Opinion

Bagi perkembangan seni dan budaya, BN masih terbaik

Perkembangan dunia politik tanah air kita mutakhir ini memang memeningkan kepala.

Sebagai seorang warganegara, saya sebenarnya tidak mahu ambil kisah sebab kita bukanlah golongan yang berkepentingan, kita hanyalah rakyat biasa.

Kepentingan kalau ada pun hanyalah kehendak kita sebagai para warga yang perlu terus hidup walau tidak kaya-kaya pun.

Kalau dalam permainan catur, kita hanyalah para soldadu yang perlu banyak bergerak untuk memenangkan King dan Queen.

Namun secara keseluruhannya, kita perlu juga ambil tahu sebab kita turut terlibat dalam agenda dan permainan mereka. Kita tahu yang di kiri sedang bertelagah antara sesama mereka, apatah bila muktamar pemilihan PAS yang baru berlangsung baru-baru ini jelas memenangkan golongan pro ulama yang konservatif, jadi tidak ada apa yang boleh diharapkan terhadap golongan ini.

Mereka hanyalah untuk mereka sahaja, selain dari mereka adalah musuh walaupun antara sesama mereka sendiri.

Saya lebih suka elemen progresif yang ada dalam pemikiran setiap orang atau pemimpin, kerana improvisation dan variasi itu perlu sebenarnya dalam kehidupan kita, sebagaimana saya lebih minat muzik progresif, walau muzik saya tidaklah progresif sepenuhnya.

Maaf, saya tidak menilai manusia melalui imej luaran yang nampak kelihatan baik dan tawaduk di mata, sebab itu bukanlah satu jawapan dan kesimpulan yang hati mereka itu bersih dan suci.

Apatah dalam dunia hari ini kebanyakan manusia dari pelbagai golongan akan menjadikan apa saja subjek termasuklah agama untuk mengejar nama, pangkat dan kedudukan dalam masyarakat, walhal nawaitu hanya Tuhanlah yang maha tahu.

Saya juga tidak melihat orang Arab itu sebagai contoh yang baik untuk kita ikuti.

Lihat sahaja negara mereka dan sikap bodoh sombong kebanyakan bangsa mereka sendiri di sebalik jubah dan serban yang mereka imejkan itu.

Kalau dalam cabang kesenian, saya mengharapkan orang-orang seperti Muhaimin Sulam, Anbakri Haron dan Dinsman mampu mengubah, membuka minda dan pemikiran masyarakat dalam kem PAS dengan sikap dan pemikiran mereka, namun itu sangat sukar untuk dilakukan seperti keluhan dan rintihan Dinsman dalam artikel dan ceritanya yang saya baca dan faham.

Seperti sedutan kata-katanya dalam nada yang sinis yang saya baca dalam kata ucapan dan jemputan untuk program ‘Baca Puisi Madrasah Seni dan Pelancaran Buku ‘Kita Semua Ayah Halim’ yang akan berlangsung 12 Jun 2015 ini di MadrasahTarbiah KG Banda Dalam, Gombak.

“Apa nak jadi dengan parti Islam PAS? Dan apa nak jadi dengan tokoh-tokoh progresif profesionalnya yang disingkirkan daripada saf kepemimpinan parti itu dalam muktamarnya minggu lepas?”

Memang susah untuk mereka menerimanya kerana dasar pemahaman yang dangkal terhadap seni dan kefahamannya. Dan konteks mereka jelas, menghukum itu lebih mudah dari cuba untuk memahami.

Apabila kita menyanyikan lagu tentang perjuangan dan kemanusiaan, apa yang saya lihat di dahi mereka adalah kerut-kerut yang berkening dengan pandangan yang sangat skeptikal, apa lagi yang boleh kita fahamkan lagi tentang golongan yang seperti ini?

Pertamanya dalam kepala mereka ini jelas muzik itu haram, walau mesejnya adalah tentang perjuangan para shuhada yang membela kebenaran.

Yang mereka harapkan kita membawa imej luaran seperti mereka, berjubah macam orang Arab dan kalau boleh menyanyikan lagu Arab.

Kerajaan Barisan Nasional juga sedang melalui fasa dan keserabutan dan mereka sedang cuba untuk menyelesaikannya. Saya cuba menilai dari sudut yang rasional atas kapasiti saya sebagai seorang pemuzik yang duduk di bawah bumbung mereka sejak sekian lama.

Berbanding kerajaan pakatan, sepanjang saya hidup sebagai seorang pemuzik mahupun digelar busker, saya rasa ramai kita mendapat manfaat dan kebaikan dari sikap keterbukaan mereka terhadap golongan pemuzik, ini adalah fakta dan saya sangat realisitik tentang perkara ini.

Maknanya untuk perkembangan seni dan budayanya, kita masih punya ruang dan tempat.

Golongan seni dan sastera masih mampu berkarya atas dana yang diperuntukkan. Mereka jelas cuba untuk faham akan kehendak dan mahunya golongan seni, malah mereka turut meraikan makna dan sifatnya.

Ini bagi saya sudah mencukupi sebenarnya berbanding dari terus menghukum dan melabel dari sudut pemikiran yang jumud. Kita sedang berada di abad yang ke-21, kita perlu progresif dalam banyak hal terutamanya dari segi pemikiran dan sikap rasional. Kita bukan duduk di abad yang ke-12.

Kita akan berasa bangga jika golongan seniman itu boleh hidup dan terus berkarya. Sang pelukis masih boleh melukis dan menjual lukisannya.

Sang pemuzik masih punya tempat untuk bermuzik untuk mencari rezeki dan sang penulis masih boleh menulis atas apa yang mereka perjuangkan.

Ini kalau belum apa-apa pun dah ‘reject’, payahlah kalau begitu. Macam mana hendak bercampur dengan masyarakat majmuk kalau setakat itu sahaja yang mereka faham tentang erti kemanusiaan dan kehidupan? – 11 Jun, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments