Opinion

Di mana ada bahagia, di situ kita berada

Kebahagiaan ada di mana-mana. Apa saja yang kita lakukan, jika itu yang membahagiakan, lakukanlah. Di mana ada bahagia, di situ kita berada.

Definisi bahagia juga berbeza mengikut tahap kefahaman kita dalam mengenal Tuhan dan alam ini. Ada yang menganggap memuaskan nafsu dan kehendak dunia itu juga definisi bahagia. Kenyataannya otak kita akan penat menghitung mimpi indah dunia apabila sampai waktunya.

Bahagia nikmat yang paling tinggi dan adil untuk semua kita umat manusia. Ia bukan materi atau kebendaan. Bahagia ada dalam jiwa kita. Orang kaya pun belum tentu dapat mengecap nikmat bahagia walau mereka mampu beli segala yang ada di dunia ini.

Sewaktu saya sedang menjamu selera di sederetan kedai makan orang Melayu di Brickfields, saya melihat seorang lelaki berumur 30-an saya kira, berbasikal dan membawa penyapu. Mungkin dia bekerja sebagai tukang sapu di kota ini.

Namun di wajahnya sentiasa terpancar senyuman sewaktu dia singgah di warung untuk membungkus makanan sebelum berlalu pergi. Sudah tentu dia bahagia dengan pekerjaannya, itu yang paling penting.

Dengan jumlah wang gaji sebagai tukang sapu yang tidaklah sebanyak mana, pun mampu membuatkan dia tersenyum dan mengecap nikmat bahagia.

Dulu sewaktu saya bekerja di Yamaha Music, tahun-tahun awal saya seronok dan bahagia dengan kerja saya waktu itu. Punya bos dan rakan sekerja yang memahami buatkan suasana menjadi tenang, damai dan ceria selalu.

Walaupun setiap minggu ada mesyuarat yang menyakitkan kepala, saya menganggap itu sebahagian dari skrip yang masih dalam sangkar bahagia yang perlu kita hadap. Kita gaulkan segalanya untuk mendapatkan makna itu.

Apabila saya ditempatkan di hujung dunia semasa tahun-tahun akhir saya , apabila bos dan rakan sekerja semuanya sudah berhenti dari Yamaha, itu membuatkan saya merasa kebahagiaan sudah tidak ada lagi di situ. Saban hari saya sering mencipta sakit dan selalu mencari alasan untuk ke klinik dan mengambil cuti sakit, walaupun saya tidak sakit.

Akhirnya saya tinggalkan Yamaha kerana sudah tidak ada kebahagiaan lagi di situ. Lama juga saya berkhidmat di Yamaha, 8 tahun jarak masa yang agak panjang.

Saya mencintai dunia busking, mencuba menjadi busker sepenuh masa. Walaupun duit di poket kurang tidak seperti sebelumnya, saya dapat kebahagiaan saya di situ.

Menggauli dunia jalanan yang penuh liku membuatkan definisi bahagia itu sentiasa bercampur-campur, kerana kita waktu itu sudah tidak punya pilihan lagi. Apa erti bahagia jika kita tidak mampu bayar sewa rumah, duit kereta dan segala keperluan keluarga waktu itu?

Saya bahagia hidup sebagai seorang busker waktu itu, tetapi pendapatan agak kurang tidak seperti hari ini. Itu menjadikan saya agak tertekan kerana saban hari terpaksa bergelut dengan nasib dan takdir.

Peluang dan ruang juga belum lagi terbuka untuk semua bidang yang saya minat. Hendak mengajar gitar, pelajar belum ramai lagi, hanya seorang dua. Hendak menulis pula tidak punya ruang dan peluang, hendak busking pula terpaksa berebut tempat kalau di Pasar Seni.

Apatah jika hari hujan, kita mungkin pulang tanpa sebarang hasil. Ia proses yang panjang dan mendewasakan kita. Akhirnya saya mendapat peluang dan ruang seperti yang saya kecapi hari ini.

Kehidupan ini walau siapa pun kita, akan tetap berlaku adil kepada kita. Kita hanya perlu tekun dengan apa yang kita lakukan di dunia ini. Seperti si tukang sapu, dia juga mampu mengecap nikmat bahagia dengan wataknya di dunia ini sebagai tukang sapu.

Saya suka melihat mereka, kawan-kawan saya yang sudah berumah tangga melayan anak dan keluarga mereka. Bagi saya anak nikmat kebahagiaan yang paling nyata jika kita faham dan menghargai nikmat pemberian ilahi yang paling agung ini.

Kita pengembara di dunia ini. kita mengembara dan akan singgah di setiap persinggahan sepanjang perjalanan kita untuk menghirup nikmat bahagia bergantung pada tahap faham kita waktu itu.

Mungkin saja kita gagal dan kalah, namun selagi jalan masih terbentang, selagi semangat masih menyala, kita masih akan terus berjalan untuk mencari makna bahagia yang hakiki itu. – 4 Februari, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments