Opinion

Baik dan buruk lumrah duniawi

Hidup ini penuh dengan hal dunia belaka. Intinya adalah kepentingan. Kita bersolat untuk mendapatkan pahala, itu adalah kepentingan. Kita berbuat baik untuk syurga Tuhan, itu juga kepentingan.

Lahir sahaja kita ke dunia, fitrahnya kita ini berkepentingan. Terbuka sahaja mata melihat dunia, terus sahaja kita kelaparan lantas menangis minta disusukan. Tanpa ada siapa yang mengajar kita bagaimana untuk terus hidup, terus sahaja kita mencari susu ibu. Siapa yang mengajarnya?

Maknanya kita perlukan makanan untuk meneruskan kehidupan. Jadi kita hidup di dunia ini atas dasar kepentingan kita sebagai seorang manusia yang dilengkapi dengan nafsu yang serba-serbi.

Kita bekerja untuk meneruskan kehidupan. Kehidupan memberikan kita nikmat kesenangan mengikut tahap hidup di mana kita berada. Kita di sini untuk duit, untuk kita terus hidup. Tanpa duit segalanya akan terbantut kecuali jika kita tinggal di hulu kampung atau di dalam hutan yang tidak memerlukan ringgit.

Takdir dan nasib membentuk masa depan kita. Ada kita yang bergaji tinggi, ada yang bergaji rendah. Ada pemain bola sepak kita yang bergaji RM120,000 sebulan. Setahun bekerja dah jadi jutawan.

Kita bekerja siang malam untuk mendapatkan RM30,000 atau RM40,000 setahun pun susah. Pak-pak menteri kita lagilah, semuanya kaya raya belaka.

Ada penyanyi yang mendapat puluhan ribu ringgit untuk sejam persembahan. Dan setiap bulan mereka mendapat 10 permintaan untuk membuat persembahan.

Ada pemuzik kita yang masih menerima bayaran sebanyak RM300 untuk 3 jam persembahan dan dalam sebulan adalah sekali sahaja mereka mendapat permintaan untuk persembahan. Begitulah perbezaannya.

Dan jika mereka bertanya adakah Tuhan itu adil untuk umatnya? Tuhan mana ada adil untuk kita, umatnya. Itu sebab dalam dunia ini ada macam-macam. Ada orang bodoh, ada orang cerdik, ada orang cacat, ada orang kacak, ada orang miskin dan ada orang kaya.

Logiknya Tuhan itu tidak adil, kecuali jika kita percaya pada hakikat kejadian maka kita tidak punya pilihan selain menerima takdir hidup kita di dunia ini seadanya.

Tuhan itu maha sempurna, mengapa dia jadikan anak saya cacat? Dulu sering saya persoalkan atau menyalahkan takdir atas nasib yang menimpa anak saya. Tapi itulah, selagi kita menafikan takdir Tuhan selagi itulah hidup kita berserabut.

Sedang inti hidup adalah jiwa yang tenang untuk mendapat kebahagiaan . Insya Allah dalam tenang jiwa kita dapat menerima cerita hidup kita ini seadanya.

Maka itu bila mana Franky Sahilatua, penyanyi folk lagenda Indonesia, berlagu protes dalam lagu “Perahu Retak” yang antara bait-bait liriknya begini: “Aku hairan, aku hairan, yang salah dipertahankan, Aku hairan, aku hairan, yang benar disingkirkan.”

Jawapan saya, kita perlu belajar untuk jangan hairan akan cerita-cerita pelik dan ajaib tentang duniawi ini. Kita perlu biasakan diri kita ini dengan nilai-nilai bodoh dan cerdik duniawi ini.

Maka jadilah manusia yang bijak di dunia yang penuh dengan nilai-nilai kejam ini. Kalau lembik kita akan dipijak, kalau keras sangat apa benda pun kita dah tak nampak apa pun melainkan diri kita sahaja, itu pun payah juga.

Jadi pada dasarnya kita di dunia ini atas sebab ringgit. Tidak kiralah siapa kita, golongan agama, pendakwah, bos, kuli, siapa pun kita, kita masih memerlukan ringgit untuk kepentingan kita di dunia ini.

Duit dan harta dunia biasanya akan menjuruskan kita untuk menjadi manusia yang tamak dan haloba. Sebab duit walau sebanyak mana yang ada pada kita tidak akan cukup. Macam mana nak cukup kalau harga jam sahaja dah sejuta, kereta pun berjuta-juta harganya, rumah pun puluhan juta ringgit.

Demi imej dan rasa megah, kita ikutkan rasa hati akan kemewahan duniawi untuk melambangkan siapa kita di sisi masyarakat.

Apabila duit dan segalanya sudah kita miliki, barulah kita mula berfikir untuk jadi berkuasa seperti Tuhan yang berkuasa. Kuasa bukannya ringgit, tapi tahapnya melebihi ringgit. Yang inilah yang diimpikan setiap pemimpin mahupun orang politik impikan.

Kita lihat senario politik kita hari ini sudahlah. Kebanyakan mereka ini kaya raya belaka. Duit bukanlah masalah bagi mereka. Pun mereka masih bercakar sesama sendiri demi ego dan kuasa.

Berbalik pada hakikat, kita perlu biasakan dengan cerita-cerita yang macam cerdik-cerdik bodoh ini. Sebabnya, kita adalah sebahagian daripada cerita-cerita bodoh cerdik dunia ini.

Lihatlah Habil dan Qabil, anak nabi Adam yang mana si Qabil sanggup membunuh adiknya sendiri lantaran ada sifat-sifat tamak dan cemburu dalam dirinya. Tragedi cerita Qabil dan Habil ini terdapat di dalam Al Quran.

Melalui Surah Al Maidah ayat 27, Allah berfirman: "Ceritakanlah kepada mereka kisah kedua putera Adam (Qabil dan Habil) dengan sebenarnya. Ketika keduanya mempersembahkan korban.

Kesimpulannya, baik dan buruk itu lumrah duniawi. Kitalah yang mencorakkan apa warna yang kita mahu berpandukan, sama ada dari Tuhan mahupun dari hantu. Sama tapi tak sama. Perkataan Tuhan itu jika kita terbalikkan jadilah hantu. – 3 Mac, 2016.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments