Opinion

Hidup ini hampas, mati itu nyata

Akan datang harinya apabila hidup kita ini akan menjadi terlalu sunyi seakan kita sedang berada di antara lingkungan ribuan cakerawala, di mana kulit dan isi kita pun sudah tidak senada dan seirama lagi. Di mana jarak pandang kita pun semakin pudar dan di mana segala anggota badan kita sudah pun jatuh dan layu.

Di waktu itu kita sudah tidak punya siapa-siapa lagi melainkan diri sendiri. Roh kita di saat itu hanya menunggu masa dan ketika keluar dari jasad untuk kembali kepangkuan Pencipta.

Kita melihat, namun pandangan kita kosong. Kita mendengar, namun yang berlegar di pendengaran kita hanyalah suara gaung yang seakan memanggil dan mengingatkan kita akan janji sejak sekian lama dulu.

Di mana yang kita pandang hanyalah diri atau roh kita semata, semakin dekat dan nyata. Ia akan menggamit sehinggalah kita maju ke sisinya, menyatu dan tinggallah cerita dunia yang penuh dengan hampas ini.

Apa yang tinggal di waktu itu hanyalah sisa-sisa semangat yang masih berbaki dan yang terbaik. Di waktu itu, kosongkanlah minda kita untuk persediaan pulang kepangkuanNya.

Ini kenyataan, semua kita tanpa mengira apa bangsa pun akan melaluinya, sama ada kita suka atau tidak.

Subjek kematian adalah tentang kita dan semua kita akan menempuhnya, itu fitrah alam dan kejadian, juga keajaiban yang penuh misteri. Kita tunggu dia datang, tak tunggu pun dia datang juga.

Sebagai manusia yang takut akan mati, kita juga punya keyakinan berpandukan nilai percaya kita pada ajaran atau aliran kefahaman yang kita anuti, pun di penghujung ia hanyalah sekadar setinggi mana tahap kepercayaan kita, itu sahaja.

Adakah di penghujungnya kita akan kembali suci seperti bayi sebagaimana lahirnya kita yang suci tanpa dosa itu? Dewasa penuh dengan dosa dan silap, lantas mencuba melepaskan segala daki yang melekat di jiwa, mampukah kita melakukannya?

Kembali menjenguk ke belakang, kita dizahirkan atas rasa ihsan yang empunya cerita, melengkapkan skrip cerita yang sudah pun direncanakan sejak azali lagi.

Buka mata, terbukalah hijab untuk kita melihat dunia dan jadilah kita para pendosa yang belajar dan dewasa dengan kehendak dan kemahuan seorang makhluk yang bernama manusia ini.
Sedih sebenarnya cerita kita ini, itu sebab kita menangis sebaik terbuka sahaja mata melihat dunia.

Dunia ceritanya seperti yang kita sedia maklum, seperti 70% bumi yang dikelilingi air, begitu jugalah dengan cerita kita, 70% adalah tentang kesedihan dan kemuncaknya adalah kematian.

Hampa membuatkan kita duka, gembira membuatkan kita suka, begitulah... segalanya di fikiran kita yan sentiasa mahu itu ini sesuai dengan kehendak kita sebagai manusia.

Membesar sebagai manusia menjadikan kita para insan yang membesar dengan nafsu dan nafsi, kecualilah jika kita ini gila, autis atau jika kita ini terdiri daripada golongan orang kurang upaya, maka kuranglah dosa mereka disebabkan nilai kekurangan yang ada pada sifat fizikal mahupun mental mereka.

Semakin dewasa, kita semakin rakus menilai Tuhan dalam konteks yang penuh dengan materi dan angan-angan. Maka itu, tidak hairanlah kita semakin bertuhankan ringgit, kemegahan dan kuasa. Semakin hanyut kita dengan cerita indah dunia, semakin payahlah kita kembali kepadaNya dek buta menilai makna cinta dan kasih-sayang.

Di mana ada kuasa, di situlah kita berada, tidak kira dalam agama mahu pun politik. Ini kerana kita sudah faham tentang apa mahunya permainan manusiawi itu.

Memanupilasi adalah perkara yang paling mudah untuk kita lakukan kerana kita di sini untuk ringgit dan kuasa.

Kita tidak sukakan atau kisahkan tentang subjek yang paling penting, yakni roh kita sendiri. masing-masing kita memilikinya. Roh ceritanya adalah tentang kekosongan dan kebahagiaan. Roh bukan materi atau angan-angan.

Kita punya dua pilihan sebenarnya, menunggu saat di penghujung usia untuk mengenal diri atau sewaktu kita sihat segalanya termasuk segala pancaindera kita yang masih berfungsi ini.

Adalah suatu yang sangat malang jika umur sudah menjangkau setengah abad namun kita masih terkial-kial mencari makna kehidupan dari sudut yang hakiki ini.

Adalah malang juga kita masih memuja yang di luar dari yang di dalam. Jenguk-jenguklah selalu yang di dalam yang sentiasa setia bersama nafas kita yang turun dan naik ini.

Ini bukan cerita tentang apa yang nampak di mata atau mulut yang manis berbicara, ini tentang kenyataan hidup untuk ubat tenang jiwa. Kita perlu kembali kepadanya dalam jiwa yang tenang.

Selamat menyambut Ramadan yang berkat. – 18 Jun, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments