Opinion

Yang merdeka hanya orang gila

Baru-baru ini sewaktu sedang bernyanyi di tempat saya, datanglah 4 anak muda belasan tahun dengan membawa pen dan buku catatan berserta telefon pintar mereka. Sama ada mereka ini pelajar IPTA atau kolej, saya pun kurang pasti.

Bersempena bulan kemerdekaan, rakyat menyambutnya dengan pelbagai cara dan di KL Sentral juga terdapat acara dan program yang berlangsung dari 28 Ogos hingga 1 September, bertemakan kemerdekaan dan patriotik.

Berbalik pada anak-anak muda ini tadi, pastinya mereka datang dengan tujuan. Sambil menyapa saya dengan panggilan 'pakcik', itu secara tidak langsung akan mengingatkan kita ini bukannya muda lagi. Sebenarnya mereka ingin bertanyakan pendapat saya tentang kemerdekaan.

Soalan pertama, apa pengertian kemerdekaan pada saya? Saya jawab, dalam konteks yang umum, kemerdekaan bagi saya ialah apabila rakyat masih mampu cari makan, negara kita masih aman dan damai, rakyat berbilang kaum masih dapat hidup dalam suasana yang harmoni.

Tidak seperti di sesetengah negara Islam yang bertelagah dan berperang sehingga melibatkan banyak nyawa yang melayang, kita patut bersyukur kerana masih mampu mengecap nikmat kehidupan dan saban tahun masih menyambut hari merdeka dengan penuh semangat dan kegembiraan.

Anak-anak muda ini mungkin tidak berpuas hati dengan jawapan saya yang agak klise, lantas mereka bertanyakan tentang apa fakta yang sebenar tentang kemerdekaan bagi saya?

Saya tahu dalam fikiran mereka mungkin mereka akan fikir saya akan menjawab kemerdekaan bermakna kita bebas daripada belengu penjajah atau apa saja jawapan yang umum kita sudah mengetahuinya.

Mereka juga tidak bertanya tentang pemahaman saya tentang sejarah kemerdekaan. Jadi saya pun dengan panjang lebar mulalah memberikan penerangan mengikut pemahaman saya.

Daripada segi faktanya atau sudut yang lebih realistik, kita masih belum mengecap nikmat kemerdekaan lagi. Istilah merdeka itu lepas dan bebas, maknanya kita bukan hamba lagi.

Tinggal di Kuala Lumpur ini sebagai contoh, dengan kos sara hidup yang semakin gila, apa yang merdekanya kita ini?

Kita hidup dibebani hutang. Hutang rumah, kereta, bil yang setiap bulan mesti dilunaskan. Hutang sana, hutang sini. Hidup kita sentiasa dipenuhi dengan hutang. Kita bekerja di kota yang besar hanya untuk membayar hutang.

Harga sewa rumah pula semakin mahal mencecah harga ribuan ringgit sebulan. Bil api pula semakin naik, bil air walau katanya ada potongan kerajaan negeri, baru-baru ini dalam bulan lepas, bil air saya mencecah RM134. Belum pernah bil air rumah saya sampai ke tahap itu. Walau air itu sumber dari alam, mereka niagakan juga demi mengaut keuntungan cara mudah.

Kita sebagai warga marhaen, apa yang kita boleh kata atau persoalkan? Suara kita siapa yang hendak dengar?

Daripada sudut kegamaan juga, kita masih hamba kepada yang satu. Kita wajib mengikut apa yang disuruh, tinggal apa yang dilarang. Selagi nadi berdenyut, kita masih perlu bekerja demi tuntutan dan tanggungjawab kita sebagai khalifah di muka bumi ini.

Kalau orang kaya atau golongan bangsawan saya tidak tahulah, mungkin mereka lepas beban materi, pun beban kejiwaan pun belum tentu mereka bebas lagi. Dunia ini adil untuk semua makhluknya, saya percaya itu.

Yang mengecap nikmat kemerdekaan hanya orang gila saja. Manusia selagi punya nafsu, selagi itulah kita masih di tahap hamba.

Di port saya sering orang gila datang singgah. Apa yang menarik minat mereka untuk singgah di port saya, saya pun kurang pasti. Macam-macam jenis gila ada.

Ada seorang lelaki datang kepada saya dengan berserban, berjanggut dan bermisai tebal, berkain sarong dan berbaju pagoda. Walaupun begitu, wajahnya bersih dengan senyuman kebahagiaan yang jelas terpancar daripada wajah batinnya.

Waktu itu saya menyanyikan lagu Inggeris, Wonderful Tonight. Lelaki ini terus datang kepada saya dan menyanyikan lagu itu bersama-sama dengan kuat dan jelas. Walau sumbang tetapi saya layan saja karenahnya.

Saya bertanya dari mana datangnya? Katanya hendak balik ke Ipoh. Bertanya lagi belajar agama di mana? Soalan itu seakan mengiyakan 'jalan'nya, lantas terus dia menjawab dengan jawapan berbentuk pertanyaan. Katanya:”Hakikat.” Selepas itu dia pun ketawa bahagia sambil menepuk bahu saya.

Selesai dia menyanyi, bergayut pula dengan handphone cap ayamnya. Semua mata memandangnya dan kita boleh lihat gaya lelaki ini yang sedang mengecap nikmat merdeka sehingga gaya percakapannya diselang-seli dengan ketawa sambil mundar-mandir seolah sedang berbincang seperti seorang peniaga yang kaya dan berjaya.

Sehinggalah datang sekumpulan polis bantuan mendekatinya dan mengiringinya keluar dari kawasan KL Sentral.

Orang gila memang merdeka. Mereka bebas segalanya, ada yang berbogel, ada yang ketawa tanpa sebab, menangis pun tanpa sebab. Hubungan mereka dengan dunia sudah terputus. Cerita dunia dan nafsu nikmat rasanya hanyalah sampai di kerongkong, sampai ke perut sudah menjadi najis.

Itu sebab bagi golongan pengembara jiwa yang sejati, mereka akan mengambil inisiatif untuk meninggalkan cerita dunia dan mimpi yang membodohkan ini. Mereka mahu mengecap nikmat gila, mereka mahu mengecap nikmat bebas.

Mereka mahu mengecap nikmat merdeka yang sebenar, yang lari daripada norma kehidupan seperti yang kita lalui ini.

Dan sekali lagi saya jelaskan kepada anak-anak muda yang baru belajar hidup itu, yang merdeka hanya orang gila. Betul? Ketawa saya akhirnya mengundang ketawa mereka juga akhirnya. – 11 September, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments