Opinion

Gitar, bakat dan keseronokan

Memupuk minat bermain gitar perlu bermula sejak kecil.Memupuk minat bermain gitar perlu bermula sejak kecil.Baru-baru ini saya berbual dengan seorang lelaki umur 50an saya kira, singgah bercuti di Kuala Lumpur untuk beberapa waktu dan sebelum pulang ke Sabah, dia sempat singgah dan melayan lagu-lagu yang saya dendangkan.

Lelaki ini, yang punya 3 orang anak lelaki, menyatakan kekecewaan kerana anak-anaknya tidak punya minat untuk belajar muzik terutamanya gitar.

Saya katakan kepada lelaki ini, tidak ada apa yang mampu kita lakukan jika mereka tidak punya minat. Anak-anak kita hari ini bukan seperti di zaman kita di tahun 70an dan 80an dulu, zaman belum ada Internet.

Hari ini di zaman yang serba maju, anak-anak lebih leka membelek handphone pintar, main game dan menonton siaran Astro. Dulu zaman kita dulu cuma ada dua siaran sahaja, TV1 dan TV2. Kedua-duanya siaran RTM dan siarannya hitam putih sebab zaman TV warna belum ada lagi di tahun 70an dulu.

Ini membuatkan kita akan lebih fokus dengan apa yang kita minat. Kalau kita minat main gitar, kita akan fokus, begitu juga jika kita minat bersukan, kita akan fokus.

Salah seorang anak saya punya bakat dalam bermain gitar tetapi minatnya tidaklah sama seperti dia bermain ‘game’. Nak suruh anak saya itu praktis, dia memang praktislah tapi dengan cara dan gaya dia. Kita tahu dia tidak bersungguh-sungguh.

Saya berikan anak saya itu salah satu gitar milik saya, harap-harap dia akan punya inisiatif untuk maju dalam dunia gitar seperti saya lakukan 30 tahun dulu.

Gitar tong atau gitar akustik pertama yang saya guna adalah gitar tong buruk yang sudah dibuang ke tempat pembuangan sampah, 32 tahun lalu. Gitar itu milik kawan saya. Dia pun tak pandai main gitar, saya pun begitu juga. Jadi saya ambil gitar yang sudah dibuangnya itu dalam kondisi kurang sempurna.

Saya akui saya gila muzik. Saya juga gila main gitar, bukan untuk jadi hebat bergitar tapi untuk menjadikan instrumen itu sebati dengan diri, kita perlu memberi perhatian lebih untuk mendapatkan hasil terbaik.

Apabila kita belajar main gitar, tidak semestinya punya cita-cita menjadi gitar hero. Seperti saya, lebih fokus pada song-writing, akustik, finger picking dan strumming yang menarik.

Hasilnya pula bukan datang dalam setahun dua. Ia proses yang tidak berpenghujung. Kita lihat semua gitaris handal dunia seperti Steve Vai, Satriani, Malmsteen, Eddie Van Halen, mereka ini semuanya praktis selama belasan jam sehari.

Saya orang lama, tidak pandai dan tak minat main game. Benda itu memang menarik kerana daya tarikan dunia teknologi dan IT hari ini. Tapi endingnya hanyalah keseronokan semata, tidak nampak hasilnya.

Berbeza jika kita belajar main gitar, melukis atau bersukan. Siapa tahu kita akan jadi pemain gitar yang bagus seperti Paco De lucia, atau menjadi pelukis terkenal seperti Picasso atau hebat bermain bola seperti Lionel Messi mahupun Zlatan Ibrahimovic.

Bakat itu satu hal. Bakat sahaja tapi kalau malas praktis, tidak akan mendatangkan apa-apa hasil. Praktis pula kalau kita praktis setakat 1 jam, kita akan dapatlah hasilnya untuk 1 jam kita praktis. Hasilnya gitu-gitulah.

Untuk jadi bagus, kita perlu minat gila. Minat sahaja tidak mencukupi. Kita perlu ada ‘gila’ dengan apa yang kita minat. Semua mereka yang hebat, tidak kiralah sama ada gitaris, pelukis mahupun ahli sukan, mereka akan praktis semaksimum yang mampu, sebab hanya itu jalannya untuk menjadi terbaik.

Saya pernah punya anak murid yang belajar gitar, di kalangan rakyat marhaen. Dua orang remaja berumur 12 dan 14 tahun. Mereka ini saya lihat ada gaya dan kesungguhan menjadi bagus seperti saya lalui sewaktu zaman sekolah dulu.

Mereka hanya sempat belajar selama sebulan sahaja dengan saya. Sebenarnya saya tak sampai hati sebab mereka yang belajar gitar biasanya daripada golongan berkemampuan.

Memanglah bapa mereka golongan ‘working class’ tidak kisah akan jumlah yuran yang perlu dibayar, tapi bagi saya duit yuran sebanyak RM150 itu elok digunakan untuk benda lebih bermanfaat sebab kos sara hidup hari ini semakin meningkat.

Saya lihat mereka punya potensi dan saya lepaskan untuk belajar seperti yang saya lalui dulu. Jamming dengan kawan-kawan di tepi tembok, tidak malu bertanya dengan mereka yang lebih pandai daripada kita.

Baru-baru ini bekas anak murid saya itu datang dan dengan bangganya memberitahu pencapaiannya dalam permainan gitar. Saya tumpang bangga dengan pencapaiannya itu. Saya harap mereka mampu menjadikan muzik sebagai sumber mencari makan.

Sehingga ke hari ini saya tidak berapa suka dengan tabiat anak-anak saya yang gila dengan permainan video game walau saya cuba memahami dunia dan keseronokan mereka.

Sebab? Benda itu tidak akan mendatangkan hasil melainkan keseronokan semata. – 13 November, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments