Opinion

ALS, Ice Bucket Challange dan Jason Becker

Tiba-tiba aktiviti Ice Bucket Challenge (IBC) menjadi viral dan fenomena di seluruh dunia. Cara aktiviti ini dilakukan ialah mereka yang terlibat akan disimbah dengan sebaldi air diisi dengan ais.

Tujuan IBC ialah untuk memberi kesedaran pada kita tentang penyakit ALS dan mencari dana untuk penyelidikan tentang penyakit ini yang sehingga ke hari ini belum lagi ada ubatnya. Tahap kesejukan ais yang disimbah ke badan kita sama seperti pesakit ALS (Amyotrophic Lateral Sclerosis).

ALS lantas mengingatkan saya kepada Jason Becker (22 Julai, 1969) (gambar) yang turut ditimpa penyakit tersebut pada 1990. Saintis Stephen Hawking juga pengidap ALS.

Hari ini umur beliau sudah menjangkau 45 tahun dan sudah 25 tahun menderita penyakit tersebut.

Saya sangat bersimpati dengan nasib yang menimpa Becker dan bagi saya, beliau merupakan salah seorang gitaris terbaik dunia ketika di zamannya.

Penyakit ini menyerang sel saraf dan melumpuhkan anggota tubuh.

Becker mengalami tempoh kegemilangan yang sangat singkat sebagai salah seorang gitaris paling menonjol dalam dunia metal. Pada usia 17 tahun beliau sudah bagus dalam permainannya sehinggalah pada 1990. Bermakna hanya kira-kira 4 tahun saja beliau mampu mengecap kemasyhuran sebagai gitaris hebat.

Lihatlah, betapa begitu mudah kalau Tuhan hendak ambil nikmat yang dianugerahkannya kepada kita, walau tanpa sebab dan alasan, hanya Dialah yang tahu segalanya. Kita perlu bersedia untuk kehilangan segala-gala yang dipinjamkannya ini sebab semuanya milik Dia.

Nyata kehidupan ini memang tidak adil untuk Jason. Beliau ditimpa ALS sewaktu menjadi gitaris untuk David Lee Roth. Segala-galanya hancur berkecai dan sehingga ke hari ini, Becker hanya mampu berkomunikasi melalui gerak matanya saja. Seluruh kehidupannya dihabiskan di atas kerusi roda.

Saya adalah salah seorang peminat neo klasikal metal seperti gitaris Paul Gilbert sewaktu bersama Racer X, Malmsteen, MacAlpine, Chastain, Joey Taffola, Vinnie Moore. Minat kerana skill mereka yang laju dengan appregios yang berbelit-belit.

Saya mula mendengar album duo rock Cacophony pada 1990 . Album yang diterbitkan Mike Varney, seorang penerbit bertara legenda yang sangat terkenal. Gandingan Becker dan Marty Friedman maka lahirlah Speed Metal Symphony yang diterbitkan pada 1987.

Album tersebut berintikan heavy metal dengan ramuan dan perasa neo klasikal metal gandingan terbaik antara Friedman dan Jason.

Tahun berikutnya Cacophony muncul lagi dengan album Go Off!. Selepas itu mereka membawa haluan dan Cocaphony pun berpecah. Pada 1988 Jason muncul dengan album solo yang menarik dan hebat, Perpetual Burn. Friedman juga muncul dengan album solo, Dragon Kiss pada tahun yang sama.

Bagi saya album Perpetual Burn yang diterbitkan pada 1988 adalah antara album neo klasikal metal yang terbaik selain album Racer X dan album-album awal Malmteen.

Sehingga ke hari ini, walau dalam keadaan yang serba kekurangan, Becker masih mampu mengarang lagu melalui gerak matanya. Bapanya mencipta bahasa isyarat untuk mudah baginya berkomunikasi.

Nyata beliau masih beruntung kerana walau siapa pun beliau, keluarga tetap memberikan kasih sayang dan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada anak mereka.

Menilai gaya permainan Becker, tidak dapat kita nafikan beliau antara gitaris yang paling menonjol di zamannya. Jari kirinya memetik gitar sambil tangan kanannya bermain yo yo, untuk menunjukkan betapa hebatnya beliau bermain gitar.

Apabila kita bagus dalam sesuatu bidang, perkara paling utama adalah kita akan merasakan kita ini manusia yang paling hebat di dunia. Mungkin dari situ juga akan datang sifat bongkak dan angkuh di dalam diri kita.

Apabila ini berlaku, kita akan lupa siapa kita dan apa fungsi kita di dunia ini. Kita hanyalah alat saja, kita tidak pernah memiliki satu apapun. Segalanya bersifat pinjaman belaka.

Seorang kenalan saya baru sahaja menjalani pembedahan laser di matanya. Katanya walau sudah sembuh, namun nilai sempurnanya tidaklah sama seperti mereka yang mampu melihat dengan terang dan jelas.

Katanya lagi apa yang ada pada saya juga bersifat pinjaman. Segala bakat dan anugerah adalah berbentuk pinjaman belaka. Anak dan isteri pun bersifat pinjaman juga.

Saya bersetuju dan tidak akan menafikan kebenaran tersebut. Kita ini terlalu rapuh dan sering hidup dalam nostalgia dan angan-angan.

Nilai kehidupan yang saya pandang, sangatlah rapuh sifatnya. Andai kata esok bila buka mata, kita kehilangan nikmat melihat atau dengan tiba-tiba suara kita sudah tidak mampu melontarkan bait-bait melodi, apa yang mampu kita lakukan lagi?

Hari ini Becker masih lagi aktif dan bersemangat untuk berkarya. Apa yang paling penting, beliau masih merasakan masih ada yang sayang dan mengambil berat nasibnya, itu yang paling penting. – 4 September, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments