Opinion

Mishar, bakat dan perkembangan seni kartun di Malaysia (Bahagian 1)

Saya pernah bercita-cita menjadi pelukis atau kartunis terkenal sewaktu kecil dulu. Malangnya cita-cita itu tidak kesampaian kerana saya cuma punya sedikit bakat, malah tidak diasah dengan latihan berterusan.

Pelukis adalah mereka yang dikategorikan sebagai orang seni berjiwa halus. Tidak semua kita dikurniakan dengan anugerah dan bakat.

Sama ada karya kita diterima atau tidak, itu perkara lain tapi yang penting adalah nilai telus kita pada kehendak jiwa yang di dalam itu sendiri, yang akan membawa kita ke daerah kejiwaan maha luas dan tidak terbatas.

Ruang tidak terbatas juga memungkinkan kita hanyut dalam alunan dan acuan kita sendiri, memungkinkan kita menjadi manusia yang lebih cintakan kesunyian berbanding keriuhan, ataupun syok sendiri hingga ke akhir hayat.

Seni lukis sama saja dengan seni muzik. Muzik apabila kita mendalami ilmu dan permainannya, kita akan kembali ke asas seni muzik itu sendiri sehingga ia menyatu di dalam jiwa. Umpama syariat berserta hakikat juga makrifat.

Dalam seni lukis pula, saya hanya berminat melihat pada satu sisi sahaja. Umpama hanya wajah manusia dan tidak seluruh anggota tubuhnya. Saya tidak berminat belajar anatomi atau garis-garis yang diperlukan sehingga mendapat tone dan stroke kita sendiri dalam berkarya.

Saya tidak tahu dari mana datangnya minat melukis ini. Cuma arwah mak selalu bercerita tentang abang saya yang paling tua, Mishar atau nama sebenarnya Sariman Mior Hassan (gambar) dan kehebatannya dalam dunia seni lukis dan siri survival dilaluinya. Dari situ mungkin timbul minat menjadi seperti beliau.

Bayangkan di waktu itu, di hujung tahun 50an juga di awal tahun 60an, sewaktu usia kanak-kanaknya, beliau sudah pandai mencari duit poket dengan melukis kartun di akhbar dan majalah. Tinggal pula di Kampung Kilang, Bruas, sebuah penempatan kecil yang segala-galanya kurang dari segi kemudahan dan infrastruktur.

Yang terdapat di pekan Bruas waktu itu cuma simpang menghala ke Ipoh, Lumut dan Taiping, balai polis, pejabat pos, sebuah padang bola, sederetan kedai lot dua tingkat kiri dan kanan jalan yang menghala ke Taiping juga sebuah pasar basah yang menjual ikan, ayam dan barang keperluan seharian.

Saya tidak tahu kerjaya atau apa yang dibuatnya sewaktu kecil. Apa yang saya tahu sebelum majalah Gila-Gila diterbitkan, beliau sudah aktif berkarya di beberapa buah majalah berunsur pendidikan seperti Murni, Bambino dan Medan Pelajar.

Di pekan Bruas, terdapat sebuah kedai mamak yang menjual surat khabar dan majalah yang letaknya berhadapan perhentian bas ke Ipoh. Saya tak tahu sejak bila kedai mamak itu wujud, yang saya tahu waktu saya di darjah satu pada 1974, kedai itu sudah pun wujud.

Seringlah saya membeli apa saja komik, majalah, novel atau apa bentuk bahan bacaan yang menarik sesuai dengan umur dan kefahaman saya waktu itu.

Kalau cerita komik, saya suka membaca cerita yang berbentuk persilatan karya Mohd Zohri Sukimi atau Zoy, Yamin Daud, Jaafar Taib atau daripada majalah Fantasi antaranya.

Keluarga saya pula bukanlah orang senang. Arwah bapa hanya bekerja sebagai seorang polis biasa. Emak pula setia dengan wataknya sebagai suri rumah sepenuh masa.

Kehebatan Mishar kerana beliau sudah pandai berdikari sejak kecil. Dengan bakatnya melukis beliau mampu menjana pendapatan yang dikira lumayan di waktu itu dan beliau tidak bergantung dengan bantuan kewangan daripada bapa saya, sejak kecil sampailah dewasa.

Abang-abang saya yang lain seperti Sohaimi dan Sallehuddin juga berbakat dalam seni lukis. Yang paling berjaya Mishar. Beliau adalah legenda di bidangnya.

Saya bangga dengan pencapaian Mishar dalam bidang yang berjaya menjadikannya legenda, walau agak kesal kerana beliau tidak setia dengan wataknya sebagai pelukis dan dunia seni lukis mahupun dalam bidang penulisan yang sudah menjadi darah dagingnya.

Tidak seperti rakan seperjuanganya, Jaafar Taib yang walaupun sudah bergelar bos dan bertaraf legenda, sukses dan terkenal, masih tetap setia dengan wataknya sebagai pelukis.

Saya tidak punya jawapan mengapa selepas bergelar bos di Gila- Gila mahupun di tabloid lain di bawah kendaliannya, beliau semakin kurang melukis juga menulis.

Padahal beliau sanggup berhenti kerja sebagai sebagai pendidik untuk bekerja di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai seorang pereka bentuk. Selanjutnya, beliau meninggalkan kerjaya tersebut untuk menumpukan sepenuh perhatian terhadap dunia seni yang dicintainya.

Majalah Gila-Gila adalah fenomena bagi masyarakat daripada pelbagai golongan sejak keluaran pertamanya diterbitkan pada 1 April 1978, sewaktu saya dalam darjah 5.

Setiap isu saya akan beli dan kagum dengan bakat-bakat pelukis dan kartunis yang hebat dan berbakat seperti Jaafar Taib, Don, Kerengge, Fatah, Rejabhad, Ujang, Nan dan ramai lagi.

Sehingga sebuah lagi majalah yang seperti itu, Gelihati diterbitkan oleh Karangkraf yang berjaya menjadi pesaing pada Gila-Gila waktu itu.

Sering juga Mishar apabila pulang singgah ke kampung, beliau membawa rakan sekerjanya seperti Rejabhad, Jaafar Taib dan beberapa orang kartunis lagi.

Sewaktu tiba di Kuala Lumpur, saya berkesempatan berkenalan dengan ramai kartunis dan pelukis yang bekerja dengan Mishar. Waktu itu saya cuba menghantar karya kepada beliau, malangnya tidak diterima.

Selepas meninggalkan Gila-Gila, Mishar menerbitkan majalah humor yang sama konsepnya dengan Gila-Gila, iaitu majalah Batu Api pada 1984. Bersambung. – 3 Julai, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments