Opinion

Perkahwinan: Antara realiti dan angan-angan

Ramai kawan saya yang sudah berkahwin dan beranak-pinak. Ramai juga walau umur sudah separuh abad atau lebih, masih bujang dan selesa dengan kehidupan yang sedang mereka lalui. Apa pun bagi saya boleh saja, segalanya terpulang kepada diri dan kemampuan kita sebenarnya.

Saya adalah umat Muhammad daripada sudut konsepsualnya. Muhammad berkahwin dan beranak-pinak. Muhammad adalah contoh untuk umat manusia yang dikurniakan nafsu dan kehendak.

Konsep kesempurnaan itu bagi saya jika kita berkahwin atau sekurang-kurangnya kita pernah melalui pengalaman berumahtangga.

Ada juga kawan yang berkahwin dan kemudiannya setelah beberapa waktu bersama mengambil keputusan untuk bercerai atas alasan tidak ada persefahaman lagi. Ada yang masih kekal bertahan mengecap nikmat hidup berumahtangga.

Masing-masing dengan cerita dan takdir mereka dalam menempuh alam perkahwinan, misteri dan rahsianya.

Mentakrif makna perkahwinan tidaklah semudah kita menterjemah atau mempraktikkan pengertiannya dalam kehidupan ini, dan istilah dua hati jadi satu itu hanyalah penyedap kata atau sekadar madah cuma kerana kenyataannya dua hati mana mungkin menjadi satu?

Menghadamkan maknanya juga tidaklah semudah kita membaca buku dan pelbagai teori bagaimana untuk manjana hidup bahagia hingga ke akhir hayat.

Ia adalah proses dan tidak akan menuju sempurna dalam erti kata yang sebenarnya.

Cuma yang terbaik jika ada sikap saling memahami dan menghormati dalam dunia perkahwinan. Ini bagi saya paling penting dalam institusi perkahwinan, iaitu saling memahami dan menghormati antara pasangan.

Pernah seorang kawan baik yang saya temui duduk dalam keadaan lemah dan kecewa, mengadu akan nasibnya yang terpaksa bercerai dengan isterinya setelah 15 tahun berumahtangga.

Alasannya mereka sudah tidak sama taraf, si isteri makin makin maju daripada segi kerjaya manakala si suami pula gajinya masih di takuk lama. Lama kelamaan penyakit materi pun menjalar dan bertenggek di hati isterinya sehingga terjadilah babak yang tidak menarik sehinggalah mereka akhirnya bercerai.

Sebelum berkahwin dulu kata kawan saya itu lagi, bukan main lagi mereka berjanji untuk sehidup semati, susah senang tetap bersama sehingga ke akhir hayat. Tapi itulah, ianya hanyalah sekadar janji dan kata-kata, di waktu dan ketika itu saja.

Inilah masalah jika kita sering menjadikan diari hidup sang artis glamour sebagai ikon dan rujukan, yang hidup mereka itu kebanyakannya penuh dengan angan-angan bagai hidup di kayangan.

Atau kita terlalu terpesona melihat gelagat dan gaya hidup anak orang kaya, anak pak menteri atau anak raja yang bermewah-mewahan sehingga kita terlalu berangan untuk menjadi seperti mereka atau sekurang-kurangnya dapat dipandang glamour seperti mereka pun jadilah.

Mereka itu (anak orang kaya atau anak raja) saya akui yang mereka memang berhak untuk bergaya dan bermewah-mewahan sesuai dengan status mereka yang punya segala harta dan kemewahan di dunia ini. Ini kalau hidup pun masih berhutang sana sini bagaimana kita kata kita ini orang kaya?

Bercerita tentang bab artis kahwin cerai sudah menjadi tren dan ikutan masyarakat kita, jadi inilah masalahnya jika kita kurang berfikir tentang perkara yang lebih bijak dan bermanfaat melainkan membelek wajah dan kisah hidup para artis di dalam majalah mahupun di media elektronik, yang kebanyakannya sakit itu.

Cara hidup mereka ini daripada segi imejnya memanglah berpaksikan kemewahan dan glamour, tapi itu jugalah antara penyebab dan masalah kerana kita hidup tidak berpijak di bumi yang nyata.

Realitinya perkahwinan itu perlulah kita jalani dalam bentuk yang lebih realistik sifatnya.

Saya sudah 19 tahun berkahwin dan dikurniakan empat cahayamata. Bagi saya perkahwinan adalah satu perkongsian hidup dalam mencari, merasai, belajar dan menikmati makna bahagia. Ianya adalah sebuah proses yang tidak berpenghujung.

Saya melangsungkan perkahwinan dalam keadaan yang tidak punya apa, materi dan kerjaya. Kontrak bermain muzik dan pub dibatalkan pada saat akhir, sehingga memutuskan saya untuk bekerja dengan gaji yang tidak seberapa pada 1995 dulu.

Saya bersyukur kerana berjaya mengharungi pelbagai cabaran dan dugaaan dalam hidup berumahtangga. Tahun ini adalah tahun yang ke-19 saya menjalani hidup sebagai suami isteri.

Tapi itulah, penting untuk kita sama-sama menterjemahkan makna hidup dalam pengertian hakikat hidup itu sendiri. Hakikat tidak berkiblatkan materi dan angan-angan.

Hakikat adalah kenyataan dari lubuk jiwa itu sendiri. Jiwa mahunya hanyalah bahagia, bukannya materi. Yang mahu materi itu nafsu sebagaimana kehendak akal dan fikir kita yang segalanya baharu ini.

Biasanya setiap pasangan itu sejak kali pertama diijabkabulkan, mereka dengan penuh yakin akan dapat menikmati nikmat hidup bersuami isteri bahagia hingga ke akhir hayat. Kita hanya penduga belaka, jadi kita tidak tahu apa cerita yang akan kita tempuh di alam perkahwinan nanti.

Sebelum kita hidup sebagai suami isteri, sangat penting untuk kita fahami apa dan siapa pasangan kita itu, kelemahan mahupun kelebihannya. Ada yang cara hidupnya formal dan konvensional, ada yang tidak konvensional.

Jadi perkara terbaik adalah memahami siapa pasangan kita itu seadanya. Kita bukan berkahwin dengan robot yang boleh diprogramkan untuk menjadi itu dan ini.

Saya ada ramai kawan yang hidup sebagai anak seni (pelukis, penulis mahupun pemuzik). Cara hidup mereka ini bukanlah seperti orang kerja pejabat atau kerajaan yang keluar pagi balik petang.

Cara hidup mereka ini agak tidak konvensional dan formal, begitu juga pemikiran dan pelaksanaan. Jadi hal seperti inilah yang perlu pasangan mereka faham akan sikap dan cara hidup pasangan mereka.

Bukanlah saya menyokong cara hidup dan pemikiran orang seni tapi kita perlu duduk dalam kenyataan dan hakikat kebahagiaan itu sendiri, jika kita mahu mengecap nikmat 'bahagia'.

Perkahwinan itu bagi saya adalah sebuah perjalanan dalam menterjemahkan makna hidup dan perkongsian dalam bentuk yang lebih realistik sifatnya. – 22 Mei, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider. 

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments