Opinion

Nilai kejujuran dalam dunia seniman

Seniman hanyalah seorang seniman. Mereka adalah golongan pengkarya yang hanya pandai berkarya dalam genre yang mereka hadam sama ada dalam bidang muzik, penulisan mahupun catan atau lukisan. Mereka mungkin mahir dalam membentuk acuan jiwa namun agak gagal dalam mentadbir hidup dan diri sendiri.

Biasanya untuk mereka ini berjaya, perlu ada penggerak untuk kerjaya mereka berkembang. Seperti adanya pengurus, pengurusan yang bijak dan cekap. Kebanyakan artis terkenal dunia, tidak kira sama ada mereka itu pelukis, penulis mahupun penyanyi, mereka punya pengurus yang menguruskan kerjaya mereka.

Saya atau kita semua tertarik dengan fenomena Lepat atau Ismai Ariffin yang bukunya ‘Terimakasih Si Babi Hutan...Tuhan Kini Aku Datang” mendapat sambutan hangat sewaktu pelancarannya di PWTC baru-baru ini.

Boleh dikatakan 70% yang berkunjung ke sana semata-mata mahu bertemu Lepat dan meminta tandatangan beliau dari siang sampailah ke malam.

Ramlee Awang Murshid, penulis novel tersohor tanah air kita sewaktu awal kariernya tahun 90an dulu, pernah berkata pengunjung atau peminat yang hadir sewaktu pelancaran buku pertamanya “Igauan Maut” (1995 ) terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka waktu itu boleh dibilang dengan jari.

Maknanya untuk beliau membina khalayak bukanlah hanya dalam sekelip mata seperti kejayaan yang sedang dikecapnya hari ini. Menariknya beliau tekun dengan kerja penulisannya dan konsisten dan hasilnya beliau mampu hidup senang hanya dengan menjadi penulis novel sepenuh masa.

Sewaktu pelancaran buku baru saya, “Gila Muzik “yang berlangsung beberapa bulan lalu, yang hadir hanyalah sekitar 10 orang sahaja. Tapi itu tidak mengapa bagi saya.

Selepas kejayaan buku Lepat, khabarnya ramai kawan seniman yang macam bohemian juga yang saya kenal nak jadi macam Lepat. Mereka nak buat buku, bergerak secara indipendent dan percaya yang hasil kerja mereka akan meletup dan mereka akan menjadi kaya. Adakah semudah itu ceritanya?

Kebanyakan mereka ini datang daripada cabang “mainstream”. Apabila mereka ini melakukan seperti yang Lepat lakukan, maknanya mereka cuba meneroka ke alam indipendent. Dunia indipendent pun mungkin mereka ini kurang faham acuannya. Saya rasa mereka tidak akan berjaya.

Mungkin mereka ini punya nama besar dalam bidang penulisan mahupun muzik, tapi itu adalah cerita semalam.

Adakah karya-karya mereka itu konsisten dan relevan untuk mereka mendapat atau menarik khalayak ramai terutamanya anak-anak muda hari ini?

Lepat seorang seniman yang konsisten dalam acuannya yang tersendiri. Perhubungan antara dia dan peminatnya jelas dan tidak dibuat-buat. Dia juga tidak bercita-cita besar untuk menjadi orang hebat saya kira. Cuma Lepat adalah seorang seniman yang memerlukan penggerak atau pengurus yang menguruskan kerjayanya.

Memang buku barunya itu yang pertama kali diterbitkan. Maknanya itu baru buku pertama Lepat yang dicetak dan dipasarkan, tapi kisah dan perhubungan antara dia dan peminatnya sudah terjalin rapat sebelum ada Facebook dan YouTube lagi. Jadi perhubungan yang terjalin itu jujur dan tidak dibuat-buat.

Sama seperti kita menonton filem Jerry Maguire (1996) lakonan mantap Tom Cruise dan Cuba Gooding Jr tentang bagaimana perhubungan yang erat antara ejen sukan Jerry dan kliennya Tod Ridwell.

Elemen kasih-sayang dan kejujuran adalah perkara paling penting dalam perhubungan antara sesama kita di dunia ini kerana induknya menuju kepada Yang Satu juga.

Semua kita punya peluang yang sama rata. Kita ada YouTube, Instagram, Twitter mahupun Facebook. Ini cabang promosi percuma untuk kita memperkenalkan diri pada khalayak. Ramai sudah berjaya yang kebanyakannya remaja belaka. Jika karya kita mendapat perhatian atau menjadi “viral”, itu maknanya kita sudah menuju satu langkah ke hadapan.

Acuannya terpulanglah kepada kita. Hari ini kita tidak memerlukan promosi di majalah mahupun di kaca televisyen lagi. Zaman itu bagi saya sudah berlalu. Surat khabar pun orang sudah tidak baca lagi melainkan di kalangan warga emas sahaja.

Penyanyi atau pengamen kelahiran Indonesia, Tegar berjaya kerana YouTube. Nikmat popularitinya hanya semusim kerana dia tidak konsisten dengan bakatnya. Di mana Tegar hari ini?

Musim ini kita bercerita tentang Lepat dan bukunya yang mendapat sambutan itu. Walaupun saya menulis dan buku tidak selaris bukunya, saya tumpang berbangga dengan kejayaannya sebab dia memang layak untuk itu.

Cuma sama ada bukunya atau karya-karya yang seterusnya masih akan mendapat sambutan, itu terpulanglah kepada takdir yang akan menentukan. – 21 Mei, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider. 

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments