Opinion

Dalam gelap ada terang, dalam terang ada gelap

Saya percaya perkara terbaik yang jika kita mampu capai di dunia ini adalah kesejahteraan jiwa atau tenang jiwa. Kita lihat si tukang sapu pun boleh mendapatkan tenang jiwa walau hidup dalam serba kekurangan. Tuhan adil untuk semua makhlukNya.

Mengenal pada yang hakikat itu lebih adil dan saksama, kerana kita tidak akan tertipu dengan indahnya tipu daya, rupa, dunia dan ceritanya.

Cuma tenang jiwa itu bagi saya tidak bersangkut paut dengan berapa banyaknya pahala yang kita angan atau berapa banyak dosa yang dilakukan. Bukankah ketakutan atau was-was itu akan menjarakkan lagi perhubungan kasih sayang kita dengan Tuhan?

Tahap ikhlas kita dengan Tuhan itu perlu jelas, tidak berbelit-belit dan punya agenda. Bukankah Dia lebih tahu apa yang terkandung di halaman batin kita?

Siapa saja boleh mendapatkannya jika sudah itu kehendakNya. Yang pasti ia bukan terletak pada imej atau kata-kata daripada mulut yang penuh dengan puja dan puji. Ia adalah semata-mata kerana Dia semata.

Saya tidak melihat atau menilai manusia itu pada luarannya. Biasanya kita mampu menilai tahap ikhlas manusia melalui hanya sekilas pandangan cuma.

Saya tidak menafikan apa yang termaktub dalam hukum agama, bahkan untuk mana-mana agama sekalipun. Semua agama mengajak umatnya menjadi orang baik.

Cuma praktikalnya adalah bagaimana kita melihat kehidupan ini. Bagaimana kita melihat sesama manusia yang pelbagai sifatnya ini. Kitalah khalifah terpilih, teristimewa di kalangan semua mahluk yang dijadikan. Jadi ujian utamanya adalah kita dan kehidupan yang sedang dilalui ini.

Kalau kita melakukan seperti apa yang disuruh agama, melakukan ibadat melalui tertib dan caranya, jika nilai pandang kita terhadap sesama kita juga kehidupan ini masih lemah, bahkan makin menutup hati menjadikan kita makhluk yang penuh dengan hasad dan haloba, nyatalah perhubungan kita dengan Tuhan itu hanyalah perhubungan tidak kesampaian melainkan hanyalah lakonan semata.

Saya percaya perhubungan yang direstu itu jawapannya ada di induk jiwa. Jika jiwa tenang dan bersih, walau siapapun, kita adalah pemenang. Jika jiwa penuh dengan hasad dan daki dunia, walau siapapun, kita adalah di kalangan mereka yang kalah.

Bagaimana mendapatkannya itu terpulanglah kepada kefahaman individu itu sendiri dalam mentafsirkan makna alam dan Tuhan.

Ada orang apabila semakin berusia, mereka mula melebihkan amal ibadat untuk mendapat pahala sebanyak-banyaknya untuk bekalan akhirat. Itu kita kata cara yang konvensional dalam menuju Tuhan.

Ada orang pula memilih cara tidak konvensional dalam kehidupan mereka, pun dalam menuju Tuhan juga. Konvensional mahupun tidak, semuanya menghala ke situ juga.

Saya kenal seorang kawan pada awal 2000 dulu di Pasar Seni. Kawan saya ini waktu itu berumur dalam lingkungan 40an mengidap penyakit kanser tahap 4 dan doktor hanya memberi harapan kepadanya selama 9 bulan untuk terus hidup dan bernyawa.

Jika kita hanya diberi tempoh selama 9 bulan untuk hidup, apa yang kita akan lakukan?

Mungkin kita akan menghabiskan saki baki hidup yang hanya tinggal 9 bulan itu dengan beribadat di masjid. Kita sangat berkira-kira tentang amal waktu itu kerana di otak kita akan berfikir, cukupkah amal ibadat yang dilakukan untuk tempoh 9 bulan?

Sudahnya mungkin nasib kita akan menjadi seperti si Kassim Baba dalam cerita Ali Baba Bujang Lapok. Kerana tamakkan harta, habis mata dan otak menjadi hijau kerananya.

Kita pula kerana ghairahkan ganjaran, bahkan menjadikan kita manusia yang takut akan hukum Tuhan, maka segala-gala di matematikkan. Akhirnya mungkin jarak kita dengan Tuhan bukan menjadi semakin dekat, bahkan semakin jauh.

Kawan saya si pengidap kanser itu berjumpa dengan doktor untuk meminta pandangan yang sedang berada dalam situasi kritikal. Seorang doktor menyarankan supaya menghargai saki-baki kehidupan ini dengan melakukan sesuatu yang membuatkan jiwa bahagia, atau ‘enjoy life’.

Apa yang kawan saya itu lakukan? Setiap petang dia akan melepak di Pasar Seni menonton saya dan kawan-kawan busking atau bermain muzik di situ. Apa saja akan dilakukannya jika itu dirasakan dapat membahagiakan hidupnya.

Bukanlah pula kita mengikut kata hati semata. Asal ia tidak bersalahan dengan hukum dan fitrah alam, ke sanalah kita jika di sana ada bahagianya.

Dalam masa yang sama kawan saya itu berjaya menjadi duta ubat yang di’sponsor’ kepadanya oleh satu syarikat antarabangsa.

Alhamdulillah, sehingga hari ini, setelah 10 tahun berlalu sejak disahkan mengidap kanser tahap 4 pada awal 2000 dulu, kawan saya itu masih sihat saat dia singgah di port busking saya baru-baru ini, sudah berkeluarga dan beranak-pinak, dan masih rugged dengan seluar jeans dan t-shirt ‘Iron Maiden’nya.

Jika ada si polan meninggal dunia, kita akan berkata, “ si polan itu sudah kembali ke rahmatullah”, atau “ si polan itu sudah kembali ke pangkuan Illahi”.

Mengapa kita tidak kata , “ si polan itu sedang berada di alam barzakh atau sedang menanggung azab kubur bergantung kepada tahap amalannya di dunia ini”?

Kita perlu bersangka baik dengan Tuhan pencipta alam, kerana Dia yang menjadikan kita untuk melengkapkan ceritaNya di dunia ini. Adakah di sisiNya kita ini penting ? Ya, begitulah kira-kiranya... – 7 Ogos, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments