Opinion

Rajinikanth insan terpilih

 Rajinikanth adalan insan terpilih menjadi manusia hebat dikalangan bangsanya. – Gambar fail The Malaysian Insider, 5 November, 2015. Rajinikanth adalan insan terpilih menjadi manusia hebat dikalangan bangsanya. – Gambar fail The Malaysian Insider, 5 November, 2015.Rajinikanth adalah insan hebat bertaraf legenda yang masih merajai persada industri perfileman India dari mula kariernya pada 1975 sehinggalah hari ini.

Dalam usianya yang menjangkau 64 tahun dan kepala pun sudah botak tengah, statusnya sebagai superstar tiada siapa dapat menafikan terutama untuk bangsanya sendiri.

Bob Marley dan Jimi Hendrix, walaupun berkulit hitam dikategorikan sebagai ikon muzik kacak dan berkarisma untuk bangsa mereka sendiri. Begitulah juga dengan Rajinikanth.

Mendapat bayaran sehingga AS$6.5 juta (RM27 juta) untuk filem box officenya Sivaji (2007) menggambarkan betapa berpengaruhnya aktor hebat ini di dalam mahupun di luar filem.

Dianggap seperti dewa malah popularitinya melebihi menteri di India. Sehingga dimitoskan apabila Rajinikanth tiba di Malaysia, hanya dengan satu jelingan seperti di dalam filemnya, maka jerebu pun hilang.

Saya terpanggil untuk menulis tentang legenda yang masih hidup ini kerana beliau sekarang sedang berada di Malaysia untuk penggambaran filem baharunya, Kabali yang dijangka akan ditayangkan pada tahun depan.

Mereka bertanya saya tentang Rajinikanth. Saya tidak ada jawapan untuk itu. Apa yang saya tahu cerita dan wataknya di dalam filem memang menghiburkan.

Kita perlukan hero sempurna yang nampak jahat tetapi baik hati. Bak kata bijak pandai, dalam hati ada taman.

Ramai kawan saya yang “educated” merupakan peminat Rajinikanth. Kita tahu kehebatannya di dalam filem macam dalam cerita kartun.

Malah sebut saja nama Rajinikanth kita akan ketawa sambil membayangkan kekuatannya yang tak masuk akal dalam filem, tapi kita tetap menonton filem hebatnya seperti Muthu, Manick Baasha, Padayappa, Baba, Sivaji antaranya dan kita akan terhibur akhirnya.

Tidak ada watak hero dalam filem yang digambarkan sebagai sangat hebat dan sempurna melainkan watak Rajinikanth di dalam filem.

Hatta watak adiwira seperti Superman, Batman mahupun Spiderman pun perlu bertopeng dan memakai kostum khas untuk melambangkan kehebatan.

Rajinikanth tidak perlukan itu semua melainkan tutur kata, lawaknya, gayanya dan kekuatan luar biasa sehebat dewa dari kayangan, itu sudah melebihi tahap hebat kita, manusia biasa di muka bumi ini.

Paling penting Rajinikanth bukanlah hero lembik dan meleleh dengan perempuan seperti Shah Rukh Khan mahupun Salman Khan atau kebanyakan hero filem Bollywood.

Bermula era M.G.R, Sivaji Ganesan dan era kini adalah era Rajinikanth. Kartun? Memang kartun. Lawak? Wataknya memang lawak.

Bayangkan watak beliau di dalam filem digambarkan sebagai amat sempurna. Yang paling penting beliau adalah hero bagi warga marhaen atau Robinhood.

Majoriti masyarakat di India adalah dalam golongan marhaen. Di sana, yang kaya memang sangat kaya dan yang miskin memang papa kedana.

Rakyat bergantung dengan filem yang happy ending untuk melepaskan diri mereka daripada belenggu dan kenyataan hidup yang sukar atau “escapism”.

Di luar filem, Rajinikanth adalah insan yang hebat dan spiritual.

Tuntutan rakyat yang menganggap beliau seperti dewa memungkinkan langkah beliau untuk menuju ke lorong itu, malah sebahagian dari pendapatannya disalurkan kepada badan kebajikan atau yang memerlukan.

Saya lebih suka menonton filem Tamil berbanding filem Hindustan. Saya hanya suka filem Hindustan era tahun 60an dan70an kerana lagu di dalam filemnya sangat berkualiti dan menarik.

Ketika itu terdapat komposer yang hebat seperti S.D Burman dan anaknya Rahul Dev Burman juga penyanyi hebat seperti Mohd Rafi, Kishore Kumar mahupun Mukesh antaranya.

Filem Tamil lebih realisitik dan penuh dengan mesej dan bermanfaat berbanding filem Hindustan.

Walaupun kebanyakan filem lakonan Rajinikanth agak klise dan stereotype, itulah yang kita mahukan.

Di negara kita, tidak ada pelakon yang mampu sampai ke tahap Rajinikanth. Siapa hero filem kita yang boleh kita banggakan?

Kita tidak mampu melahirkan P Ramlee dan kita tidak akan melahirkan filem yang bermutu seperti di zaman P Ramlee.

Hero filem kita kebanyakannya cepat naik dan cepat beku, datang dan pergi. Plot atau kebanyakan tema pula sudah lapuk, baik drama mahupun filem.

Kita masih menggunakan formula lama yang sudah tidak relevan untuk tatapan orang kampung.

Untuk menjadikan siapa dan sehebat mana kita di mata khayalak, bergantung dengan usaha, takdir dan ketentuan.

Rajinikanth adalan insan terpilih menjadi manusia hebat dikalangan bangsanya.

Yang pasti, setiap filem lakonan Rajinikanth tetap akan kita tunggu. – 5 November, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments