Opinion

Apa agaknya langkah Hadi?

Setelah Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menolak pencalonan untuk jawatan presiden PAS (keputusan yang dijangka lantas tidak memeranjatkan) persoalan sekarang ialah siapa lagi yang akan dicalonkan untuk mencabar Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Setakat ini tumpuan tentunya ke arah Johor.  Lebih tepat – PAS kawasan Parit Sulong yang pada Sabtu, 14 Mac dijangka mengumumkan calon yang pada hemat mereka paling layak menggantikan Hadi (seperti yang ditulis Pengarang Analisis dan Rencana The Malaysian Insider Zulkifli Sulong dalam portal berita ini pada 10 Mac lalu).

Siapa calon itu memang persoalan penting. Adakah nanti timbul nama-nama  selain pencalonan yang dikatakan bakal dibuat PAS Batu Pahat? Itu juga persoalan penting.

Tetapi bagi, paling penting ialah tindakan PAS Kota Baru mencalonkan Tuan Ibrahim. Sebenarnya, tidak kiralah tokoh mana yang dicalonkan tetapi hakikat ada pencalonan sudah cukup jelas apa mesej yang hendak disampaikan.

Dan sebagai seasoned politician, pasti Hadi tahu sudah ada pihak dalam PAS yang tidak mahu beliau kekal sebagai presiden. Itu hakikat walau bagaimana bunyinya hujah bagi menjustifikasikan sesuatu pencalonan untuk mencabar beliau.

Kebanyakan pemimpin terutama pemimpin politik , tidak suka ditekan untuk berundur khusus oleh ahli partinya.  Mereka bertekad untuk tidak tunduk kepada tekanan. Lantas tidak berganjak. Dalam erti kata lain – lagi ditekan lagi “degil”. Begitulah lazimnya. Mereka punya sebab dan alasan tersendiri.

Hadi, presiden PAS sejak 2002 tidak terkecuali, kata beberapa pemerhati PAS yang bertahun-tahun lamanya mengikuti perkembangan parti Islam itu dan juga karier politik Hadi.

Kata mereka, pendirian Hadi ialah beliau “tahu bila tiba masanya untuk berundur” dan akan “pergi bila beliau mahu pergi”.

Adakah the time is now? Atau adakah Hadi akan mempertahankan jawatan? Lawan. Tidak kiralah siapa pencabarnya.

Kebiasaan dalam PAS, jawatan presiden tidak ditandingi. Apabila ada “tanda” dan “isyarat” perubahan pimpinan diperlukan si presiden akan melepaskan jawatan seperti yang dilakukan Allahyarham Tan Sri Asri Muda dulu ketika “dihimpit” kebangkitan golongan ulama.

Dalam situasi sekarang, sumber dalaman PAS berbisik-bisik mengenai  “lebih 50% ahli PAS mahu Hadi berundur atau digantikan”. Dan kata satu lagi sumber “di sebuah negeri lebih 75% berpendapat begitu”. Itu bisik-bisik sebelum PAS Kota Baru mengumumkan calon pilihan mereka.

Oleh itu, the one million dollar question is – apa Hadi akan buat?

Tidak dinafikan besarnya khidmat dan sumbangan Hadi kepada PAS. Perlu diingat beliau ada penyokongnya yang mahu beliau kekal presiden dan bukan satu rahsia dalam PAS kini wujud dua kem utama.

Ada pemerhati PAS mendakwa Hadi pernah berkata beliau akan melepaskan jawatan presiden jika penggantinya seorang ulama.

Betulkah beliau pernah berkata demikian? Waullahulam. – 11 Mac, 2015.  

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments