Opinion

Jenaka dan kehidupan

Pelawak terkenal tanah air, Yussry Edoo, 39, baru saja meninggalkan kita, kembali menemui pencipta pada 30 November lalu akibat sesak nafas. Yussry atau nama popularnya Yus Jambu atau Yus Raja Lawak antara pelawak generasi baharu yang sangat berbakat.

Apa pun cepat atau lambat, mati itu akan tetap datang kepada kita juga. Seperti arwah, cara matinya mudah, orang pun ramai yang datang menziarahi, semoga ditempatkan di kalangan orang beriman.

Saya mengikut perkembangan karier arwah sejak zaman Raja Lawak pada 2007 dulu di mana arwah berjaya menjadi juara waktu itu. Sangat menarik juga apabila arwah berpasangan dengan pelawak Towkey dalam kumpulan Jambu. Itu bagi saya chemistry paling menjadi antara arwah dan Towkey.

Saya suka menonton persembahan kumpulan Jambu di awal-awal penyertaan mereka beberapa tahun lalu. Waktu itu mereka hadir penuh dengan idea menarik dan memang kelakar tidak seperti hari ini. Zizan pula nyata belum ada 'chemistry' dengan mereka sewaktu program Maharaja Lawak Mega yang mereka sertai bertiga pada tahun lepas.

Dalam tempoh beberapa tahun ini, 3 pelawak yang bagi saya gifted atau punya bakat semula jadi sebagai pelawak kembali ke rahmatullah. Din Beramboi, Harun Salim Bachik dan yang terbaru Yus. Yus dan Din bagi saya pelawak yang punya bakat semula jadi. Tapi itulah, bak kata pujangga, “Only the good die young”.

Jika ada program melibatkan arwah atau Jambu dan kebetulan saya ada di depan kaca TV, saya akan tonton, kerana di samping kita dapat merehatkan minda dapat juga kita gelak ketawa dengan jenaka yang mereka persembahkan.

Bukan mudah buat orang ketawa. Hari ini program lawak sama popularnya dengan program hiburan yang lainnya. Tidak hairanlah para pelawak generasi hari ini mampu hidup mewah dengan hasil melawak.

Ramai pelawak kita hari ini mampu hidup mewah. Banyak program lawak yang diterbitkan lantaran banyak penaja sanggup menaja. Di penghujungnya tetap bermotifkan perniagaan.

Era terbaik lawak jenaka bagi saya sewaktu zaman AR Jaafar, Yahya Sulung dan Badul pada 1970-an dan 1980-an dulu. Memang lawak mereka itu boleh diklasifikasikan sebagai lawak bodoh, tapi lawak itu perlu ada elemen bodoh sebenarnya.

Seperti AR Jaafar dan Yahya Sulung, kita tengok muka mereka saja walaupun tanpa lawak jenaka, kita sudah merasa kelakar. Seperti arwah Yahya Sulung yang saya kenal sewaktu bekerja di Yamaha Music dulu, arwah seorang pemuzik dan pemain dram untuk genre jazz yang sangat berbakat.

Arwah dan kumpulan muziknya sering mengadakan latihan di tempat saya bekerja waktu itu. jadi ada masa sempat saya berbual dengan arwah, di luar wataknya serius.

Seperti kita tengok program Mr Bean, lawak dan ideanya bodoh belaka dan tidak masuk akal, tapi satu yang pasti, kita boleh kata juga, 'macam bodoh tapi cerdik juga'.

Menghiburkan orang walau dalam apa genre termasuklah melalui jenaka, tetap merupakan satu cabang ibadah juga. Cuma nawaitu kita perlu betul untuk setiap tujuan itu.

Hari ini kita tidak perlu memilih apa pekerjaan yang perlu kita lakukan untuk meneruskan kehidupan. Apatah jika kita ini terlalu bergantung dengan kepandaian kita dalam dunia akademik saja, maknanya kita akan ketinggalan.

Apa saja yang boleh mendatangkan hasil, perlu ada kemahuan dan inisiatif dalam dunia yang sangat kompetitif hari ini.

Apatah pendapatan mereka sebagai pelawak pada zaman ini mampu menjangkau RM50,000 sebulan. Kita kerja sebulan gaji mungkin berpendapatan sekitar RM5,000 sebulan saja.

Untuk apa saja tujuan dan niat, perlu ada keberanian ke arah itu. Mungkin kita akan gagal untuk kali pertama, kedua juga ketiga, siapa tahu akan ada juga bahagian untuk kita akhirnya?

Seperti arwah Yus, kerjayanya bermula sewaktu program Sinaran Passport Kegemilangan, beberapa tahun sebelum program Raja Lawak 2007 yang disertainya. Namun waktu itu arwah gagal namun tidak berputus asa untuk terus mencuba.

Jenaka hiburan nombor satu di Malaysia hari ini. Dalam politik ada jenaka, agama pun begitu juga, dalam ceramah kalau nak popular penceramah perlulah kelakar orangnya, tidak seperti era Ismail Khamus atau Ghazali Hasbullah dulu.

Dalam kehidupan kita pun perlulah ada jenaka, kalau tidak hidup kita akan terasa sepi. Cuma tidak perlulah berlebih-lebihan. Segalanya perlu seimbang. – 3 Disember, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments