Opinion

Kisah remaja OKU yang malang, kerenah birokrasi dan kita

Dalam diri kita terdapat pelbagai sifat, daripada yang terpuji sampailah kepada sifat terkeji. Manusia sesama manusia, kita hidup berserta sifat kebinatangan, keiblisan, kemanusiaan, ketuhanan, kemalaikatan dan dari segala macam sifat itu, inilah kita seadanya yang tidak pernah dan tidak akan sempurna sehingga mati.

Sifat-sifat yang pelbagai ini akan keluar melalui perlakuan kita, bergantung pada tahap tinggi dan rendahnya nilai tawaduk dan kasih sayang yang ada dalam diri kita dalam menilai hidup dan peradaban.

Segalanya bergantung pada diri kita sendiri. Semudahnya sifat kita akan menjadi seperti binatang, syaitan, malaikat mahupun Tuhan mengikut tahap kita dalam mengenal alam dan kehidupan ini.

Apabila membaca kisah Muhammad Firdaus Dullah, remaja Orang Kurang Upaya (OKU ) yang berusia 15 tahun, mengidap “Cerebral Palsy” diabaikan ibunya sendiri dan ditemui dalam keadaan sangat menyedihkan, tidak ada apa kata lagi yang mampu saya ucapkan.

Apabila nilai kemanusiaan itu sudah tidak punya makna lagi, nilai perasaan sudah menjadi tepu menjadi dendam, manusia akan hilang nilai kemanusiaan dan kasih-sayang yang ada dalam dirinya.

Cerebral Palsy adalah satu keadaan yang berlaku akibat kerosakan otak terjadi semasa dalam kandungan, semasa atau selepas kelahiran.

Kebolehan mengawal pergerakan otot yang terjejas menyebabkan kesukaran mengawal postur, pergerakan dan mengimbangkan diri.

Saban hari saya melihat panaroma dan drama manusia yang tekun melakonkan watak mereka. Tuhan tidak hanya mencipta yang cantik, malah yang hodoh juga untuk dihidangkan kepada kita. Tuhan tidak memberi yang sihat saja kepada kita. Diberinya juga yang sakit dan cacat untuk menguji kita.

Saya tidak mahu bercakap lebih daripada apa yang sepatutnya saya tahu tentang nasib remaja OKU itu dan kisah ibunya yang mengundang benci dan menyampah masyarakat akan sikapnya yang memperlakukan anak sedemikian rupa.

Tidak wajar juga kita menghukum ibunya secara berlebihan, kerana menjaga anak yang cacat tidaklah semudah digambarkan. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Salah seorang anak saya juga dilahirkan sebagai anak OKU yang mengidap “autisma” hyper. Hari ini Adam, anak saya itu sudah berumur 16 tahun dan semakin dia membesar, semakin besar dugaan yang kita perlu dihadapi.

Menjaga sensitiviti, emosi, persekitaran, frekuensi jiwanya yang tidak menentu memang menguji kesabaran kita sebagai ibu bapa. Setiap hari Adam terpaksa bergantung pada ubat penenang yang dibekalkan oleh pihak hospital.

Cuma saya melihat kurang nilai kasih seorang ibu dalam diri ibu kepada remaja OKU itu. Mungkin kerana kisah silamnya yang bersuamikan bapa si OKU itu, mungkin kerana melihat kekurangan pada diri si anak yang sangat membebankan jiwa dan raganya.

Kerana jika si ibu masih punya rasa kasih dan sayang terhadap anaknya walau secebis, anaknya itu tidak akan dibiarkan dalam keadaan daif dan menyedihkan seperti itu. Nilai kemanusiaan yang ada dalam dirinya sangat kurang.

Apatah mungkin juga kerenah birokrasi yang memungkinkan nasib keluarga itu yang gagal mendapat bantuan dan sokongan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Sehingga apabila kes ini mendapat liputan meluas daripada pihak media, termasuk respons perdana menteri kita, semuanya kelam kabut dan masing-masing mahu mengambil bahagian dan menjadi hero.

Inilah Malaysia, sebuah negara membangun yang segala-galanya hanya akan bermula daripada  “kosong” apabila ia sudah terjadi.

Saya sempat bertanya pendapat tentang isu ini dengan seorang kenalan yang juga merupakan Naib Pengerusi Pertubuhan Anak Cerebral Palsy, Mohamad Affandi Ramli.

Katanya, masyarakat memainkan peranan penting dalam menangani golongan OKU. Untuk menyalahkan ibunya 100% juga agak tidak adil kerana bukanlah mudah menjaga anak yang mengidap “Cerebral Palsy”.

Golongan OKU sebenarnya masih tersisih dan terpinggir daripada masyarakat. Saya sering melihat lagak dan sikap sombong dan angkuh seorang pemuda OKU berkerusi roda kerana fizikalnya yang cacat, di sekitar Pasar Seni pada penghujung tahun 80an dulu.

Kerjanya setiap hari memaki orang yang lalu lalang. Sering juga dia memaki Tuhan atas apa yang ditakdirkan untuknya. Bagi saya, apa saja yang mahu diluahkan walau apa bentuk sekalipun terhadap Tuhan, biarkanlah kerana bukankah pemuda itu juga asal kejadiannya sama seperti kita juga?

Saya tidak tahu apa jadi dengan pemuda OKU itu sekarang. Malang nasibnya kerana dilahirkan ke dunia sebagai insan cacat. Punya nafsu dan kehendak seperti insan normal. Kesannya diluahkan segala kemarahan dan kekurangan itu kepada alam, sekeliling dan Tuhan yang menciptanya.

Apabila kita melihat orang tua berjalan terbongkok-bongkok sambil bertongkat, atau mereka yang mengidap pelbagai penyakit kronik, sedarlah kita bahawa mereka juga termasuk dalam golongan OKU kerana hidup mereka perlu dibantu.

Kita juga apabila sampai masanya akan menyertai mereka, apabila usia mencecah senja, atau tersadai di katil pesakit dengan segala kekurangandd ari segi fizikal mahupun mental, sedarlah kita bahawa segala nikmat kehidupan ini hanyalah bersifat sementara. Maka tidak perlulah kita bermegah-megah dengan apa yang dimiliki sekarang.

Cepat atau lambat kita juga akan termasuk dalam golongan OKU. – 26 Jun, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments