Opinion

Hidup tanpa masalah pun masalah juga

Perjalanan hidup kita ini memang kadang-kadang penuh dengan teka-teki dan misteri. Kita tidak tahu apa akan jadi di masa akan datang walau sedetik ke depan. Kita hanya mampu melangkah berbekalkan siapa kita bergantung kepada kefahaman 'siapa kita' di waktu itu.

Ada yang di pertengahan jalan takdir menentukan mereka tersadai dan tidak mampu meneruskan hidup kerana dilanda penyakit kronik sehingga ke akhir hayat. Ada yang kalah dalam hidup yang mereka tangani kerana gagal dalam percaturan hidup kerana tersilap mentafsirkan makna keseronokan dan kenikmatan dunia.

Ada yang mencari masalah dalam hidup kerana betapa kosongnya hidup mereka lantaran tidak punya masalah. Tidak ada masalah pun mampu memberikan masalah kepada kita juga sebenarnya.

Seorang kenalan saya hidupnya tidak punya masalah kerana dilahirkan ke dunia sebagai orang yang berduit, anak orang kaya.

Apabila apa saja yang melibatkan materi itu bukanlah satu masalah sehingga menjadikan hidup ini subjek yang membosankan, dia akan mencari masalah dengan masuk ke dalam dunia kejiwaan yang lebih mencabar permainannya.

Hasilnya terbentuklah pelbagai pergolakan dalam jiwanya sendiri sehingga mengakibatkan dia sendiri terbelenggu tinggal di dalam dunia yang dikarang dan gagal keluar ke dunia nyata yang lebih realistik sifatnya.

Kita yang melalui hidup sebagai orang biasa, masalah utama dalam kehidupan ini tentunya duit. Kalau ada duit yang mencukupi malah jika berlebihan, apa saja yang ada di dunia ini mampu kita miliki.

Memang duit tidak boleh bawa ke mati. Masalahnya selagi hidup di dunia, tanpa duit yang mencukupi sangat sukar untuk kita meneruskan kehidupan dengan kos sara hidup yang tinggi hari ini.

Memang duit juga tidak mampu beli segalanya, tapi biasanya segalanya mampu dilakukan dengan duit kerana selagi bernama manusia, fitrah biasanya adalah kehendak yang datang daripada kemahuan fikiran itu sendiri.

Kehendak akal dan fikiran biasanya bertunjangkan nafsu dan jika naik taraf lagi akan menjadi tamak dan haloba sehinggalah dunia ini kita rasakan menjadi milik kita sepenuhnya.

Jadi itu akan membuatkan kita menjadi seorang manusia yang punya cita-cita. Cita-cita untuk berjaya dan mencapai impian hidup menjadi orang yang berjaya dan kaya contohnya.

Itulah kepayahannya dan itulah yang menariknya. Hidup dan cabaran adalah takdir yang berbicara dan positifnya ia akan sentiasa mengingatkan kita hidup ini tidaklah semudah A, B atau C.

Kita melihat sekawan babi menjalani hidup mereka dengan bahagia tanpa bercakar sesama sendiri, tidak seperti kita yang katanya insan sempurna ini mungkin lebih hina dari babi itu kerana hidup dikawal nafsu dan tamak haloba semata.

Binatang babi adalah lambang yang hodoh dan hina kerana bentuk dan sifat fizikal mereka yang sudah ditakdirkan begitu. Itu sebab semua makhluk yang dicipta, tidak mahu dilahirkan ke dunia menjadi makhluk yang terpilih dan paling mulia melainkan kita, manusia.

Sebabnya menjadi manusia bukanlah satu tugas yang mudah. Beban dan amanah yang ditanggung akan menjadikan terbentuknya sifat kita sebagai seorang manusia, binatang, hantu mahupun Tuhan.

Sifat manusia yang paling lumrah ialah tidak pernah mensyukuri apa yang dimiliki. Maka itu tidak hairanlah kalau kita dapat banyak ini, kita hendak lebih lagi. Sehinggalah ke akhir hayat kehendak kita itu tidak akan berakhir melainkan kita faham apa itu kehidupan dan apa itu pinjaman.

Seorang kawan saya bercerita tentang kawannya yang bijak dan genius sehingga berjaya dalam kerjaya dan kehidupan walau di zaman sekolahnya sangat jarang mentelaah dan membaca buku, melainkan hanya fokus di kelas atau kuliah.

Selain itu, sebahagian besar masanya dihabiskan di kolam renang. Dia akan berenang pagi, petang siang dan malam. Pun masih mendapat keputusan yang sangat baik di dalam peperiksaan.

Kejayaan dalam akademik membolehkannya mendapat pekerjaan yang baik dan menjamin masa depan dengan gaji lumayan di sebuah syarikat gergasi di tanah air, itulah yang dilaluinya detik demi detik.

Akhirnya segala kejayaan dalam hidup mula memberikan nilai kebosanan yang tidak tertahankan lagi sehingga mengambil keputusan untuk berhenti daripada kerjaya professional dan membuka kolam ikan air tawar di kampungnya dan terus menetap di kampung sehinggalah ke hari ini.

Bekerja di bidang profesional dengan gaji yang lumayan dan bekerja sendiri dengan membuka kolam ikan air tawar di kampung adalah dua kerjaya yang berbeza, daripada segi pendapatan mahupun kepuasan.

Bekerja di bawah sebuah syarikat walau dengan gaji yang lumayan belum tentu memberi nilai bahagia yang kita mahukan. Duit memang penting, tetapi duit juga belum tentu dapat membeli nilai bahagia yang kita impikan.

Masalah bekerja di syarikat besar yang pada asalnya menjadi satu kebanggaan kepada kawan kepada kawan saya itu akhirnya menjadi satu masalah kepadanya pula.

Akhirnya dia mendapat kebahagiaan yang sebenarnya dengan bekerja sendiri walau hanya tinggal di kampung, walau pendapatannya tidaklah selumayan atau seglamour sewaktu berada di kemuncak kariernya dulu.

Masalah adalah hal dan dunia, tanpanya kita akan sepi dan beku. – 9 Oktober, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments