Opinion

Kehendak hidup dan kematian

Esok ( 1 Januari 2016 ) kita akan menyambut tahun baru. Malam ini semua para warga tidak kira apa bangsa akan menyambut malam tahun baru. Suasananya tentulah meriah walau dalam keadaan ekonomi semasa yang tidak menentu, kita lupakan itu sejenak untuk meraikan malam tahun baru.

Apa azam kita untuk 2016? Semoga rezeki kita sentiasa murah dan kita mampu mengecap nikmat bahagia hidup di dunia dan akhirat? Atau apa sahaja yang terlintas di fikiran asal hasilnya yang indah belaka, begitulah...

2015 penuh dengan cerita besar dan kontroversi dan yang paling popular tentulah cerita politik yang mewarnai hidup dan lanskap ekonomi negara yang kita cintai ini.

Semakin ramai masyarakat tidak kira dari usia budak sampailah ke orang dewasa, kebanyakan mereka semakin minat dengan dunia politik sebab topik atau isunya sentiasa menarik walau hasilnya tidak menarik.

Dan yang paling penting setiap kesannya walau buruk atau baik akan melibatkan kita, rakyat Malaysia. “What we give, we get back”, dan inilah yang kita dapat hasilnya dari segala percaturan yang sedang mereka mainkan.

Kita tak tahu apa akan berlaku pada 2016 sebab kita belum ke sana lagi. Walau apa pun ceritanya, hidup perlu diteruskan.

Lupakanlah cerita politik sebab ianya tidak akan berkesudahan selagi kita hidup. Kembalilah kepada kenyataan hidup yang sedang kita jalani ini.

Untuk saya, yang paling penting adalah kesihatan dan tubuh badan yang sihat. Duit atau harta melimpah pun kalau badan sakit tak guna juga. Dengan badan yang sihat kita mampu berusaha untuk cari duit dan meneruskan kehidupan.

Adakah kita rakyat Malaysia mementingkan kesihatan? Saya tidak fikir begitu. Lihat sahaja di sekitar Lembah Kelang ini, di kebanyakan restoran mamak yang sentiasa penuh dengan para pengunjung yang ketagih teh tarik atau makanan goreng mamak, walau makanannya berminyak dan kurang berkhasiat, yang itulah yang kita selalu hadap.

Walau kita kata kita ini mementingkan kesihatan, pun itulah kedai mamak juga yang kita selalu kunjung untuk segelas teh tarik dan sekeping roti canai sekurang-kurangnya.

Kesannya yang akan datang kepada kita adalah penyakit. Ada kawan kita yang sihat tiba-tiba jatuh sakit, ada yang sudah meninggal dunia akibat penyakit kronik. Kita lihat berita di sana sini, setiap detik ada sahaja berita tentang kematian yang kita terima.

Betapa hidup kita ini nilainya begitu rapuh. Yang akhirnya yang akan datang kepada kita adalah kematian, yang semua kita akan merasainya.

Setiap kali saya mendengar berita tentang kematian, tidak kira samada saudara mara kita, atau siapa sahaja yang dekat dengan kita, setiap kali itulah kita akan berkata pada diri, kita juga akan mengalaminya nanti. Cepat atau lambat, mati itu akan tiba.

Dan setiap kali saya melihat mereka yang tidak bertangan, ada yang tidak berkaki, ada yang bisu dan pekak, ada yang cacat mentalnya, sedangkan kita ini masih sihat tubuh dan fikizal. Adakah kita bersyukur atas nikmat kesempurnaan yang bersifat sementara ini?

Bersifat sementara kerana lama kelamaan apa yang ada di setiap anggota badan kita ini lama-kelamaan akan hilang fungsinya. Mata, semakin berusia akan menjadi semakin kabur. Tangan, kalau dulu boleh mengangkat barang yang berat-berat, hari ini kita sudah tidak berupaya lagi kesan usia yang semakin meningkat.

Kaki kita kalau dulu boleh berjalan dan berlari semahu kita, hari ini jika kita menaiki tangga pun akan membuatkan kita mengah, begitulah perjalanan hidup kita sebagai manusia ini.

Waktu pula terasa semakin cepat ke hadapan. Tiba-tiba sahaja tahun baru muncul lagi seiring usia kita yang semakin meningkat.

Dan saya sentiasa percaya, Saat kita yang paling jujur adalah bila kita mengadap wajah kita sendiri di cermin. Waktu itu kita tidak akan menipu diri kita sendiri dan kita tidak punya apa kepentingan pun terhadap diri kita. Selainnya bila kita berhubung antara sesama, tidak banyak sikit tetap berkepentingan juga.

Menjadi seorang orang atau dijadikan kita sebagai seorang makhluk bernama manusia yang katanya paling istimewa di antara sekelian makhluk ciptaan yang lainnya, membuatkan kita ini manusia yang hadir ke dunia penuh dengan sifat-sifat baik dan buruk yang ada di dalam diri bergantung pada tahap nafsu yang terkandung di dalam fikiran dan kehendak duniawi kita ini.

Terbaik, untuk tahun baru 2016 yang akan kita tempuh, banyak lah merenung apa yang ada di dalam berbanding apa yang ada di luar. Di luar ceritanya sama sahaja bahkan tidak akan berkesudahan. Di dalam, sekurang-kurangnya kita akan merasai nikmat “bahagia” yang sebenarnya.

Selamat Menyambut Tahun Baru 2016. – 31 Disember, 2015.

 * Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments