Opinion

Saleem dan lagu Melayu

Kalau kita bercerita tentang lagu Melayu dari era dondang sayang, joget, asli dan zapin pada tahun 1950-an dulu, harus kita akui muzik dan genre yang saya sebutkan tadi memang memberi pengaruh yang besar terhadap masyarakat Melayu kita khususnya daripada generasi ke generasi.

Muzik Melayu penuh dengan kelembutan, adab dan etika tidak seperti muzik blues dan reggae yang lebih rugged dan kental sifatnya.

Kalau kita bercakap tentang siapa penyanyi yang paling berpengaruh dalam seni dan industri muzik di negara kita ini, saya memilih A Ramlie dan Saleem Iklim. Jamal bagus, Ahmad Jais pun bagus, Zamani Slam juga bagus, namun yang terbaik bagi saya tetap A Ramlie dan Saleem.

Kalau P Ramlee itu saya rasa kita kecualikanlah daripada semua perbandingan kerana beliau terlalu bagus untuk dibandingkan dengan siapa jua seniman yang wujud di negara kita ini.

A Ramlie penyanyi yang berasal dari Singapura ini dikurniakan tone suara yang lemak dan merdu menjadi pujaan peminat pada zaman kegemilangannya pada era 1960-an dan 1970-an dulu. Berilah apa irama pun, semuanya kena dengan nada suara dan lenggoknya.

Kita mungkin mampu menyanyikan lagu-lagu hit beliau seperti Aku Anak Tani, Sejambak Budi Setangkai Hati, Segantang Lada antaranya namun tidaklah semerdu dan sebaik A Ramlie sendiri. Terutamanya daripada segi lenggok Melayunya tersendiri, yang ini orang putih memang tak boleh nak tiru.

Tidak hairanlah pada zaman kegemilangannya , A Ramlie bersama kumpulannya Rythm Boys berjaya menambat hati anak muda di zaman itu sehingga ramai muda-mudi yang histeria kerana tergila-gilakan penyanyi itu di waktu itu.

Masuk era 1970-an, kita boleh katakan itu zaman Ahmad Nawad sebagai komposer yang paling menyerlah dengan artis hebatnya yang paling berjaya seperti Sharifah Aini dan Jamal Abdillah. Saya suka karya-karya beliau waktu itu yang penuh dengan elemen Melayu yang progresif dan sangat muzikal daripada segi tema dan konsepnya.

Dengar saja lagu Bunga Tanjung, Seri Dewi Malam dan Burung Pungguk. Chemistry antara beliau dan anak didiknya seperti Sharifah Aini, Jamal Abdillah dan Ramlah Ram sangat menjadi pada era mereka awal 1980-an dulu.

Walau lagu-lagu Ahmad Nawab penuh dengan elemen progresif namun nilai kemelayuan dalam kebanyakan karyanya sangat jelas.

Apabila M Nasir ambil alih kedudukan komposer paling laris dari Ahmad Nawab, muncullah Alleycats dengan sederetan lagu-lagu hit mereka hasil garapan Nasir seperti lagu Hingga Akhir Nanti, Andainya Aku Pergi Dulu dan Kerana.

M Nasir bagi saya pencipta lagu-lagu berirama Melayu yang paling berkualiti pernah negara kita miliki, terutama di era keemasan beliau sebagai komposer laku dan menjadi rebutan pada 1980-an dan 1990-an dulu.

Apabila tiba era Saleem dan Iklim, mereka berjaya berdiri sama naik dengan band-band rock terkenal tanah air waktu itu seperti Wings, Search dan Lefthanded. Kekuatan Iklim bergantung kepada Saleem yang mempunyai kualiti suara satu antara sejuta. Bagi saya Saleem adalah penyanyi yang bersuara paling mantap di Malaysia. Bukanlah mudah untuk menyanyikan lagu-lagu Saleem dan Iklim kerana nada suara penyanyi itu sangat tinggi, boleh menjangkau 4 octave saya kira.

Iklim meletup di pasaran pada 1990 dengan lagu Suci Dalam Debu. Waktu itu jika album berjaya mencecah jualan 100,000 unit, itu dikira biasa. Sudah tentulah album yang laris seperti album Iklim ini terjual ratusan ribu unit.

Jika Search bergantung dengan M Nasir untuk menaikkan nama mereka, Wings pula dengan J.S Kevin, Iklim pula bergantung pada vokal Saleem (gambar) walaupun Iklim tidak menampilkan komposer terkenal di waktu album pertama mereka, Satu Kesan Abadi (1990).

Kelebihan Saleem, berilah apa lagu pun, semuanya kena dengan suaranya yang mantap itu. Mukanya bukanlah dalam kategori kacak. Kulit pun hitam legam. Bertambah lagi dengan masalah dan keserabutan dengan pelbagai siri kontroversi yang dicetuskannya, kalau setakat penyanyi biasa sudah lama riwayatnya akan terpadam dalam sejarah seni dan muzik tanah air.

Kenyataannya itu semua tidak menghalang untuk beliau konsisten dalam arus seni tanah air sehingga ke hari ini. Sebab apa? sudah tentulah kerana suaranya yang unik dan tersendiri itu.

Saleem mengingatkan saya kepada kumpulan rock ACDC. Dalam kumpulan ACDC, yang paling menonjol adalah gitaris utamanya, Angus Young. Bon Scott mahupun Brian Johnson pun tidak sepopular Angus.

Selagi Angus Young hidup, ACDC akan terus hidup. Mati Angus, maknanya bubarlah ACDC.

Selepas era Nasir, muncullah Saari Amri mengambil alih kedudukan selaku komposer paling laris di pertengahan 1990-an.

Antara hasil produk Saari yang paling berjaya adalah kumpulan Ukays dan Slam. Saari juga berjaya menerapkan nilai dan elemen kemelayuan yang tebal dalam kebanyakan karya-karya sewaktu di era kegemilangannya.

Maknanya jika kita dengar dan amati lagu-lagu hasil karya Ahmad Nawab, Nasir dan Saari Amri, kita tahu pasti ada mood dan pengaruh lagu asli, zapin, dondang sayang dan joget dalam kebanyakan karya mereka.

Hari ini saya kerap menyanyikan lagu-lagu Melayu daripada kumpulan Slam, Ukays, Iklim dan banyak lagilah sewaktu busking. saya akui mereka ini terutamanya Saleem dan Zamani memang antara penyanyi lagu Melayu yang paling mantap di negara kita ini. – 19 Mac, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments