Opinion

Ada apa dengan Melayu

Dalam muzik dan genrenya, Singapura lebih banyak melahirkan lagu-lagu dan produk yang berkualiti dari negara kita ini. Sweet Charity, Ramli Sarip, Kembara, Love Hunters, M.Nasir, Art Fadhil dan Rausyanfikir antaranya berasal dari Singapura.

Penyanyi dan band-band rock kapak kita kebanyakannya lebih cenderung dengan lagu-lagu jiwang dan glamour berbanding artis-artis Singapura yang lebih serius dengan lagu mereka yang penuh dengan konsep dan mesej yang bermanfaat untuk kita, terutamanya bangsa Melayu, renungkan.

Tapi itulah, Melayu bukannya suka sangat dengan lagu-lagu yang bermesej dan serius. Melayu sukanya masih dengan lagu-lagu jiwang tangkap leleh. Itu sebab dongeng dan sikap "Mat Jenin" itu sangat sinonim dengan orang Melayu.

Orang kita cukup suka berangan, tidak kira untuk tujuan duniawi mahupun ukhrawi. Duniawi mereka suka yang indah dan berkilau sahaja walau silau mata memandang, sehingga buta mata hati akan kebenaran.

Ukrawi pula mereka lebih sukakan ganjaran dan harapan untuk ke syurga, bukan Tuhan pencipta syurga. Untuk itu mereka sibuk menghitunhg berapa banyak pahala yang boleh dikaut, demi syurga dan hidup selepas mati.

Berbalik cerita tentang muzik, kita harus akui, menilai perkembangan muzik dari sudut artistik dan kreativiti, Singapura lebih menonjol berbanding Malaysia di era 60an, 70an dan 80an dulu. Banyak produk mereka yang bagus dan berkualiti seperti produk-produk yang mereka hasilkan berbanding kita.

Saya melihat Singapura atau mungkin mereka melihat diri mereka sebagai Melayu Singapura yang kuat dengan nilai Melayu yang rebel, baik dari segi budaya mahupun pemikiran.

Singapura kecil saja, Melayu di sana juga golongan yang minoriti tapi itulah, kepayahan buat mereka lebih bekerja keras berbanding artis dan kumpulan muzik kita yang manja dan kuat berangan sehingga kebanyakan mereka seperti burung belatuk yang kebanyakannya hanya tahu menyanyikan lagu-lagu cinta dan kecewa saja.

Saya cukup terkesan dengan salah sebuah lagu yang terdapat dalam album kumpulan Rausyanfikir pada tahun 1993 ("Rusuhan Fikiran"). Kumpulan muzik trio yang dianggotai Art Fadhil,Esham Jamil dan Mohd Khair Mohd Yassin ini berjaya menghasilkan 2 album folk rock yang berkualiti iaitu "Rausyanfikir" (1992) dan "Rusuhan Fikiran" (1994).

Judul lagunya "Ali Mim Alif Lam Sin" yang terdapat dalam album "Rusuhan Fikiran", antara bait liriknya,

Kawan ku Ali malas sekali
Setiap hari di warung kopi
Cakap pasal politik negeri
Cakap pasal turun naik ekonomi.

Dari pagi sampai ke tengah hari
Dari petang sampai ke malam sepi
Suruh kerja dia tak peduli
Katanya aku sedang bercuti.

Ali kau harus belajar maju diri
Jangan tertipu di bumi sendiri
Kilang ladang dan juga sawah padi
Itu hasil kemajuan pribumi.

Ali dunia makin pantas berlari
Sedang engkau asyik sibuk bermimpi
Dalam diam tanpa kau sedari
Tanah pusaka di rompak di siang hari.

Lirik lagu ini bercerita tentang bangsa kita yang malas dan kuat berangan. Watak Ali dalam lagu itu kitalah, Melayu. Seperti juga yang Munsyi Abdullah tulis dalam buku hikayatnya tentang betapa buruknya perangai bangsa kita, begitulah relevannya sikap kita sehingga ke hari ini.

Kumpulan rock popular mereka, Love Hunters juga berjaya menyelitkan lagu-lagu yang bermesej walau dalam konsep blues dan rock mereka. Seperti lagu "Blues untuk Rakyat" dan "Berpindah Minda" antaranya. Begitu juga dengan kumpulan Kembara dan karya-karya mereka yang banyak berkisar tentang budaya, bangsa dan pemikiran.

Untuk bangsa kita berubah dari segi pemikiran, sangat sukar sebenarnya. Mentaliti yang terbina sejak sebelum merdeka sehinggalah ke hari ini, memungkinkan kita ini masih ketinggalan dan di belakang berbanding bangsa lain termasuklah dalam kalangan golongan pendatang, tidak kira samada mereka itu dari Bangladesh, Nepal, Indonesia mahupun apa bangsa sekalipun.

Katanya nak diangkut 1.5 juta pendatang dari Bangladesh untuk bekerja di sini. Saya dan ramai kita yang tidak bersetuju sebenarnya. Tapi itulah, bila ditanya balik mahukah orang kita bekerja jadi kuli dengan gaji RM900 sebulan dengan penuh dedikasi seperti yang bangsa asing lakukan, kita pun tiada jawapan untuk itu sebenarnya.

Saya kenal baik seorang pengurus yang mengendalikan sektor pembersihan di KL Sentral, di mana 90% pekerja yang bekerja di syarikat itu adalah warga Bangladesh dan Indonesia.

Mengapa tak ambil warga tempatan? Disiplin, rasa diri bagus, rasa diri istimewa sebab kita warganegara. Kerja sehari ponteng 3 hari, begitulah. . .

Golongan gelandangan pun yang banyaknya dari bangsa kita, mereka lebih suka menjadi pengemis dari bekerja seperti pendatang asing.

Kita lihat anak-anak muda kita zaman ini. Kerja baru 6 bulan, gaya hidup tak mahu kalah mengalahkan orang kaya. Pakai handphone mahal, kereta baru walau berhutang sampai 9 tahun, pakaian dan segalanya nak yang branded walhal gaji tak sampai RM1,500 pun sebulan.

Pendekata, kita ni kalau boleh nak jadi bos sahaja, jadi memang tak kemanalah akhirnya. Bak kata pepatah, 'Walhasil balik hasil, itu pasal tak hasil'

Cuba dengar lagu "Mim Alif Lam Sin", lagu itu memang untuk kita pun. – 17 Februari, 2016.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments