Opinion

Caliph Buskers dan muzik orang buta

Apabila Caliph Buskers, kumpulan pemuzik cacat penglihatan, membuat persembahan di pentas AJL29 (Anugerah Juara Lagu ke-29) yang baru lalu, menang pula dalam kategori persembahan, maknanya cerahlah masa depan mereka, sekurang-kurangnya untuk sehari dua ini bergantung pada tahap konsistensi mereka dalam muzik dan nyanyi.

Tahun lepas, sebelum mereka busking di bawah stesen monorel Brickfield, mereka datang berjumpa dan berbual dengan saya di "port" saya di KL Sentral. Ada juga mereka membeli album saya, katanya saya ini sumber inspirasi, dan bertanya bagaimana nak merakamkan album.

Hari ini mereka sudah pun mendapat tawaran dari syarikat rakaman dan produksi yang terkenal tanpa perlu bersusah payah seperti yang saya lakukan.

Seperkara, saya dan mereka dari genre yang berbeza. Apa pun, saya ucapkan tahniah pada mereka atas kejayaan di AJL29. Mereka memang berbakat dan bekerja keras. Malah lagu yang dinyanyikan jauh lebih baik dari penyanyi asal, kata sesetengah pihak.

Dalam muzik dan nyanyi, apa yang kita perlukan adalah peluang dan ruang. Kalau ada rezeki untuk mara lebih jauh, jalan terus!

Saya lebih suka dengan apa yang saya lakukan. Saya tidak punya cita-cita mencapai bintang di langit. Saya akui sering mendapat tawaran untuk menjadi pemuzik residen di hotel, atau menyanyi di luar negara seperti Dubai, Beijing dan banyak lagilah. Semuanya saya tolak dengan baik kerana saya selesa dengan apa yang saya lakukan sekarang.

Caliph Buskers adalah kumpulan muzik OKU yang berbakat. Pertama kali saya menonton persembahan busking mereka, saya tahu mereka mampu pergi lebih jauh dalam dunia muzik tanahair.

Cuma mereka ini "copycat", sama seperti pendapat seorang kawan pemuzik saya yang berpengalaman bermain muzik di pub, kelab dan hotel selama puluhan tahun.

Katanya, “Level muzik mereka tidak ada bezanya dengan pemuzik yang bermain di kelab, bezanya mereka bermuzik di jalanan. Mereka mampu meniru bulat-bulat lagu dari versi asal”.

Positifnya, kita tak perlu ke pub, hotel atau ke kelab, di jalanan pun kita dapat menikmati muzik yang berkualiti.

Mungkin kerana mereka golongan istimewa, maka perhatian dan simpati itu lebih memihak kepada mereka. Untuk cita rasa dan tahap penerimaan masyarakat kita, Caliph Buskers dikira lepaslah, tak tahu sampai bila mereka akan bertahan.

Jose Feliciano menjadikan lagu "Light My Fire" (The Doors) dan "California Dreaming" (Mamas and Papas) antaranya lebih menarik dari penyanyi original.

Begitu juga dengan Stevie Wonder, sebab mereka perlu berada di tahap "luar biasa", barulah dunia akan mengiktiraf bakat mereka.

Kalau setakat biasa-biasa sahaja, di negara kita bolehlah, terutamanya di kalangan pendengar dan peminat. Pemuzik biasanya agak selektif.

Busking adalah tentang kreativiti. Saya akui, jika kita busking di kawasan yang terbuka, jika dalam kumpulan trio itu akan menjadikan muzik kita lebih menarik.

Pengunjung terutama orang kita yang "working class" akan lebih tertarik menontonnya berbanding kita membuat persembahan secara solo. Cuma biasanya di luar negara, busker kebanyakannya solo atau berdua.

Mengimbau sejarah pemuzik buta di negara kita, yang agak popular itulah Alfred Ho, pada tahun 70an dulu.

Selepas itu terdapat juga kumpulan muzik yang bermain portable keyboard sambil menyanyi lagu-lagu lama dan semasa di kompleks beli belah atau di Masjid India sejak tahun 80an lagi sampailah ke hari ini.

Cuma portable keyboard ini, bagi saya, instrumen budak-budak. Untuk lebih professional, mereka perlukan workstation keyboard.

Itu sebab muzik mereka agak ketinggalan dan gagal menarik perhatian khalayak berbeza dengan Caliph Buskers. Mereka menyanyikan lagu-lagu popular semasa dengan baik dan menarik. Kalau persembahan kita bagus, banyaklah dapat duit.

Saya cuma tertarik dengan seorang otai yang buta matanya yang sering bermain gitar di laluan menuju Puduraya di tahun 80a dan 90an dulu. Bagi saya otai tersebut sangat bagus dan berbakat. Saya tak tahu ke mana perginya otai ini.

Dunia orang buta lebih istimewa dari kita sebenarnya. Kita tidak tahu apa yang ada dalam benak dan sanubari mereka. Saya pernah berbual dengan seorang pemuda yang buta matanya kerana masalah penglihatan. Katanya sewaktu dia celik, rezeki kurang berbanding bila buta, rezeki tak pernah putus.

Di dunia ini, jika kita ini dalam kategori OKU, agak susah untuk kita dikenali dan menjadi terkenal kecuali kalau kita memang sangat bagus. Ini yang berlaku pada pemuzik buta seperti Jose Feliciano, Ray Charles dan Stevie Wonder antaranya. Mereka ini genius, walaupun buta, tetapi sebab sangat berbakat, maka dunia menjadikan mereka terkenal dan lagenda.

Maknanya, kita perlu lebih bagus dari pemuzik yang normal. Jika mereka punya pengurus yang bagus, mereka mampu bersaing dalam industri muzik di negara kita ini.

Sama-sama kita tunggu dan lihat sampai bila Caliph Buskers mampu konsisten dan bertahan dalam dunia muzik dan industri kita. Bagus kalau mereka punya muzik, lagu dan konsep sendiri, itu yang terbaik.

Mentaliti masyarakat kita baru nak berubah ke arah yang lebih positif dalam menilai mereka yang bermuzik dijalanan. Itu pun kita perlu melayan kehendak mereka, tak boleh nak syok sendiri. Mereka punya citarasa biasa-biasa sahaja, sebab mereka bukan pemuzik. – 29 Januari, 2015.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments