Opinion

Kenyataan kerajaan dan titah raja

Kenyataan kerajaan sebagai reaksi terhadap titah raja raja Melayu berhubung 1MDB dikeluarkan timbalan perdana menteri. Bukan perdana menteri selaku ketua kerajaan.

Sama ada ini mengikut protokol atau sebaliknya bukan perkara yang ingin diajukan.

Perdana menteri berhak menentukan siapa yang patut keluarkan kenyataan rasmi bagi pihak pentadbirannya. Bukan begitu?

Yang ingin dilihat ialah mesej yang dibawa kenyataan itu. Bagi saya mesejnya ialah, “Kerajaan (baca Datuk Seri Najib Razak) masih bertanggungjawab memerintah negara."

Seolah-olah Najib berkata, “I’m still in charge. In full control. Here to stay.”

Penderaf kenyataan itu jelas mahir berbahasa, cekap bermain dengan perkataan. Hasilnya, satu kenyataan yang lembut tetapi tegas (mungkin juga boleh dianggap keras?).

Menerusi kenyataan itu, kerajaaan “mengambil maklum intipati"  kenyataan 'pre-council' Majlis Raja-raja tempoh hari. 

Pun begitu, kerajaan dilihat memberi “peringatan” kepada semua pihak (mungkin termasuk Majlis Raja-raja?) akan sistem Raja Berperlembagaan dan sistem pemisahan kuasa atau “separation of powers” yang diguna pakai di negara ini. 

Prinsip Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen di Malaysia “berpisah tiada", kata kenyataan itu.

Sambil menyatakan komitmen Najib dan Kabinetnya “mendukung” sistem pemisahan kuasa, kenyataan itu menegaskan, “Setiap organ kerajaan perlu dibenarkan berfungsi seperti yang dijelaskan dalam konteks Perlembagaan Persekutuan. Termasuk kuasa-kuasa “tersirat dan tersurat Majlis Raja Raja."

Rasanya umum faham apa maksud itu.  

Juga dalam kenyataan itu, kerajaan mengaku “segala titah Majlis Raja Raja dinilai baik".

Bagaimanapun, ia menegaskan “segala siasatan kepada mana-mana pihak sekali pun harus berpegang kepada prinsip kedaulatan undang-undang – malah desakan untuk mempercepat atau melewatkan sebarang siasatan kepada mana mana pihak tidak patut berlaku”.

Raja-raja Melayu seperti kita maklum mahu kerajaan melengkapkan siasatan 1MDB dengan secepat mungkin dan tindakan diambil ke atas pihak terlibat.

Begitulah sedikit sebanyak kisah kenyataan rasmi kerajaan berhubung titah Raja-raja berkaitan  1MDB.

Beralih kepada satu laporan di portal berita Malaysiakini.

Laporan mengenai catatan facebook Noramin, seorang juruhebah radio yang popular pada tahun 1980-an.

Menurut Malaysiakini, Noramin menyatakan beliau percaya tiada siapa dapat menyentuh  kewibawaan Najib, termasuk yang berstatus "Raja" selagi "ada seorang budak Jawa Perak di belakangnya”.

Dipercayai “budak Jawa Perak” yang dimaksudkan ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Setuju atau tidak dengan pendapat Noramin – terpulang. – 10 Oktober, 2015.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments