Opinion

Suasana Aidilfitri yang semakin pudar

Hari Raya Aidilfitri adalah hari besar meraikan kemenangan umat Islam yang berpuasa selama sebulan. Kita lebih meraikan Aidilfitri berbanding Hari Raya Aidiladha. Aidilfitri ada lagu raya dan sebagainya, dari segi “mood” dan suasananya memang berbeza dengan Aidiladha.

Cuma sambutannya untuk tahun ini juga untuk tahun yang mendatang mungkin tidak akan semeriah sebelumnya. Kesan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan berbagai lagi hal dan masalah yang melanda iklim politik kita hari ini agak membantutkan mood dan suasana meriah tersebut.

Duit kita pun semakin kecil hari ini berbanding nilai Thai baht. Jangan sampai kita jadi seperti negara Zimbabwe sudahlah, di mana 100 trillion duit sana hanya punya nilai sebanyak 40 sen duit kita sahaja.

Politik adalah permainan hidup untuk kita dipermainkan. Jika ikhlas berjuang untuk rakyat itu baguslah tapi kenyataannya tidaklah begitu. Yang dijaja memanglah segala yang indah dan baik-baik belaka. Namapun politik, baik yang di kiri mahupun yang di kanan, lebih kurang sama sahaja corak, perjalanan dan agenda mereka.

Yang memainkan peranan adalah mereka, yang menanggung kesannya adalah kita, terutama bagi warga marhaen yang mana nilai RM1 itu masih besar ertinya bagi kita. Lainlah bagi mereka yang di atas sana di mana nilai RM100 itu mungkin hanya RM1 sahaja bagi mereka.

Yang menentukan hidup kita adalah kita sendiri dan bagaimana kita mentadbir mengikut perkiraan kita. Duit bukanlah perkara utama dalam hidup tapi tak ada duit memang satu masalah terutama bagi kita yang sudah berkeluarga.

Saya berbual dengan beberapa orang peniaga yang berniaga di Masjid India, kata dan rungut mereka, tahun ini memang mencabar. Dengan kadar sewa tapak yang mahal dan untung yang tidak seberapa berbanding tahun sebelumnya, mahu tak mahu terpaksalah mereka teruskan juga.

Orang memang ramai di Masjid India, ianya sudah menjadi tradisi dan sebahagian daripada budaya kita. Namun, belum tentu barangan yang kita jual akan laku dan mendapat perhatian. Mereka datang mungkin untuk merai dan merasai kemeriahan dan mood , bukan untuk berbelanja.

Kalau kita berkereta, masalah utama adalah parkir dan saman Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Kawasan parkir yang terhad sehingga kereta terpaksa diletak di kawasan yang tidak sepatutnya membuatkan jalan semakin sesak dengan kenderaan yang tidak pernah susut sehinggalah ke subuh hari.

Ternyata di riak wajah dan reaksi para peniaga terukir senyum yang tawar belaka, bukan senang nak senang. Apapun hidup perlu diteruskan.

Jika kita membeli juadah untuk berbuka puasa pun, kesan GST memang ketara. Dengan harga juadah yang mahal (belum tentu sedap) dan segalanya tawar belaka, lebih baik masak sendiri, lebih jimat dan menyelerakan.

Hendak menyalahkan peniaga tak adil juga. Apabila segala persediaan dan bahan menjadi mahal, harga pun terpaksalah dinaikkan.

Dalam apa jua keadaan, segalanya tidaklah sama seperti tahun sebelumnya. Rakyat semakin berhati-hati untuk berbelanja. Di sini yang menjadi mangsa adalah peniaga dan pembeli.

Nilai sentimental dan klasik dalam menyambut raya juga sudah semakin pudar. Zaman ini adalah zaman Internet dan online. Segalanya mudah di Facebook, YouTube, Instagram mahupun WhatsApp.

Maknanya sudah tidak ada lagi kiriman dan kad ucapan Aidilfitri seperti pengalaman di tahun sebelumnya yang sempat kita lalui.

Saya sempat merasai zaman itu dan ianya memang klasik. Ternyatalah antara analog dan digital itu memang berbeza dari segi kualiti dan nilainya, hanya jauhari yang mengenal manikam.

Dunia bergerak semakin cepat. Surat khabar makin tidak laku sebab berita online lebih cepat, hanya dengan Google di Internet, segala info terkini akan dapat kita terima berbanding surat khabar.

Tidak hairanlah jika tidak akan ada lagi surat khabar dijual di masa akan datang yang nasibnya akan sama seperti kad ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri.

Apapun kehidupan perlu diteruskan juga. Kita perlu bersedia untuk menghadap hari-hari muka yang makin mencabar sebab kita sayangkan negara kita. Kita tidak punya pilihan lain lagi, di sinilah kita dilahirkan.

Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua pembaca yang mengikuti ruangan saya ini. Terima kasih atas sokongan anda. Jika memandu di jalan raya, berhati-hatilah.

Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin. – 16 Julai, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments