Opinion

Rock Melayu dan musimnya

Saya kenal ramai kawan yang gila muzik rock daripada pelbagai genre. Tidak kira lagu barat atau timur, semuanya menarik. Katakan saja rock, hard rock, metal, nu metal, progresif, acid atau pcychedelic, semuanya menarik bagi saya.

Sehingga segalanya semakin berkembang, maka ramailah anak-anak muda berambut panjang sesuai dengan imej rock yang menjadi gaya hidup mereka. Walaupun rock, tapi mat-mat rock ini layan juga lagu cinta meleleh, maka muncullah lagu slow rock yang nada dan melodinya seakan sama antara satu sama lain, menguasai pasaran dan untuk seketika ia sangat menguntungkan syarikat rakaman yang hanya tau bagaimana hendak buat untung saja.

Acuannya sama saja kalau kita lihat syarikat filem Shaw Brothers sewaktu zaman kegemilangan Jalan Ampas di Singapura pada 1950-an dan awal 1960-an dulu. Di antara pelakon terkenal bernaung di syarikat itu sebelum ia tutup, hanya segelintir yang lepas.

Apabila segalanya menjadi sebagaimana munculnya Sweet Charity di penghujung 1970-an dulu, maka bermulalah era rock di negara kita ini. Seperkara band rock yang menarik bagi saya datangnya dari Singapura, berbanding negara kita ini.

Mereka ada Blak Dog Bone, Kembara, M Nasir, Sweet Charity, Love Hunter, Rausyanfikir antaranya. Semua band atau artis yang saya sebutkan ini memang berkualiti.

Apabila muncul dalam konsep grup atau berkumpulan, tidak semestinya isi dan muziknya harus tetap rock, bahkan ia merangkum segala macam genre termasuklah folk mahupun blues juga. Lagu dan muzik mereka punya isi berbanding band yang negara kita lahirkan.

Saya melihat Singapura atau mungkin mereka melihat diri mereka sebagai Melayu Singapura yang kuat dengan nilai Melayu dan budayanya.

Singapura kecil saja, Melayu di sana juga terdiri daripada golongan minoriti tapi itulah, kepayahan buat mereka lebih bekerja keras berbanding artis dan kumpulan muzik kita yang manja dan kuat berangan sehingga kebanyakan mereka seperti burung belatuk hanya tahu menyanyikan lagu cinta dan kecewa saja.

Kebanyakan band-band rock kapak kita datangnya dari kampung. Berduyun-duyun mereka datang ke Kuala Lumpur pada 1980-an dan awal 1990-an untuk mencuba nasib menjadi artis rakaman. Sebelum itu untuk survival di Kuala Lumpur mereka bekerja kilang untuk meneruskan kehidupan sambil pasang angan-angan tinggi.

Satu perkara yang jelas, mereka ini sangatlah naif daripada segi imej dan pergaulan. Di dalam kepala mereka hanya untuk jadi mat rock sambil dikelilingi awek, apatah jika diterima sebagai artis rakaman. Waktu itu kebanyakan ahli grup berkumpulan ini hanya fikirkan glamor saja, mereka tidak fikirkan tentang kreativiti atau acuan yang harus ada dalam sesebuah band itu.

Mereka juga tidak perlu risau tentang perkara lain. Untuk lagu dan lirik semuanya sudah disediakan, mereka hanya perlu pandai berposing dan praktis untuk membuat persembahan di fun fair.

Yang untung dan makan hasil sehingga ke hari ini komposer seperti M Nasir dan JS Kevin. Yang band rock yang lagu mereka sering berkumandang di radio mahupun televisyen, mereka dapatlah rasa seronok dan bangga saja, sebab royalti lagu dan lirik hanya untuk komposer saja.

Tidak hairanlah selepas era rock kapak, kebanyakan ada yang terus meninggalkan bidang muzik dan kembali hidup di alam nyata. Ada yang kerja di kilang plastik, ada yang jual insurans, ada yang jual nasi lemak, ada yang hidup sebagai busker. Mereka tidak punya pilihan lain, sebab hidup perlu diteruskan.

Di barat sana, band rock kapak mereka seperti Motley Crue, Ratt dan WASP, pasaran muzik mereka luas. Konsert mereka juga hebat dan mendapat sambutan sesuai dengan gaya hidup mereka sebagai bintang rock.

Ada di antara mat rock yang menjadi artis rakaman ini kawan saya juga. Saya mahu mereka sekurang-kurangnya mampu hidup dengan hasil muzik, walaupun bukan kaya. Untuk itu sepatutnya mereka menghasilkan lagu ciptaan sendiri, punya syarikat produksi sendiri. Boleh gunakan khidmat komposer terkenal, tapi hanya 1 lagu untuk killer song.

Kesannya mereka ini bolehlah kutip royalti saban tahun, walau tidak banyak, sedikit pun adalah juga.

Apabila tibanya era program realiti dan Akademi Fantasia, kita lihat hari ini tidak ada lagi mat rock berkeliaran. Yang kita lihat hanyalah mat dan minah K-pop yang sedang meraikan zaman mereka hari ini.

Search dan Wings memang legenda. Kalau mereka bikin konsert memang akan mendapat sambutan. Itu sebab penonton yang membesar dengan lagu-lagu mereka dulu hanya mahu meraikan nostalgia saja. Kalau mereka bikin album baru, saya tidak pasti lagu mereka akan diterima lagi atau tidak. Apatah selera anak-anak muda hari ini yang lebih ke K-Pop atau hip hop. – 3 September, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments