Opinion

Kesiannya jadi Cina

Ketika "era reformasi" dulu, tidak ramai masyarakat Cina menyertai demonstrasi jalanan yang kerap berlaku khusus pada setiap hujung minggu.

Untuk melumpuhkan atau melemahkan semangat peserta demonstrasi yang majoriti terdiri daripada orang Melayu, jentera propaganda kerajaan, yang dianggotai majoriti orang Melayu juga, "mengguna faktor Cina".

Orang Cina mereka tuduh "ketawa dan bertepuk tangan melihat si Melayu reformis bertempur dengan kerajaan yang diterajui orang Melayu". Maksudnya "Cina seronok tengok Melayu lawan Melayu".

Si reformis Melayu mereka tuduh "bodoh kerana dibelasah, disemburi air dan ditangkap polis sementara orang Cina bersorak dan membuat duit". Tidak perlu jadi "genius" untuk tahu matlamat strategi itu ialah supaya seluruh masyarakat Melayu tidak menyokong gerakan reformasi walaupun terdiri majoriti Melayu.

Dalam erti kata lain, Cina diguna untuk momokkan orang Melayu.

Jika trend mengundi pilihan raya umum (PRU) pada 1999 dijadikan kayu pengukur, strategi itu tidak atau kurang berjaya (sedikit huraiannya di hujung rencana).

Namun itu kisah dulu. Cerita baru ialah Bersih. Khasnya Bersih 4. Sekali lagi nampaknya "faktor Cina" digunakan.

Perhimpunan 29 dan 30 Ogos lalu menyaksikan penyertaan ramai masyarakat Cina walaupun Melayu, keturunan India dan komuniti lain rakyat Malaysia turut serta.

Namun berdasarkan bilangan mereka, orang Cina dituduh "mahu berkuasa di negara ini dan menjadikan orang Melayu kuda tunggangan". Dan DAP dituduh dalang.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi "mengingatkan" orang Melayu "jangan biar diri diperalatkan DAP". Akhbar milik Umno, Utusan Malaysia menasihati BN jangan "bersusah payah meraih sokongan Cina kerana usaha itu tidak akan berbuahkan hasil".

Pendek kata Utusan mahu BN "to forget the Chinese after Bersih 4" kerana katanya "sebahagian  daripada masyarakat Cina mempunyai keberanian luar biasa menunjukkan protes terhadap kerajaan secara terbuka".

Tentunya ramai masih ingat saranan sama dan tajuk akhbar Utusan "Apa lagi Cina mahu?" berikutan pencapaian kurang memuaskan BN pada PRU13 lalu.

Datuk Seri Najib Razak sendiri menyalahkan apa yang beliau panggil "tsunami Cina" sebagai punca prestasi tidak baik BN ketika itu walaupun kekal memerintah negara.

Benar masyarakat Cina kebanyakan berpaling muka daripada BN. Namun imbas kembali PRU 1999.

Perlu diingat orang Cina yang menyelamatkan BN pada pilihan raya itu - semasa sebahagian besar orang Melayu tidak menyokong Umno dan bersedia menumbang kerajaan BN.

Peranan orang Cina pada 1999 diakui Tun Dr Mahathir Mohamad selaku pemimpin utama BN ketika itu.

Persoalan penting - mengapa orang Cina bertukar daripada penyokong kepada penentang BN? Apa yang mendorong mereka? Persoalan susulan yang tidak kurang penting ialah: Adakah orang Cina saja yang bak kata Utusan Malaysia "punya keberanian luar biasa" sekarang melawan BN? Bagaimana dengan komuniti lain?

Dan adakah sokongan Melayu khususnya di luar bandar terhadap Umno sesuatu yang "terjamin" dulu, kini dan selamanya?

Hayati kata-kata bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi perutusan Hari Kebangsaan tahun ini.

"Pada masa ini, ramai pihak berpandangan negara kita sedang menghadapi masalah defisit kepercayaan yang parah. Kepercayaan rakyat terhadap kerajaan sudah semakin longgar.

“Kepercayaan pelabur dan komuniti perniagaan kepada ekonomi negara semakin luntur,” katanya.

Jika apa yang dikatakan Muhyiddin itu benar,  jelas setiap langkah negatif yang membawa kepada keadaan sedemikian tidak berlaku sekelip mata. It did not happen overnight.

Sayang Muhyiddin tidak menojolkan kepincangan itu semua semasa beliau berada di dalam Kabinet Najib untuk memperbetulkan keadaan. Atau mungkinkah beliau ada berbuat demikian dan sebab itulah beliau kini berada di luar?

Tidak dapat untuk dipastikan.

Tapi yang pasti, Cinalah yang dijadikan momok. Lantas mudah dipersalahkan. – 1 September, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider. 

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments