Opinion

Pulang ke Kuala Lumpur, MH370 masih misteri

Hari ketiga di Tok Bali, tiada petunjuk baru yang kuat diperoleh mengenai kelibat MH370.

Selepas penat berbincang dengan jurugambar, Najjua Zulkefli yang berat untuk balik ke Kuala Lumpur, kami berdua akhirnya buat keputusan pulang ke Kuala Lumpur.

Hari ketiga, sebelum pulang, saya akhirnya bertemu juga dengan Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Datuk Amdan Kurish.

Beliau keletihan, baru pulang dari operasi udara. Selepas tiga hari, kali ini giliran sidang media dikendalikan beliau.

Beliau update beberapa perkembangan terkini, tetapi tiada petunjuk baru.

Cuma beliau mengulas sedikit sebanyak mengenai banyak cerita mulut ke mulut seperti penduduk kampung nampak kapal terbang terbakar, nelayan jumpa rakit dan banyak lagi versi lain.

Letih mencari pesawat tidak seletih melayan menjawab khabar angin, itu kesimpulannya. Dengan penggunaan media sosial yang meluas, gosip dan khabar angin sepantas kilat tersebar.

Facebook kini sudah jadi FBI, Facebook Bureau Investigation.

Macam-macam tersebar.

Cuma dalam sidang media, Amdan menegur beberapa media yang melanggar arahan pergi ke lokasi operasi.

Beliau menegur media yang naik kapal Polis Marin ke lokasi operasi walaupun mereka tidak terlibat secara langsung dalam operasi mencari dan menyelamat.

Semasa saya hendak naik pesawat pulang ke Kuala Lumpur, rakan sekerja saya pun kelam-kabut mintak saya periksa kesahihan kononnya MH370 sudah ditemui di Pulau Perak.

Saya cuba sahkan dengan tentera, mereka kata tidak ada dengar.

Menggelabah saya, habis semua orang saya periksa. Tapi tidak ada seorang sahkannya. Bayangkanlah kalau setiap hari kerja saya macam ini, kena sahkan khabar angin.

Tentang rakit pesawat yang ditemui nelayan, itu sebenarnya adalah "boya", pelampung penanda yang sering kelihatan di tengah lautan. Sebab itulah bila APMM hendak ambil bawa naik, ia berat dan kemudiaan tenggelam.

Banyak cerita dan versi berita yang saya sendiri sudah hilang jejak.

Negara menghadapi krisis, tapi keyboard warrior lebih gemar untuk menilik dan meramal sedaya mungkin, info yang pelik senang-senang kita telan. Kalau macam itu apa bezanya kita dengan bomoh Laksamana Do Re Mi.

Kita juga bomoh, meramal depan komputer.

Sudah masuk seminggu pencarian, tiada petunjuk baru.

Walaupun pelbagai perkara diperkatakan, tiada yang sahih hingga hari ini.

Tok Bali juga sunyi, nelayan dengan urusan masing-masing. Pihak berkuasa sibuk ke laut mencari.

Kalau saya tinggal lebih lama lagi, buntu hendak mencari berita.

Sama juga cerita dengan rakan yang ke Vietnam, mereka juga buntu mencari berita.

Baru saya sedar, krisis sebegini bukan mudah. Secanggih mana teknologi, lautan terbentang luas ciptaan Tuhan ini masih misteri dan menyimpan seribu kunci jawapan kepada MH370.

Kita boleh mempunyai misil yang digerakkan dengan satelit tepat ke sasaran tetapi belum tentu kita boleh jejak kapal yang jauh lebih besar daripada misil peluru berpandu.

Tiga hari di Tok Bali menghirup udara segar dan angin pantai, menenangkan sedikit otak.

Sebaik tiba di Kuala Lumpur, asap dan kabus menyambut saya dan Najjua.

Terbatuk-batuk saya hendak menyesuaikan diri dengan keadaan ini.

Mula timbul penyesalan, kenapalah saya tidak tinggal lebih lama lagi di Tok Bali.

Hirup udara segar dan tidak mengejar masa seperti di Kuala Lumpur. – 14 Mac, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments