Opinion

Tahun baru, mimpi baru

Tinggal beberapa hari saja lagi kita akan meninggalkan 2015 yang penuh dengan cerita suka mahupun duka. Walau apa pun cabarannya, kita masih boleh cari makan dan Malaysia masih lagi aman, itu yang paling penting. Walau apa pun jua, hidup perlu diteruskan selagi kita hidup.

Untuk saya senang saja, selagi golongan busker masih boleh ‘survive’ dan masih ada rezeki hasil sumbangan masyarakat, maknanya kita masih mampu meneruskan kehidupan dengan cara ini. Kita dan mereka saling perlu memerlukan.

Bagi golongan marhaen, 2015 jelas tidak memihak kepada mereka. Bermula GST, tol naik, tambang perkhidmatan tren naik, harga rokok naik dan vape diharamkan Majlis Fatwa Kebangsaan antaranya. Yang ok nya, mereka dapat menikmati BRIM, 3 kali dalam setahun.

Seorang kawan saya akan berulang alik dari rumahnya di Bangi untuk ke tempat kerjanya di kawasan Damansara. Kos tambangnya dari rumah dengan menggunakan perkhidmatan komuter juga Putra LRT lebih kurang RM600 sebulan. Itu untuk kos tambang sahaja.

Kalau gaji kita RM2,500 sebulan, RM600 kita terpaksa peruntukkan untuk kos tambang sahaja.

Saya menggalakkan mereka berbasikal untuk ke tempat kerja, untuk proses penjimatan. Cuma basikal hari ini bukanlah untuk golongan marhaen sebab yang mengayuh basikal kebanyakannya daripada golongan ‘middle class’ dan professional. Bayangkan, harga sebuah basikal yang baik kualitinya mencecah sekitar RM5,000 dan keatas.

Kita di kampung dulu naik basikal sebab hanya itu tahap kemampuan kita. Harga sebuah basikal pun cuma RM100 lebih saja. Hari ini, di kota besar warga berbasikal untuk tujuan kesihatan.

Orang yang berpendapatan RM10,000 ke atas tidak akan merasakan kesan kenaikan kos sara hidup yang makin mencengkam hari ini, kecuali bagi mereka yang berpendapatan RM3,000 ke bawah.

Yang pastinya, 2016 akan lebih dramatik ceritanya. Kita tidak dapat mengagak tapi yang pasti jalan ceritanya akan lebih berbelit dan sukar. Dengan nilai matawang kita yang semakin mengecil, dengan kos sara hidup yang makin tinggi, segala-galanya mungkin akan mendatangkan ‘stress’ jika kita melayan ‘jiwa kacau’ yang melanda tatkala ditimpa bala mahupun masalah.

Terkini, apabila terdapat peminjam PTPTN yang juga kakitangan awam dipotong gaji mereka hingga ke kadar yang maksimum, sehingga baki di dalam bank hanya tinggal RM19. Mereka melakukan ini tanpa mengira kesan kepada si pemiutang yang sudah berkeluarga dengan beban kos sara hidup yang tinggi.

Jadi semuanya ini menjurus ke arah yang lebih negatif berbanding positif bagi warga bermasalah. Kebanyakan puncanya adalah duit. Orang putus cinta sebab pasangannya tak cukup duit, itu sahaja. Kita bekerja dengan tahap kenaikan gaji yang sangat sedikit saban tahun sedang kos sara hidup semakin meningkat. Itu juga akan menyebabkan tekanan jiwa.

Tidak hairanlah di Kuala Lumpur hari ini semakin ramai orang gila atau yang hendak jadi gila. Gila disebabkan tekanan hidup atau pun terputusnya wayar keseimbangan antara minda dan jiwa. Mulanya mereka akan melarikan diri dari masalah hidup dengan menjadi pemabuk mahupun penagih dadah.

Itulah watak  yang dapat kita lihat jika saban malam kita berkunjung ke pusat kota, atau di persekitaran kawasan Masjid India, contohnya. Saya sarankan anda atau pak menteri, berkunjunglah ke kawasan kedai mamak Selangor Mansion di waktu malam. Anda tidak perlu bayar cukai untuk menonton drama kehidupan, realiti sebenar bagi kita yang hidup di kota besar seperti Kuala Lumpur.

Di samping dapat menghirup teh tarik atau roti canai special, tontonlah watak para gelandangan mahupun gelagat orang gila atau para pemabuk yang berbagai ragam mewarnai hidup kota dan persekitaran.

Saya tidak tahu dari mana mereka muncul, saban hari akan ada muka baru dengan watak yang tersendiri. Apatah lagi gelagat para pemabuk juga ramai yang kadang-kadang kehadiran mereka tidak begitu disukai para pengunjung kedai mamak yang mahu bersantai bersama keluarga mereka.

Di negara kita ini, mengikut laporan Kementerian Dalam Negeri (KDN ), yang bunuh diri atau cubaan membunuh diri pun semakin ramai. Mengikut laporan Bernama, pada 2013 sebanyak 178 kes itu dicatatkan manakala pada tahun berikutnya bertambah kepada 191 kes.

Untuk segalanya ini, kita perlu berfikir ke arah yang lebih positif untuk kehidupan kita. Kita tidak punya banyak pilihan dalam hidup ini. Takdir hidup kadang menyebelahi, kadang tidak. Inilah kenyataannya.

Apa yang pasti, untuk hidup dan bersaing di zaman ini, kita perlu berlari. Jika kita asyik goyang kaki dan duduk sambil bermalas-malasan, kita akan ketinggalan. Maka jadilah kita seperti Mat Jenin yang hanya pandai berangan sampai mati.

Saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Krismas bagi pembaca yang beragama Kristian. Semoga tahun ini dan untuk tahun yang berikutnya takdir dan skrip hidup kita akan jadi lebih baik lagi daripada sebelumnya. Terima kasih. – 24 Disember, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments