Opinion

Kita mahu aman, kita mahu damai

Baru-baru ini di Jakarta, Indonesia, kita dikejutkan dengan kejadian pengeboman dan pembunuhan yang dikaitkan dengan militan Negara Islam Iraq dan Syria (Isis). Beberapa hari kemudiannya polis menangkap seorang lelaki di Stesen LRT Jelatek, Ampang kerana disyaki terlibat dengan rangkaian pengganas Isis.

Sebelum ini berlaku juga pengeboman di beberapa negara Islam seperti Istanbul, Turki, juga dikaitkan dengan militan Isis.

Islam satu cara hidup. Agama suruh kita berbaik antara sesama manusia. Itu asasnya dan itulah sebabnya kita dilahirkan ke dunia ini. Apa agama pun suruh umatnya berbuat baik. Membunuh bukanlah perbuatan orang yang baik. Tuhan tak jadikan kita untuk saling membunuh, apatah menjadikan agama sebagai alasan.

Apabila otak kita sudah di'mind-set', maka akan hilanglah nilai keseimbangan, dan kita tidak akan berfikir secara rasional. Yang melakukan perkara sedemikian bukanlah di kalangan mereka yang tidak berpelajaran, tapi itulah, dan inilah ragam dunia yang sedang kita hadapi sekarang.

Mereka melakukannya kerana jihad dan syurga Tuhan, sepertimana yang di mind set ke dalam otak dan pemikiran mereka. Ini perkara penting yang menjadi asas dalam agama kita, kata mereka yang dikatakan beragama itu.

Sedangkan bab syurga neraka, dosa pahala ini sangat subjektif untuk kita bincangkan jika umur kita melepasi tahap akil baligh.

Kalau level budak sekolah, itu perlu sebab tahap akal mereka dalam menilai. Mereka perlukan 'guide' dan imbuhan seperti dalam bentuk ganjaran dan sebagainya. Ia lebih menjurus kepada janji yang menanamkan nilai percaya dalam diri.

Ini kalau umur 50 tahun kita masih berfikir tentang dosa pahala, syurga dan neraka, mana nilai ikhlas kita kepada Tuhan yang satu, menjadikan syurga neraka, terpulanglah kepada Dia untuk memilih siapa disukai untuk menjadi pilihannya?

Kita perlu melakukan kebaikan bukan atas sebab ganjaran, melainkan atas dasar tanggungjawab insani kita. Tuhan lebih tahu apa yang kita lakukan, sebagaimana proses takdir, qada dan qadar juga kifarah kita sebagai penghuni dunia. Semuanya adalah hak-Nya juga.

Itu sebab kita perlu baca buku atau kitab yang bagus untuk pembentukan jiwa yang matang, seperti karya Musyawarrah Burung karangan pujangga Fariuddin Attar, atau kitab tasauf lainnya, yang mengajar kita untuk mengenal diri dan roh kita, bukan ajar bunuh orang .

Bercerita tentang buku, yang berlambak di pasaran kebanyakannya hanya berlegar di sekitar pemahaman fiqah, dan yang paling penting macam mana nak dapat pahala banyak-banyak untuk masuk syurga.

Kita hidup di dunia untuk mencari tenang jiwa dan bahagia. Apakah dengan membunuh itu jiwa kita akan tenang?

Apabila kita sudah menemukan jalan bahagia masing-masing, menerima dan memahami itu sudah memadai kerana segala yang berlaku itu ada hikmah dan ceritanya.

Mana mungkin kita mampu mengubah dunia yang penuh dengan cerita yang berwarna-warni ini ? Cerita dunia berjalan mengikut kehendak skrip, itu pun kalau kita punya nilai percaya yang tinggi akan fitrah dan kejadian. Dunia tidak pernah punya cita-cita dan impian melainkan kita, penghuninya.

Dunia menerima siapa kita seadanya, walau dia tidak pernah peduli siapa pun kita. Ia umpama pentas untuk kita melakonkan watak kita di dunia ini. Dan dunia ini memang tidak akan adil pada penghuninya kerana ia tak punya perasaan.

Yang punya masalah yang melibatkan hal tentang dunia dan permainannya adalah kita. Kita dikurniakan perasaan, segala jenis perasaan sama ada melibatkan suka atau mahupun duka.

Adakah dunia ini bersimpati dengan nasib penghuninya? Tidak sama sekali! Tsunami, Taufan Haiyan yang melanda Filipina suatu waktu dulu, dan segala apa bala atau musibah yang melanda dunia mahupun nasib kita, inilah kenyataan dan cerita sedih yang perlu kita hadap dan untuk kita mengakui, dunia ini sudah tua sebenarnya.

Dunia juga umpama batang tubuh kita. Sampai masa kita juga akan reput, cuma khayalan dan ilusi tentang dunia dan mimpinya ini yang masih melekakan kita sehingga menjadikan kita manusia yang penuh dengan nilai benci antara sesama kita.

Walaupun kita yang beragama ini kalau boleh tidak menggalakkan umat menjadi para sufi sejati, ascetic mahupun golongan sadhu yang sanggup melupakan cerita indah dunia melainkan misi mereka menyambut kedatangan 'mati' dengan lapang hati, nyata kitalah yang masih bergelut dan sedang berkeluh-kesah sambil sibuk menghitung segala amal untuk mendapatkan pahala dan dosa sebanyak mungkin.

Sedih sebenarnya cerita kita ini. Dunia menjadikan kita hidup dalam angan-angan yang tak berkesudahan. Tahap kefahaman kita dalam mengenal masih di peringkat asas dan kita masih mengulang dan mengingatkan perkara lama yang sama yang jelas sudah ada di ingatan.

Sedangkan apabila ingatan kita yang juga milik-Nya ini semakin lemah apabila sampai waktunya, kita pun secara fitrahnya gagal untuk mengingati segala apa yang telah kita lakukan di dunia ini. – 21 Januari, 2016.  

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments