi Malaysia", katanya dalam Facebook.

Lantas mereka kini berada di Incheon. Berdepan dengan Jepun dan Thailand  dalam pool A hari ini (hari pertama acara ragbi Sukan Asia 2014).

Pelbagai persoalan dan pendapat timbul berikutan episod ini.

Bagi penyokong pasukan, apa yang berlaku sesuatu yang tidak adil. Mereka marah MOM. Mereka marah wartawan.

Dan mereka tidak lupa untuk mengingatkan kita semua persembahan buruk pasukan Malaysia yang lain di Glasgow tetapi "terus mendapat sokongan pentadbiran sukan negara" (harap google untuk prestasi keseluruhan Malaysia di Sukan Komanwel 2014).

Bagi mereka, pasukan ragbi "dianaktirikan". Namun ada juga peminat ragbi yang berpendapat masanya sudah tiba bagi pasukan ragbi kebangsaan berdikari tanpa bantuan sports governing bodies  sambil menuju ke arah All Blacks sebagai contoh.

Memang benar All Blacks, Wallabies, Springboks tidak "bergantung hidup" dengan kementerian sukan atau pun kerajaan negara masing-masing. Mereka bertanding pada Rugby Championships atau Piala Dunia umpamanya dengan perbelanjaan sendiri (menerusi tajaan yang diperolehi atas usaha sendiri).

Pun begitu perlu diingat jika mereka sebahagian daripada kontinjen negara - menyertai sesuatu temasya sukan di mana pelbagi jenis atau acara dipertandingkan seperti Sukan Komanwel - mereka dibiayai pihak berwajib sukan negara masing masing.

Ini kerana mereka mewakili negara sebagai sebahagian daripada kontinjen.

Berbalik kepada pasukan ragbi kita.

Akhbar yang melabelkan mereka "pelancong" berhak mengkritik sedemikian. Rightly or wrongly.

MOM pula berhak menelan apa yang dikata akhbar berkenaan dan berhak bertindak menurunkan status pasukan ragbi kebangsaan. Walaupun kita boleh argue till the cows come home.

Perlu diingat pasukan ragbi di Sukan Asia atas nama Malaysia. Bukannya KRM atau pun Fahmy Jalil 7s team.  

Jika MOM merasakan mereka tidak layak dan akan hanya memalukan negara laranglah mereka daripada bertanding di Incheon. Jika MOM izinkan mereka pergi maka tanggunglah perbelanjaan mereka seperti pasukan lain dalam kontinjen Malaysia.

Untuk hanya mengatakan kamu boleh pergi tetapi mesti tanggung belanja sendiri simply don't cut it.  Boleh pergi atau tidak boleh pergi. Itu sepatutnya kata putus MOM. – 29 September, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments