Opinion

Rock kapak dan perniagaan muzik

Baru-baru ini saya dijemput sebagai tetamu untuk satu siri program 13 episod yang mungkin akan ke udara di salah satu siaran televisyen tempatan awal tahun depan mengikut perancangannya.

Program ini bagus dari sudut hiburan dan ilmiahnya. Era rock kapak adalah sama pentingnya seperti era pop yeh yeh pada 60an dulu.

Di mana kebanyakan anak-anak muda di tahun 80an dulu akan bangga dengan imej rock mereka terutamanya dari sudut penampilan berambut panjang, berseluar ketat, berkasut jenama “Aliph” yang menjadi tren anak muda pada zaman itu.

Topik perbincangannya berkisar tentang era muzik rock kapak sewaktu pada zaman kegemilangannya era 80an dan tahun 90an dulu. Saya diminta memberi pandangan mengikut pemerhatian saya sebagai seorang pemerhati, pemuzik mahupun sebagai penulis mengikut “angle” dari sudut kefahaman saya.

Waktu itu saya masih tinggal di kampung, awal tahun 80an dulu di sebuah pekan kecil bernama Bruas, Perak. Dan waktu itu juga saya sudah didedahkan dengan muzik rock barat yang popular seperti Deep Purple, Scorpions, Black Sabbath, Iron Maiden, Judas Priest, White Snake dan banyak lagilah.

Yang pasti kebanyakan kaset yang dijual adalah jenama cetak rompak tidak kira lagu-lagu Melayu mahupun Inggeris. Seperkara tidak ada kaset original yang dijual di pekan-pekan kecil seperti Bruas, alasannya harga kaset original RM11.90 waktu itu jauh lebih mahal dari harga kaset cetak rompak yang harganya hanya RM3.50.

Kalau kita nak yang original terpaksalah ke pekan Sitiawan ataupun Ipoh dengan menaiki bas pengangkutan awam yang jaraknya berpuluh-puluh kilometer jauhnya.

Maka kedatangan Sweet Charity dengan album Pelarian pada 1980 hanyalah sekual daripada genre muzik rock barat yang saya dengar. Sebelumnya, pada 1979 mereka mengeluarkan album yang berkonsepkan rock yang kebanyakannya berupa lagu saduran dengan penggunaan bahasa Melayu sebagai perantaraannya. Walaupun saduran, namun ianya cukup sebagai satu salam perkenalan dari mereka.

Saya lebih suka Godbless, legenda band rock dari Indonesia . Banyak sebabnya terutama dari segi muzik, nilai kesusasteraan dan mesej kemanusiaan dan kehidupan yang kuat dan sesuai dengan konsep muzik yang mereka perjuangkan.

Muzik rock ini banyak cabangnya. Ada blues rock, jazz rock, folk rock, progresif rock, psychedelic rock, heavy rock, slow rock dan sebagainya. Pun di negara kita ini apa saja yang kita perjuangkan, isinya perlulah punya nilai mainstream atau komersial yang tinggi. Hanya satu pertanyaan penting dari syarikat rakaman jika mereka mengambil kita bernaung di bawah syarikat rakaman mereka. Boleh jual?

Sebabnya asas penting untuk apa produk sekalipun pun adalah perniagaan yang mengambil kira soal untung dan rugi. Jadi di sini tidak ramai band rock kapak kita yang solid dari segi kreativiti mahupun dari sudut pengisian lagu, ditambah dengan sudut kefahaman yang masih lemah di kalangan masyarakat kita yang biasanya waktu itu sering menganggap muzik rock itu punya banyak unsur negatif di dalamnya.

Pada era 80an dulu sebenarnya banyak juga band-band yang bagus dan berkualiti yang mengeluarkan album seperti band Goodman Brothers, Klangs, Black Dog Bone, Discovery, Flybaits antaranya. Dari segi kualiti mereka ini jauh lebih bagus dari band-band rock kapak. Salah sau sebabnya kebanyakan band-band ini datangnya dari kalangan pemuzik yang berpengalaman yang bermain muzik di pub dan hotel.

Cuma konsep muzik mereka lebih ke arah pop baik dari segi penampilan mahupun imej. Tentang rock kapak, yang mahu syarikat rakaman peragakan pertamanya imej dan keduanya lagu rock jiwang yang meleleh, sebab itu yang boleh jual.

Dari sudut kreativitinya, ianya dari apa yang saya lihat, tidak ada satu pun band rock kapak yang punya nilai idealis yang kuat dalam acuan muzik dan kreativiti mereka. Mereka terpaksa bergantung kepada komposer dan penulis lirik untuk bikin lagu. Lagu-lagu pula bentuknya tidaklah rock sangat. Yang rock hanyalah pada imej mereka sahaja.

Ini ditambah dengan sudut kefahaman yang lemah di kalangan masyarakat dan pendengar kita dari sudut penerimaan dan sikap keterbukaan mereka dalam menilai muzik dan alirannya.

Di penghujungnya, kebanyakan band-band rock kapak ini hanyalah tinggal nama sahaja. Kerana yang masih makan hasil royalti untuk lagu-lagu hit mereka yang berjaya dijual ratusan ribu unit dulu hanyalah komposer dan penulis lirik. Mereka hanya dapat nama dan glamor sahaja.

Maka atas sebab itu adakan timbullah perpecahan dan berbagai masalah di kalangan mereka. Puncanya kestabilan dari segi kewangan yang tidak seimbang. Hidup perlu diteruskan selagi kita hidup.

Apa pun, era rock kapak tetap akan diingati sebagai satu era penting bagi peminat muzik rock. Yang bikin untung tentulah syarikat rakaman, komposer dan penulis lirik. Band rock kapak ini hanya dapat glamor dan nama sahajalah. Inilah kenyataannya jika kita memilih muzik sebagai karier atau kerjaya untuk menyara kehidupan. – 17 September, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments