Opinion

Glen Frey, Eagles dan Hotel California

Dalam waktu yang terdekat ini, beberapa nama penting dalam industri muzik yang bertaraf lagenda meninggal dunia. Lemmy vokalis dan pemain bass kumpulan Motorhead, mati pada 18 Disember 2015 di usia 70 tahun, David Bowie mati pada 10 Januari yang lepas di usia 69 tahun dan yang terbaru Glen Frey, antara pengasas kumpulan Eagles selain Don Henley.

Tiga nama ini penting bagi saya dan peminat muzik. Pertamanya saya membesar dengan lagu-lagu mereka dan 3 nama ini cukup besar dalam dunia muzik industri. Mereka berkarya puluhan tahun lamanya, merangkak mencipta nama sehinggalah dikenali diseluruh dunia.

Glen Frey baru sahaja meninggal dunia pada 18 Januari yang lalu dalam usia 67 tahun kesan derita sakit radang sendi yang dihidapnya sejak 2000. Beliau juga berjaya sebagai artis solo selepas berpecahnya Eagles pada tahun 1980. Antara lagu-lagu hitnya di awal tahun 80-an dulu seperti The One You Love dan The Heat Is On.

Bercakap tentang Eagles, tentulah yang bermain dalam fikiran kita tentang lagu hit mereka, Hotel California. Padahal banyak lagi lagu Eagles yang sangat bagus hasil karangan Glen Frey dan Henley seperti lagu Desperado, Take it Easy, New Kid in Town, Peaceful Easy Feeling, Lyin Eyes antaranya.

Siapa yang tak kenal Eagles, antara kumpulan muzik paling sukses di dunia dengan jumlah jualan album sehingga lebih 150 juta di seluruh dunia terutamanya untuk album Hotel California mereka yang diterbitkan pada Disember 1976 terjual sebanyak 32 juta unit di seluruh dunia.

Keistimewaan Eagles sebagai sebuah kumpulan adalah dari segi himpunan lagu yang berkualiti, paduan suara yang mana setiap anggota kumpulan ini selain Frey dan Henley, Joe Walsh dan Timothy juga boleh menyanyi dengan baik.

Kalau kita pemuzik, kalau boleh kita tak nak lagi nyanyi lagu Hotel California, tapi itulah...hakikatnya setiap hari saya akan nyanyikan lagu ini sewaktu busking atau bermain untuk majlis keramaian.

Tanya mana-mana pemuzik, kalau mereka tak tahu lagu Hotel California maknanya mereka masih baru dalam bidang muzik dan persembahan.

Mengapa Hotel California menjadi lagu yang sangat popular dan masih relevan sehingga ke hari ini? Saya mula mendengar lagu ini pada tahun 1978 sewaktu di kampung. Waktu itu saya selalu dengar radio siaran bahasa Inggeris.

Di pekan Bruas, tempat tinggal saya terdapat sebuah radio gram milik towkey kedai mi kari. Jadi saban hari dengan hanya masukkan 20 sen, kita akan putarkan lagu-lagu hit Inggeris yang popular waktu itu seperti lagu Hotel, Temple of the King, Black Magic Woman, Stairway to Heaven, lagu-lagu Scorpions, Boney M dan banyak lagi.

Lagu Hotel California ini istimewa dari segi melodi, lirik mahupun susunan muziknya terutama di bahagian penghujung yang dipenuhi dengan solo gitar dari Don Felder dan Joe Walsh yang sangat menarik.

Ramai kawan saya yang beragama Kristian tidak menyukai lagu ini kerana unsur satanic yang terdapat dalam bait-bait liriknya, mengikut pandangan merekalah.

Liriknya bagi saya sangat menarik dan subjektif. Maknanya cerita dan kefahamannya mengikut cara faham kitalah. Kalau kita kata lagu ini pasal syaitan, syaitanlah. Kalau pasal kehidupan, kehidupanlah.

Cuma lirik yang bijak dan popular biasanya berbelit-belit dan penuh misteri. Menariknya ini bukan lagu cinta atau lagu tentang asmaradana seperti lagu Wonderful Tonight. Liriknya ‘heavy’ dan penuh elemen misteri di dalamnya.

Tanpa Glen Frey Eagles masih ada Don Henley, Timothy dan Joe Walsh. Terutamanya Don Henley, vokalis utama Eagles. Motorhead tanpa Lemmy habislah sebab beliau ibarat nyawa untuk kumpulan ini.

Muzik mampu menjadikan kita kaya raya jika pasaran kita ‘worldwide’. Begitulah yang berlaku pada Eagles. Hanya dengan lagu Hotel California, konsert mereka di serata dunia ‘sold-out’ dan setiap ahli mereka mampu hidup senang hasil seni muzik mereka terutamanya Don Henley dan Glen Frey.

Agak-agak duit mereka dah kurang, mereka reunion semula pada 1993 dan meletup lagi dengan lagu Hotel California versi unplugged pula.

Kumpulan muzik kita belum sampai ke tahap itu. Isabella tidak mampu menjadikan Search kaya raya dengan lagu itu. Suci Dalam Debu juga tidak menjadikan Iklim senang lenang dengan lagu itu.

Banyak sebabnya. Salah satu sebabnya masalah cetak rompak. Ke-2 nya kebanyakan lagu lirik yang meletup bukan ciptaan kumpulan muzik atau ahli kumpulan tersebut melainkan ciptaan komposer popular. Maknanya yang banyak makan hasil royalti adalah komposer dan penulis lirik.

Ke-3 nya sebab masyarakat hanya suka pada lagu ‘killer song’. Jadi mereka hanya dengar lagu itu di radio sahaja. Untuk beli satu album, mereka lebih suka beli yang cetak rompak kerana harganya murah.

Jadi kesimpulannya, seni muzik kita hanya di tahap gitu-gitulah sampai ke sudah. – 28 Januari, 2016.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments