Opinion

Ada apa dengan indie

Dunia semakin bergerak ke hadapan. Yang tua akan melepasi fasa demi fasa dan akhirnya mereka hanya punya dua pilihan, samada ‘berhenti atau teruskan’, sebab biasanya yang muda akan mengambil alih.

Dunia orang muda dan orang lama tidaklah sama. Kalau yang lama masih dengan idea dan pemikiran lama, maknanya mereka akan ditinggalkan. Ini bukan zaman kolonial.

Begitulah putarannya. Pemikiran pula semakin ke hadapan seiring dengan arus kemajuan yang begitu cepat meresap, terutamanya di kalangan anak-anak muda hari ini.

Inilah yang berlaku dan kita sudah pun lihat kesannya hari ini. Hari ini kita punya banyak pilihan, seperti kita boleh pilih banyak siaran di TV Astro, berbanding di zaman dulu hanya ada TV1 dan TV2 sahaja.

Bercerita tentang dunia indie yang baru-baru ini mendapat perhatian kerana mendapat pandangan atau reaksi dari pihak Biro Tatanegara (BTN) yang katanya ‘indie’ itu ‘bebas’ dan ‘lucah’ serta bersifat ‘ekstrem’.

Saya terpanggil untuk berkongsi cerita kerana buku-buku atau album-album saya juga berbentuk ‘indie’. Buku-buku saya diterbitkan syarikat ‘Merpati Jingga’ yang namanya turut terselit dicelah syarikat buku indie seperti DuBook, Lejen Press juga Fixi.

Setahu saya, dalam buku-buku saya, isinya tidak ada pun cerita-cerita lucah atau negatif. Kalau kritis itu adalah. Karya adalah seperti mana lukisan yang berkonsep.

Ada real, surreal, abstrak dan sebagainya. Juga penuh dengan metafora dan perlambangan, bergantung pada tahap level dan pemikiran pembaca.

‘Indie’ itu bebas dan tidak terikat, baik dari segi idea mahupun kreativiti. ‘Pop culture’ ini berkembang sejak lama dulu di dunia barat. Pastilah ada sesuatu yang menarik di dalamnya sehingga menjadi perhatian.

Jadi adalah suatu yang melucukan jika apa yang dihidangkan dan mendapat perhatian, kita perlu hentikan dan padamkan. Itu tidak mungkin berlaku kerana ini tentang hal yang melibatkan jiwa dan perkembangan dunia anak muda hari ini.

Saya tidak faham mengapa mereka boleh merumuskan hal yang negatif tentang dunia ‘indie’. Anak perempuan saya yang berumur 19 tahun dan merupakan seorang pelajar pun minat dengan bahan bacaan yang diterbitkan syarikat penerbitan ‘indie’.

Apa yang ada di dalamnya sehingga mereka (anak muda) berminat untuk ke situ?

Apa yang saya pasti anak saya itu bukan anti-kerajaan. Dan saya percaya anak-anak muda sebaya anak saya juga bukanlah semuanya anti-kerajaan.

Untuk saya, saya lebih suka pada bahan bacaan yang serius dan ilmiah seperti apa yang dihidangkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Tetapi golongan seperti saya ini tidak ramai, inilah kenyataannya. Itu sebab buku-buku terbitan DBP tidak boleh jual, hanya mendatangkan rugi sahaja.

Kita baca buku terbitan DBP atau dari badan-badan sastera yang ditaja kerajaan, ada karya-karya mereka mendapat perhatian anak-anak muda hari ini?

Ini bukan zaman ‘Belia 4B’ lagi, di mana kelompok anak muda disuruh untuk jadi begini dan begitu seperti yang diprogramkan. Atau beruniform sambil slogankan kata-kata semangat dan propaganda.

Ini tentang hal jiwa dan pemikiran, ini tentang ‘poyo’ dan ‘cool’. Ini yang ada dalam jiwa dan semangat anak muda hari ini.

Mereka di pihak kerajaan perlu peka dalam banyak hal yang melibatkan pengguna. Saya bagi contoh, beberapa bulan yang lalu saya ke pejabat pos untuk menyimpan wang simpanan anak-anak saya.

Saya terkejut kerana diberitahu pekerja yang bertugas di situ yang saya perlu mengisi borang mendapat kebenaran dari isteri saya untuk urusan itu.

Sudahlah kita perlu mengambil nombor dan menunggu angka giliran yang memang memakan dan membuang masa. Saya tidak tahu bagaimana hal-hal yang mudah seperti ini menjadi rumit dengan kerenah ‘birokrasi’ yang lebih memasalahkan dari memudahkan.

Sedangkan saya hanya mahu menyimpan, bukan mengeluarkan wang. Jika ke lain-lain bank, saya hanya perlu ke ‘teller’ dan masukkan duit ke dalam mesin ‘cash deposit’, semudah itu.

Memang ini bukan cerita tentang ‘indie’ dan BTN, tetapi apa yang cuba dilakukan pihak BTN ii lebih kurang sama halnya dengan hal saya sebagai pengguna yang sedang dan sudah dan mungkin akan terus berhadapan dengan benda-benda bodoh yang tidak sepatutnya berlaku di zaman ini.

Jadi saya melihat mereka yang di sana perlu peka tentang hal-hal yang melibatkan jiwa masyarakat dan anak muda terutamanya. Kita sedang ke hadapan, bukan ke belakang.

Yang saya faham, syarikat-syarikat buku ‘indie’ yang dilabel ‘ektremis’ ini sering juga terlibat dalam program-program anak muda yang dianjurkan oleh pihak kerajaan. Jadi apa masalahnya?

Dunia yang normal tetap dengan pasangannya. Ada langit dan ada bumi, ada kiri dan ada kanan, ada bulan dan ada bintang, ada hitam dan juga putih dan sebagainya.

Bukankah ini kenyataan hidup yang kita sedang dan akan hadapi. Kita bukan berada di alam mimpi dan angan-angan di mana mereka perlu menari di pentas yang kita hidangkan, sedang mereka tidak punya minat pun untuk ke situ.

Dunia ini adalah tentang bagaimana untuk kita lebih memahami dari kita lebih suka menghukum. – 1 Julai, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments