Opinion

Musibah dalam kehidupan manusia dan alam

Musibah adalah malapetaka yang menimpa, sama ada melanda manusia mahupun alam ini. Biasanya ia bukanlah sesuatu yang baik, melainkan masalah dan dukacita. Ia akan datang tanpa kita undang.

Sebagaimana kita dikejutkan dengan kejadian gempa bumi baru-baru ini yang berlaku di Nepal, yang mengorbankan beribu-ribu nyawa dalam sekelip mata, begitulah juga ia akan berlaku dalam siri takdir yang kita lalui, tanpa kita sedari.

Gempa bumi, tsunami atau taufan dan puting beliung, semuanya ini malapetaka yang akan datang melanda, mengingatkan dunia yang semakin kurang nilai alam dan hijaunya ini supaya kembali kepada fitrahnya. Manusia terlalu sibuk dengan arus dan kemodenannya, sehingga lapisan ozon semakin panas dan menipis.

Bumi ini sudah tiada nilai aslinya lagi. Manusia semakin rakus meningkatkan nilai ketamadunan sehingga alam ini mengalami sakit yang tiada ubatnya lagi, hanya menunggu waktu untuk hancur sepenuhnya.

Alam ini umpama roh, yang penuh dengan nilai sucinya. Apabila disalut dengan pelbagai elemen materi yang segalanya plastik belaka, maka nilai sucinya akan luntur sehingga apabila semakin hilang nilai keseimbangannya, maka hancur dan punahlah segalanya.

Bayangkan kita sedang bersenang lenang merehatkan diri di dalam rumah bersama anak dan keluarga, tiba-tiba dalam sekelip mata segalanya lenyap dan musnah. Begitulah jika Dia mahu itu yang terjadi, maka terjadilah.

Kita yang tinggal hanya sementara di dunia yang berbentuk pinjaman ini memang tidak ada jaminan segalanya akan aman dan damai  100%. Dugaan dan ujian akan datang tanpa kita duga, tanpa kita undang. Siapa yang mahu masalah? Pun jika itu yang datang, kita perlu belajar untuk menghadapinya.

Musibah akan datang dalam hidup kita apabila tiba waktunya. Dugaannya memang hebat. Ia seperti gempa bumi, tsunami, taufan walau dalam skala yang kecil merangkumi hidup dan perjalanan kita, namun cukup untuk membuatkan hidup dan kebahagiaan kita terencat. Selama mana ujiannya bergantunglah atas kehendak-Nya jua.

Saya pernah mengalaminya. Ia memang menduga keimanan kita. Dari satu masalah ke satu masalah yang bertimpa-timpa. Untuk kita bangun semula, ia bukanlah semudah kata-kata, melainkan semangat kita untuk terus hidup dan berjuang.

Kadang-kadang dalam meniti hidup ini, kita akan tersalah langkah dan percaturan, maka mahu tidak mahu kita terpaksa menanggung kesan dan bebannya.

Begitulah seperti seorang kenalan saya yang dulunya agak mewah dengan rezeki yang melimpah. Seperti katanya, "mungkin sewaktu senang dulu ada sikap sombong dalam diri aku, tanpa aku sedar".

Datang bertemu saya menceritakan tentang seguni masalah yang katanya ditimpa musibah. Hampir 2 tahun kerja tiada, industri seni hiburan yang lebih mementingkan kroni menyukarkan lagi keadaan. Sewa studio dan pejabat yang jumlahnya ribuan ringgit sebulan sudah 6 bulan tidak berbayar, sewa rumah, kereta, itu dan ini..memang sakit kepala bila kita duduk di tempat dia.

Saya pun tidak dapat berbuat apa-apa untuk menolongnya selain memberikan semangat dan belajar untuk menghadapi saat yang sukar dalam hidupnya, sebab kita melalui takdir hidup kita masing-masing.

Apa pun saya katakan kepadanya, "kalau kita memilih jalan Tuhan, kita memang akan sentiasa diuji..." dan dia nyata bersetuju dengan pandangan saya.

Jalan Tuhan adalah pilihan dan itu adalah kehendak daripada jiwa itu sendiri. Jalan Tuhan bukanlah ke arah materi halanya melainkan kita yang melakonkan skrip yang sudah siap plot dan jalan ceritanya. apa yang perlu kita lakukan mencorakkan cerita kita mengikut apa bentuk dan warna yang kita mahu.

Kita masing-masing sudah faham tentang perjalanan cerita dan alam ini. Apa yang mampu kita lakukan hanyalah berserah dan menerima cerita takdir kita seadanya. Apa lagi pilihan lain yang kita ada?

Dari muda ke tua, sihat ke sakit, senang menuju susah, itulah yang akan kita hadapi kenyataannya. Bagus jika belajar bersedia untuk menghadapi segala cerita suka duka alam ini agar kita tidak kecewa di penghujungnya.

Segala cerita dunia ini adalah tentang Dia, bukan kita. Kita di sini hanyalah sekadar watak untuk melengkapkan cerita Dia. Selama mana kita akan hidup di dunia ini, ia hanyalah sekadar angka yang akan menghampiri titik noktahnya.

Dalam hidup ini, bukan yang baik-baik saja yang akan kita hadap, yang buruk-buruk pun sebahagian skrip dan perjalanan hidup kita juga. Nafi dan isbat itu terlalu nyata.

Kita mengharapkan agar penduduk Nepal dapat menghadapi ujian yang sedang melanda negara mereka dengan tabah dan reda. Apa lagi pilihan yang kita ada? – 30 April, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments