Opinion

Taksub dan keseimbangan

Dalam kehidupan ini, manusia akan melalui proses demi proses untuk mencapai tahap kematangan dalam menuju kesempurnaan. Bermula saat lahir, remaja menginjak ke usia dewasa, kita semua akan melaluinya, tidak kira apa bangsa mahupun apa agama kita.

Misi penting dalam menuju tahap sempurna itu bergantung kepada tahap dan kefahaman kita dalam mengenal makna kehidupan dan sekeliling. Walau kita ini dikatakan bijak dan berkerjaya, pun kita tidak akan terlepas daripada subjek bodoh itu atas sebab taksub dalam mentafsir makna hidup itu sendiri.

Kehidupan ini, asasnya adalah keseimbangan. Itu yang paling penting. Dalam apa juga subjek pun, kita perlu meletakkan nilai sederhana itu di tempat yang paling atas dalam apa juga hal sekalipun.

Cinta akan lahir dari jiwa yang tenang. Cintakan agama, cintakan manusia, cintakan kehidupan, cintakan Tuhan. Segalanya tentang cinta yang sepatutnya lahir daripada kehendak jiwa itu sendiri. apabila nilai cinta diletakkan di makam yang paling atas, dunia yang di dalam mahupun yang di luar ini akan aman sepenuhnya.

Cinta juga akan melahirkan nilai kesumat dan benci atas sebab jika nafsu itu menguasai lubuk jiwa kita yang kosong dengan nilai cinta yang sebenar. Maka itu akan lahirlah babak huru-hara dalam kamus hidup dan sekeliling kita. itu kita kata kepelbagaian sikap manusia dalam menangani masalah hidup itu sendiri.

Kita melihat dunia anak muda hari ini yang sedang meraikan dunia muda mereka mengikut acuan dan kefahaman mereka sendiri. ada yang radikal, ada yang taksub, ada yang sederhana dan ada yang tidak ambil kisah tentang hal dan sekeliling melainkan fokus dengan mimpi dan cita.

Apatah dalam menangani dunia moden hari ini, segalanya semakin bebas dan lepas tanpa ada had dan sekatan. Tegang, kendur atau seadanya pilihan kita sendiri. kita yang mencorakkan segalanya.

Ketegangan akan menyebabkan putusnya sistem urat saraf membuatkan kita gagal berfungsi sebagai manusia yang normal sifatnya. Begitu juga jika terlalu kendur, pun tidak akan berfungsi juga.

Kehidupan kita di dunia ini adalah berkisar tentang nasib secara umumnya. Kita bernasib baik dikurniakan anak yang sempurna sifatnya dan kita juga tidak bernasib baik dikurniakan anak yang cacat sifat dan mentalnya.

Kita bernasib baik dilahirkan dalam golongan bangsawan, atau kita tidak bernasib baik kerana dilahirkan daripada perut ibu kita yang berkerjaya sebagai pengemis di jalanan.

Kita bernasib baik kerana dikurniakan nikmat kemewahan hidup yang melimpah sehingga mungkin akan membuatkan kita lupa dan untuk apa kita di sini sebenarnya. Kita juga tidak bernasib baik kerana masih menganggur walau punya semua kelayakan yang sepatutnya melayakkan kita dapat apa yang kita inginkan dalam hidup ini.

Inilah kenyataan hidup dan takdir yang perlu kita hadap selagi kita hidup. Kita hanya punya dua pilihan. Berhenti atau kita teruskan...

Ada yang lepas, ada yang kandas. Dunia anak muda adalah dunia yang segar dengan idea dan kreativiti. Mereka cuba untuk mengubah dunia mengikut kefahaman mereka dalam mentafsirkan makna mimpi dan hidup.

Maka tidak hairanlah hari ini kita semakin meraikan warna dan kepelbagaian sifatnya demi lambang dan kepercayaan kita dalam menilai dan mentafsir. Ada warna merah, kuning dan juga hijau.

Kita juga melihat bagaimana golongan beragama yang taksub itu menghuru-harakan dunia dengan hukum hakam yang mereka reka sendiri, seperti yang berlaku di Timur Tengah hari ini. Tuhan tidak suruh kita membunuh antara sesama manusia. Mereka membunuh kerana cinta yang tumbuh di lubuk nafsu membibitkan rasa benci dan kesumat.

Saya suka melihat anak-anak kita membesar dalam nilai keagamaan yang segar dan sederhana. Dalam apa jua keadaan pun , pilihan majoriti adalah yang terbaik kerana isi keseimbangan ada di dalamnya.

Mereka perlukan bimbingan dan arah yang betul dalam menuju usia dewasa. Mereka perlu diajar mengenal Tuhan, agama dan cara hidup yang sesuai dengan budaya dan adab kita yang tinggal dalam masyarakat majmuk hari ini.

Dari situ akan datang nilai hormat yang tinggi antara sesama kita. Jika kita mahu dihormati, kita perlu menghormati.

Taksub tidak sepatutnya wujud dalam dunia dan pemikiran moden hari ini. Tingginya ilmu bukanlah bermakna kita boleh meletakkan sesuatu hukum itu mengikut perkiraan kita melalui kefahaman atas apa yang diajarkan. Mungkin kita betul, mungkin kita salah, begitulah...

Kita hanyalah manusia, yang akan melalui proses demi proses dalam menuju kesempurnaan. Di mana titik sempurna itu mungkin kita tidak akan ketemui sehingga ke akhir hayat. Yang kita cuma akan kecap di dunia ini hanyalah kebahagiaan, itu pun jika itu yang kita mahu dan percaya. – 1 Oktober, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments